Menurut satu kisah yang terkenal, diceritakan oleh Ibnu Katsir berkenaan peristiwa yang telah menimpa seorang ulamak bernama Ibnu Taimiyyah.
Ibnu Taimiyyah dikenali dengan sikapnya yang tegas dan tidak berkompromi dengan kejahatan, dosa mahupun apa-apa kezaliman yang dilakukan tidak kira dari kalangan rakyat biasa, mahupun sultan ketika itu.
Lalu pada satu masa, raja yang memerintah yang zalim bernama Qozaan, dari keturunan Mongol, telah mengadakan majlis jamuan dan menjemput ramai rakyatnya.
Antara yang hadir ialah ulamak-ulamak termasuklah Ibnu Taimiyyah.
Namun ketika mana ulamak lain sibuk menikmati hidangan yang lazat itu, Ibnu Taimiyyah tidak menyentuh langsung makanan itu.
Ibnu Taimiyyah sebaliknya berhujah dengan Qozaan berkenaan kejahatan yang raja lakukan.
Antaranya beliau mengingatkan raja berkenaan keturunan mereka iaitu Hulagu Khan, walaupun kafir tetapi menunaikan janji-janji mereka.
Berlawanan dengan Qozan yang mengaku mempunyai ramai ulamak, tetapi menyerang orang Islam dan berbuat zalim.
Qozaan sebaliknya mempelawa Ibnu Taimiyyah untuk menjamu selera terlebih dahulu.
Tetapi dijawab pelawaan Qozaan itu oleh beliau dengan mengatakan selepas engkau berlaku zalim, kemudian engkau mahu aku duduk dan makan dalam majlis keraian kamu?
Melihat kepada ketegasan Ibnu Taimiyyah yang melawan kehendak raja, maka ulamak-ulamak lain yang sedang menikmati santapan itu mengangkat jubah mereka.
Lalu Ibnu Taimiyyah bertanya, mengapa mereka melakukan sedemikian?
Mereka menjawab, kami takut nanti jubah kami akan terkena percikan darah kamu sewaktu raja memenggal leher kamu.
Begitulah keadaan antara ulamak yang hanya tahu untuk menjaga perut dan benda di bawah perut (mengambil perkataan Ketua Pejuang Reformasi di Malaysia suatu ketika dahulu).
Mereka langsung tidak peduli nyawa ulamak yang ikhlas akan melayang kerana memberitahu kebenaran.
Yang mereka takut, jubah mereka yang mahal dan cantik itu terkena percikan darah.
Ibnu Taimiyyah meninggal dengan keadaan jenazahnya dihantar ke kubur diiringi ratusan ribu manusia dan doa-doa mereka di Damsyik.
Tidak ketinggalan juga fitnah-fitnah yang melekat di zahir tubuh beliau oleh musuh-musuhnya.
Kepada manusia yang tidak mengenal agama, mungkin mayat mereka juga akan diiringi oleh ramai manusia sebagaimana kita melihat manusia-manusia terkenal mati.
Tetapi adakah dengan diiringi rahmat, setelah apa yang mereka lakukan di dunia, tidak memberikan kebaikan langsung kepada Islam.
Jika sekarang berlaku lagi peristiwa sebegini, aku yakin aku sudah dapat mengagak yang manakah ulamak yang menjadi pemberani menegur pemerintah dan ulamak yang akan mengangkat jubahnya kerana takut hukuman kepada sang pemberani itu, akan terpalit kepadanya juga, walaupun ulamak yang berani itu benar.
Hanya ulamak yang mengikuti al-Quran dan sunnah akan terselamat dan menyelamatkan kita.
Hari ini, genap 100 tahun kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, khilafah Islam yang terakhir, di ganyang musuh Islam dari segenap penjuru termasuk juga dari golongan yang mengaku Islam.
Dalam masa yang sama, orang Islam masih tidak sedar dengan perancangan musuh.
Jadilah mereka seperti hidangan makanan yang sedang dikerumuni serigalas sedangkan jumlah umat Islam sangat ramai.
Ditambah lagi dengan kelemahan pemimpin Islam.
Kita kasihkan dunia dan bencikan mati.
Ya Allah selamatkan kami dan ahli keluarga kami dari fitnah ini.
Mohd Nasir Abdullah