Mengimbau kembali kemarahan orang-orang besar ini, boleh dikatakan sentiasa terjadi, dicatat dalam sejarah.
Ini adalah petunjuk jelas yang mereka hanyalah manusia biasa.
Ia adalah salah satu sikap biasa yang ada bagi setiap jiwa manusia.
Suka saya bawakan beberapa contoh berkenaan kemurkaan raja-raja kita terhadap pembesar-pembesar mereka.
Di Perak, pernah almarhum Sultan Idris tidak mahu mencukur janggut kerana murka kepada Menteri Besarnya Dato’ Ghazali Jawi kerana tidak menunaikan janjinya.
Di Kelantan, sudah menjadi rahsia umum berkenaan kurang baiknya hubungan antara Sultan Kelantan, almarhum Sultan Ismail Petra dengan Menteri Besarnya Tan Sri Mohamad Yaacob dari BN.
Sehingga jatuhnya kerajaan BN di Kelantan pada tahun 1990 kerana baginda dilihat seperti bersama dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang mengetuai Semangat 46 ketika itu.
Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah murka terhadap Menteri Besarnya ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib atau Mat Tyson kerana beberapa isu yang melibatkan keluarga baginda.
Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, pernah mendatangkan sembah derhaka kepada Sultan Perak, Raja Nazrin Shah bagi mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat yang membuatkan Sultan Perak merasa kurang senang.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pernah menzahirkan kemurkaan baginda dan tidak memilih Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu.
Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman juga pernah dimurkai baginda kerana berbuat kesilapan yang membawa kepada penarikan pingat beliau yang kemudiannya dianugerahkan semula.
Pimpinan Pan Kelantan Husam Musa dan juga Wan Abdul Rahim Wan Abdullah juga termasuk dalam senarai penerima yang ditarik pingat kebesaran oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah murka kepada pimpinan PKR dan DAP dalam isu Langkah Kajang dimana baginda meminta lebih dua nama bagi calon MB, tetapi hanya diberikan satu nama oleh PKR dan DAP, bagaikan memaksa Tuanku memilih juga nama yang mereka cadangkan itu.
Sebaliknya PAS dipuji kerana memahami dan mematuhi titah baginda.
Tuanku juga telah menarik balik pingat kebesaran Selangor yang diberikan kepada PM sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala di Johor, pernah terjadi pengambil alihan Bukit Timbalan iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Johor di bawah MB Othman Saat oleh almarhum Sultan Johor akibat kemurkaan baginda.
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga pernah dimurkai oleh Sultan Selangor dalam waktu kempen PRK Hulu Selangor.
Dan kini Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula yang dimurkai beliau.
Semua kemarahan ini adalah keadaan biasa dalam kehidupan kita. Tidak ada yang pelik.
Hanya bagi PH sahaja yang mendakwa kemurkaan raja dan Sultan itu bagus dan baik sekiranya murka kepada lawan PH.
Tetapi raja dan Sultan itu tidak patut murka kepada pemimpin mereka, walau sederhaka manapun pimpinan mereka lakukan kepada raja dan Sultan. Dungu PH tidak pernah ada dasarnya.
Akan tetapi dalam semua kemurkaan raja dan Sultan itu, semuanya adalah kerana perkara dunia yang mungkin tidak sepatutnya dilakukan oleh pembesar-pembesar itu.
Hanya bagi almarhum TGNA dan juga TGHH, ia melibatkan perkara akhirat.
Menegur manusia secara umum dari pemimpin sehingga orang bawah adalah kewajipan seorang pendakwah.
Ditambah lagi keduanya sudah berdakwah melangkaui benua.
Mereka sudah bergelumang dalam menyampaikan dakwah mereka dan sudah lali dengan kecaman, kebencian, sumpah seranah orang terhadap dakwah mereka semenjak hampir separuh abad yang lalu.
Memilih untuk mengampu orang besar, bukanlah pilihan mereka.
Disebabkan itu juga, TS TGHH pernah menasihati almarhum Syeikh Yusof al-Qaradhawi agar tidak terlalu terikat dengan pemimpin di negara beliau menumpang hidup.
Ini kerana dibimbangi mulut pendakwah akan menjadi terkunci atau malu untuk menegur kesalahan kerana kebaikan pemimpin.
Sewaktu beliau menjadi MB Terengganu, beliau berjaya mengadakan usrah sebulan sekali di istana.
Inilah kejayaan dakwah beliau dan beliau amat faham dan akan ada halangan dan ujian seperti ini.
Bagi pimpinan PAS ini, yang mereka mahukan ialah reda Allah.
Dalam masa yang sama juga mereka tetap menyayangi semua manusia walaupun manusia itu tidak menyukai dirinya.
Sikap pemaaf dapat dilihat jelas dalam peribadi TS TGHH yang sudah banyak kali memaafkan lawan beliau, termasuklah Zahid Hamidi dan Najib Razak.
Yang beliau takut ialah kemurkaan ‘khaaliq’ iaitu sang pencipta, bukan mahkluk, yang dicipta.
Semoga ulamak terus berani berkata yang hak, kerana itulah penyelamat.
Hakikatnya, umarak dan ulamak yang Ikhlas, gandingan mereka akan membawa kejayaan dunia akhirat. Ini janji Allah.
Semoga kita semua dirahmati.
Mohd Nasir Abdullah
