Makhluk manusia ditetapkan oleh Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan Pencipta alam yang bersifat Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana supaya manusia itu berada di alam dunia, beramal dan bertugas sebelum alam akhirat yang kekal abadi.
Mereka ditugaskan di bumi dengan sifat yang khusus dan sifat yang tiada pada makhluk yang lain.
Manusia dijadikan berjasad, berakal, dan bernafsu yang dikawal oleh akal, serta bernyawa dan bergerak, bersifat kedirian, berkeluarga dan bermasyarakat.
Segala sifat ini membolehkan mereka mentadbir makhluk yang lain di alam bumi.
Malah, ditetapkan supaya mereka beribadat menyembah Allah dan memperhamba diri dengan menggalas tugas mentadbir dunia serta menunaikan amanah dengan menegakkan konsep adil kepada semua.
Semua tugas tersebut menjadi amalan soleh yang dijanjikan pahala dan akan diberi balasan pada Hari Akhirat kelak.
Manusia wajib mengisi kehidupannya di atas dunia ini dengan tugas beribadat kepada Allah, mentadbir urusan dunia dan menunaikan amanah tersebut.
Selain itu, manusia juga dikurniakan ilmu agama dan keduniaan dengan hidayah wahyu bersama para anbiya’ yang dilantik dalam kalangan mereka.
Apabila hendak menciptakan manusia, Allah mengisytiharkan kepada para malaikat sebagaimana firman-Nya:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’ (30)
“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31)
“Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32)
“Allah berfirman, ‘Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.’ Maka, setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, ‘Bukankah sudah Ku-katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia di langit dan di bumi; serta mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?’ (33) [Surah al-Baqarah: 30-33]
Manusia diberikan ilmu yang tidak dikurniakan kepada malaikat, makhluk yang paling taat dan telah ditetapkan tugas kepada mereka.
Manusia dikurniakan ilmu yang tiada pada para malaikat dan kemampuan yang tiada pada makhluk yang lain.
Dunia ialah tempat manusia bertugas, laksana jambatan menuju akhirat yang menguji manusia, sama ada menuju ke syurga atau ke neraka. Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah, Tuhan yang pada tangan-Nya segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)
“Dialah Tuhan yang menjadikan mati dan hidup kamu untuk menguji siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1-2]
Semua tugas itu termasuk dalam hukum dan sempadan Allah yang wajib dipelihara. Para ulama’ meletakkannya dalam perkara fardu ‘ain (kepada setiap individu) atau fardu kifayah (kepada umum).
Perkara fardu kifayah pula boleh menjadi fardu ‘ain kepada sesiapa yang ada kemampuan, dan apabila tidak ada yang tampil ke hadapan. Maka, semua urusan mentadbir dunia termasuk dalam hukum ini.
Mereka diuji, sama ada percaya kepada Islam atau tidak percaya kepadanya. Allah yang menjadi kepercayaan mereka adalah Tuhan Yang Maha Esa, Pencipta alam dan mentadbirnya adalah penentu kebenaran berpandukan hidayah-Nya, firman Allah SWT:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ١٤٧
“Kebenaran itu adalah datangnya daripada Tuhanmu; sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk kalangan orang yang ragu.” [Surah al-Baqarah: 147]
Bagi urusan dunia yang benar, umat Islam wajib menguasai ilmu dunia yang bermanfaat daripada semua pihak sekalipun daripada musuh Islam. Hal ini telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Bahkan, diwajibkan menerima kebenaran dan perkara yang baik, pada masa yang sama menolak perkara yang mungkar termasuk dalam ilmu pengetahuan.
Perkara ini ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:
الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.
“Hikmah (kebijaksanaan) itu laksana barang yang tercicir kepunyaan orang yang beriman. Di mana-mana ia dijumpai, maka dialah orang yang paling berhak memungutnya (memilikinya).” [Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2687, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Zuhd, No. 4169, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]
Umat Islam diwajibkan mempunyai ilmu wahyu dan ilmu dunia yang dipandu oleh agama.
Malangnya, berlaku kejahilan dalam kalangan umat Islam yang meninggalkan urusan dunia yang menjadi sebahagian daripada kewajipan mereka untuk memakmurkan dunia dengan petunjuk Allah.
Semua urusan besar dalam mentadbir dunia adalah fardu kifayah, tetapi mereka hanya menentukan fardu kifayah dalam urusan jenazah kematian sahaja.
Padahal dalam al-Quran terdapat lebih banyak petunjuk setiap urusan dunia dan dalam semua perkara.
Rasulullah SAW memberitahu bahawa pahala bukan sahaja pada ibadat sembahyang dan lain-lain ibadat sahaja, termasuk juga kepada peniaga yang amanah bersama para siddiqin.
Malah, mereka yang menjalankan aktiviti pertanian juga diberikan pahala, apabila hasilnya dimakan oleh manusia dan binatang.
