Janji untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini – hanya tinggal tga bulan sahaja lagi.
Dari sudut logik semasa, ia adalah mustahil untuk dicapai.
Tetapi rekod kehebatan memutarbelit isu dan fakta, kerajaan Madani dijangka akan mengumumkan kejayaan membasmi kemiskinan.
Keywordnya adalah kemiskinan tegar.
Apabila ditanya apakah definisi kemiskinan tegar yang mahu dibasmi itu, pihak kerajaan madani tidak ada kemahuan untuk memperincikan definisi miskin tegar tersebut – kerana apabila ia diperincikan – secara teknikalnya ia sangat sukar untuk dikenalpasti dan ditangani dalam masa yang singkat, dan secara teknikalnya akan mudah dinilai sebagai kerajaan gagal membasmi kemiskinan tegar.
Maka lebih baik tidak diperincikan apa itu miskin tegar.
Biar seronok bersyarah untuk basmi kemiskinan tegar.
Masa pun hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi untuk tahun 2023 melabuhkan tirai.
Bukan sahaja miskin tegar tidak dapat dibasmi, miskin biasa-biasa pun semakin menghampiri tahap tegar.
Yang tidak miskin dan tak kaya juga merasai tekanan hidup dan ekonomi.
Rakyat secara majoritinya sudah faham akan sembang PMX yang mendonia itu yang hakikatnya tak ada apa pun.
Sembang tangani kos sara hidup beri tempoh dua minggu, sekarang sudah 10 bulan lebih masih belum terhasil apa-apa.
Sembang tatakelola, jadi tatakelaut.
Buat apa pun tak menjadi, seolah-olah apa yang dipekik di laung selama 25 tahun sebelum ini sudah makan diri pula.
Yang tersisa pada PMX dan kerajaan Madani hanyalah sokongan daripada para pentaksub, mahacai, walanon dan diperkuat oleh sokongan DAP sahaja.
Kerjabuat tatakelola yang tempang sebenarnya diperhati oleh para pemimpin DAP dan para ‘hidden hand’ di belakangnya.
Mereka pun tak berpuas hati pada sudut tatakelola, tetapi mereka diamkan sahaja kerana memegang kuasa itu lebih awla.
Buktinya, singa-singa PH yang mengaum sakan melawan rasuah, melawan salahguna kuasa, menghentam kerajaan terdahulu mengenai kenaikan harga barang, membedil kerajaan terdahulu dengan isu kos sarahidup bagai… semuanya hari ini membisu.
Sepatah pun tak berani bersuara.
Apabila PMX membuat kenyataan besar yang populis, mereka akan ramai-ramai keluar gua melambung kehebatan PMX.
Tetapi selepas kenyataan populis itu terkantoi, mereka masuk gua semula.
Yang terkena adalah rakyat.
Yang terkesan adalah rakyat.
Sembang membasmi kemiskinan tegar tahun ini itu mungkin hanya klausa politik PMX yang bimbang kerajaan Madani tumbang tahun ini.
Jika tumbang tahun ini, maka bolehlah beri alasan… kalau kami tak jatuh, sudah pasti kemiskinan tegar akan berjaya dinoktahkan.
Kami sudah ada formula terbaik, tetapi tak sempat untuk dilaksana kerana ada pihak tumbangkan kami. Mungkin begitu.
Lebih baik PMX berkata sebagaimana MB Sanusi sebut – kemiskinan tidak boleh dibasmi, kerana kemiskinan adalah level sosial yang akan terus wujud.
Kemiskinan hanya perlu diuruskan dengan baik.
Usahakanlah sebagaimana MB Kedah itu mahu Kedah menjadi tempat orang miskin berteduh, orang kaya menabur bakti.
Bukannya sembang menoktahkan kemiskinan sambil mengepaw orang kaya.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa