Hamas Gesa Negara Islam Teruskan Boikot Israel Dan Penyokongnya

Hamas Gesa Negara Islam Teruskan Boikot Israel Dan Penyokongnya

Pergerakan Hamas hari ini menggesa negara-negara Islam meneruskan boikot ekonomi dan politik terhadap Israel dan semua pihak yang menyokongnya, dan menyifatkan kempen global setakat ini telah mencapai “kejayaan penting dalam menjejaskan ekonomi entiti itu, mengasingkannya, dan memadamkan legitimasinya”.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal hari ini, Hamas berkata ia menyokong penuh usaha boikot sebagai kaedah “penentangan komprehensif terhadap Zionis”.

“Hamas juga mengesahkan ini merupakan pendiriannya yang tegas dan strategik yang tidak berubah, lebih-lebih lagi ketika pencerobohan kejam dan pembunuhan beramai-ramai setiap hari yang dilakukan terhadap rakyat kami di Semenanjung Gaza.

“Kami menggesa rakyat di negara Arab dan Islam serta rakyat merdeka seluruh dunia untuk menyokong semua usaha ke arah pemulauan dan pengasingan entiti ini dan penyokongnya,” kata kenyataan itu.

Sejak Israel memulakan pengeboman di Gaza Oktober lalu, produk dan syarikat yang dilihat memperkasakan ekonomi dan jentera perang Israel telah menjadi sasaran kempen boikot di seluruh dunia.

Antara kumpulan yang mengetuai kempen itu ialah Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), gerakan antarabangsa yang menganjurkan boikot syarikat, jenama dan institusi akademik yang membiayai dan menyokong rejim Israel sama ada secara langsung atau tidak.

Seruan terbaru Hamas kepada negara Islam itu dikeluarkan di tengah-tengah bantahan yang semakin meningkat di Malaysia, yang menyaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus enggan tunduk kepada tekanan untuk membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat milik pengurus dana kontroversi AS BlackRock mendapatkan kepentingan dalam konsortium menguruskan lapangan terbang.

Berucap di Dewan Rakyat semalam, Anwar menyifatkan sebagai “tidak realistik” bagi kerajaannya memutuskan hubungan dengan syarikat yang berurusan dengan Israel dan dituduh bersubahat dengan negara Zionis itu.

Beliau turut mendakwa pimpinan Hamas juga tidak ada isu dengan pendiriannya.

“Bunyi sedaplah, bagi orang dengar seronok, kita ni hebat pejuang. Tapi sebenarnya tidak realistik. 

“Saya bincang dengan pimpinan Hamas, tidak berbangkit pun. Ini lebih Hamas daripada Hamas,” kata Anwar.

Susulan itu, ahli Parlimen Perikatan Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata Anwar bukan sahaja gagal menjelaskan keperluan rakan kongsi asing untuk mengendalikan Malaysia Airports Holdings (MAHB), tetapi jawapannya juga mengelirukan.

“Contohnya, beliau berkata berhubung dengan pemimpin Hamas, dan beliau menggambarkan seolah-olah pemimpin Hamas tiada masalah hubung kait antara BlackRock berniaga dengan mempunyai aset strategik negara. Saya tidak faham kenapa perdana menteri perlu ‘name-dropping’ sebegitu,” katanya.

Di bawah rancangan diumumkan bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock akan membeli 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan MAHB, bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Anwar.

Langkah itu mencetuskan bantahan pemimpin masyarakat sivil dan kumpulan pro-Palestin yang menuntut kerajaan membatalkan perjanjian itu memandangkan BlackRock berdepan tuduhan bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 35,000 orang.

Minggu lalu, sekumpulan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menamakan BlackRock bersama puluhan syarikat, pengeluar senjata dan institusi kewangan, memberi amaran kepada mereka supaya tidak terlibat dalam membekalkan senjata kepada Israel kerana tindakan itu menunjukkan keterlibatan dalam jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

“Syarikat-syarikat ini, dengan menghantar senjata, alat ganti, komponen dan peluru kepada tentera Israel, berisiko terlibat dalam pelanggaran serius hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan dikeluarkan lebih 30 pakar dan pegawai PBB diketuai Robert McCorquodale, ahli Kumpulan Kerja PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan “menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel”.

Isu Semasa