Laporan bahawa kira-kira 100,000 kanak-kanak di Malaysia berkemungkinan telah mendapat kesan buruk akibat eksploitasi seksual dalam talian amat membimbangkan.
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA, Dr Siti Sarah Amran berkata, berdasarkan tinjauan global bertajuk ‘Disrupting Harm in Malaysia’, didapati bahawa sekitar 4 peratus kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun di Malaysia yang menggunakan internet pernah mengalami eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian (OCSEA).
Ia termasuk perbuatan peras-ugut kanak-kanak untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti seksual, berkongsi imej seksual mereka tanpa kebenaran atau memaksa mereka untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti seksual melalui janji wang atau hadiah.
Tinjauan itu adalah berdasarkan maklumat yang dikumpul dari tahun 2021 hingga 2022.
Dr Siti Sarah berkata, penyumbang utama kepada masalah ini antaranya adalah kerana pendedahan kepada gajet di usia yang muda, akses kepada sosial media tanpa batasan, serta kurangnya pemantauan daripada ibu bapa.
“Usia kanak-kanak yang masih naif menyebabkan privasi mereka mudah diceroboh dan menjadi mangsa pemerasan untuk terlibat dalam aktiviti seksual, berkongsi imej seksual tanpa kebenaran dan dipaksa agar terlibat dengan dijanjikan wang dan hadiah.
“Paling membimbangkan lagi, ada daripada kalangan kanak-kanak sendiri yang menjadi pemangsa,” katanya dalam kenyataan.
Bagi mengekang isu ini menjadi semakin parah, beliau berkata, langkah-langkah pencegahan yang proaktif dan komprehensif sangat kritikal untuk diambil.
Katanya, ibu bapa bertanggungjawab memberikan pendidikan agama, membentuk jati diri anak-anak, mendisiplin, membimbing dan memantau aktiviti anak-anak.
Ini supaya mereka dapat memahami pentingnya menjaga kesucian diri dan menghormati batas-batas yang telah ditetapkan, tegasnya.
Mengulas lanjut, Dr Siti Sarah berkata, dalam keadaan dunia sekeliling yang terlalu banyak stimulasi hiperseksual, pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif sudah menjadi keperluan buat kanak-kanak di Malaysia.
“Kanak-kanak perlu diperkasakan dengan pengetahuan yang betul tentang ilmu seksualiti dan reproduktif, mengetahui ancaman-ancaman yang boleh dihadapi oleh mereka serta cara-cara mengatasinya,” katanya.
Mengambil tanggungjawab itu, Dr Siti Sarah yang juga Penggubal Modul ReproAlert! berkata, ISMA sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dakwah berusaha menyampaikan pendidikan ini kepada kanak-kanak.
Usaha ini dilakukan melalui Kelab Anak-Anak Hebat NAZIM Malaysia (NAZIM) dengan menggunakan Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert!) garapan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).
Beliau berkata, hakikatnya usaha untuk menyelesaikan permasalahan ini tidak hanya terletak pada bahu ibu bapa, guru atau pihak-pihak tertentu sahaja, tetapi ia turut memerlukan bantuan dan penyertaan aktif seluruh komuniti.
“Mengambil ungkapan peribahasa Afrika, “It takes a village to raise a person”, di mana setiap individu dalam komuniti turut bertanggungjawab terhadap kemenjadian seorang kanak-kanak.
“Tidak cukup kita dan keluarga kita sahaja yang menjadi baik, tetapi jika masyarakat di luar sana tidak terjaga, akhirnya kita juga akan menerima tempias akibat buruknya.
“Komuniti yang unggul dan bersatu hati, saling mengambil berat, nasihat-menasihati dapat memelihara kerosakan dalam masyarakat dan memelihara kesejahteraan kanak-kanak sebagai generasi pewaris masa depan,” katanya lagi.