Penutupan sejumlah cawangan restoran KFC adalah harga perjuangan yang perlu ditanggung demi solidariti bersama rakyat Palestin.
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mengakui berita penutupan rangkaian restoran makanan segera tersebut memberikan perasaan bercampur baur.
“Ada kegembiraan kerana nampaknya rakyat Malaysia makin menolak produk yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat (AS).
“Ada sedikit rasa kurang selesa kerana penutupan itu sudah tentu menyebabkan ramai pekerjanya dari rakyat negara ini yang majoritinya orang Melayu Islam akan hilang pekerjaan.
“Dengan suasana ekonomi yang meruncing sekarang, sudah tentu kehilangan pekerjaan adalah satu yang sukar buat mereka semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia memaklumkan mengambil langkah proaktif untuk menutup sejumlah kedai buat sementara waktu.
Bagaimanapun, QSR Brands dalam kenyataan pada Isnin berkata, pekerja di kedai yang terjejas (ditutup) sudah ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan lain.
Ia adalah sebagai sebahagian daripada strategi taktikal mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan keterlibatan pelanggan yang lebih tinggi.
Ustaz Muhammad Fauzi berkata, ketika beliau dan perwakilan lain dari GSPP bertemu dengan pengurusan McDonald, mereka menyatakan keyakinan bahawa hati dan jiwa pengurusan McDonald bersama Palestin.
“Kepada pengurusan dan pekerja KFC, saya nyatakan perkara yang sama; jiwa dan hati anda semua saya yakin bersama Palestin.
“Jadi marilah kita sama-sama melakukan sesuatu untuk Palestin dan bersama menanggung keperitan itu.
“Saya yakin ada banyak alternatif yang boleh dilakukan oleh pengurusan dan pekerja KFC berdepan suasana ini. Di mana ada kemahuan, di situ sudah pasti ada jalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesyorkan agar isu boikot ini tidak dijadikan sebagai faktor perpecahan antara masyarakat.
“Tidak perlu memprovokasi. Tidak perlu mengejek dan menyindir. Jika ada cadangan yang lebih baik bagaimana isu boikot ini dapat dikurangkan mudaratnya kepada warga Malaysia, cadang dan bincangkanlah dengan baik melalui saluran yang betul.
“Amat rugi jika gerak kerja boikot yang disambut baik dan menyatukan sebahagian warga Barat, tetapi di negara kita ianya menjadi faktor perpecahan,” katanya.