Hal ini termasuk kurniaan pahala kerana meninggalkan perkara yang haram dalam kehidupan dunia, bahkan juga diberikan kelebihan bertaubat setelah seseorang itu berdosa.
Berilmu agama dalam kewajipan peribadi seperti urusan kepercayaan kepada Allah, beribadat kepada-Nya, dalam perkara berkeluarga dan hubungan bermasyarakat serta perkara akhlak adalah fardu ‘ain.
Adapun bertafaqquh (mendalami kefahaman ilmu agama) pula adalah fardu kifayah, sebagaimana firman Allah SWT:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Dan tidak sepatutnya bagi Mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka) tentang agama, dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka itu dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya)?” [Surah al-Tawbah: 122]
Menyediakan keperluan hidup seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan dan lain-lain adalah fardu kifayah.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang berkait dengan muamalat, kewajipan zakat dan juga menyumbang serta membantu masyarakat termasuk menyediakan kemudahan ibadat.
Semuanya memerlukan jumlah harta yang banyak.
Islam menggalakkan muamalat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya tanpa bersikap melampau mengikut hukum Islam dan membelanjakannya bagi melaksanakan kebajikan yang diwajibkan, sunat dan harus terhadap diri keluarga dan masyarakat yang dijanjikan pahala di Hari Akhirat.
Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ ١٥
“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya, dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan (ingatlah) hanya kepada-Nya, kamu (kembali setelah) dibangkitkan semula.” [Surah al-Mulk: 15]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٦٨
“Wahai orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (267)
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjadikan untukmu ampunan-Nya dan kurniaan daripada-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (268)” [Surah al-Baqarah: 267-268]
Perintah Allah apabila banyak harta, hendaklah ia disumbangkan agar Islam dapat mencapai kemenangan.
Berlaku ketika umat Islam menguasai ilmu agama dan ilmu dunia, sehingga mencapai kejayaan tamadun Islam bukan berkonsep madani mutlak yang tidak dinyatakan Islamnya.
Bertitik tolak daripada keberkatan Rasulullah SAW, maka Baginda menamakan negara Madinah al-Munawwarah (bercahaya petunjuk) dan berlaku janji Allah melalui firman-Nya:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
Firman Allah SWT:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” [Surah al-A‘raf: 96]
Islam menetapkan harta itu menjadi sebahagian daripada jalan kebajikan di Hari Akhirat kelak, sekiranya ia diambil mengikut sempadan petunjuk Islam.
Malah, Islam memerintahkan agar membelanjakannya juga mengikut petunjuk Islam supaya tidak melampau sehingga ada yang bertuhankan harta. Firman Allah SWT:
۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ وَهُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ مِنۢ بَعۡدِ مَا قَنَطُواْ وَيَنشُرُ رَحۡمَتَهُۥۚ وَهُوَ ٱلۡوَلِيُّ ٱلۡحَمِيدُ ٢٨
“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada setiap hamba-hamba-Nya, sudah tentu mereka akan melampaui batas di muka bumi; tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat. (27)
“Dan Dialah Tuhan yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji. (28)” [Surah al-Shura: 27-28]
Islam tidak menghalang seseorang memperoleh kekayaan yang halal, namun ditetapkan kepadanya kewajipan terhadap keluarga dan masyarakat serta tidak berlumba-lumba dengan rakus.
Firman Allah SWT:
مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧
“Apa saja harta rampasan fai’ (diambil selepas berperang atau berdamai) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota, maka ia adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar antara orang-orang kaya saja antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat keras hukuman-Nya.” [Surah al-Hashr: 7]
Islam juga menetapkan bahawa menyediakan kekuatan pertahanan untuk memelihara negara, agama dan umat juga merupakan suatu kewajipan. Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Perkataan kekuatan dinyatakan dengan lafaz umum mengikut perkembangan masa dan keadaan terkini.
Bahkan, diletakkan kelebihan golongan yang memberi sumbangan dalam menegakkan agama dan umat itu lebih afdal daripada sumbangan kepada jemaah haji dan Masjid al-Haram:
۞أَجَعَلۡتُمۡ سِقَايَةَ ٱلۡحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ كَمَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَجَٰهَدَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ لَا يَسۡتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٩ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ ٢٠
“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. (19)
“Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (20)” [Surah al-Tawbah: 19-20]
Allah menyatakan mereka yang berbangga sumbangannya kepada haji dan Masjid al-Haram, namun membiarkan umat Islam dihina dalam segala lapangan.
Ada pula yang sanggup melabur kepada musuh Islam berlipat kali ganda.
Allah mendedahkan penyakit takut untuk membantu Islam kerana takut kepada musuh Islam melalui firman-Nya:
فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ يُسَٰرِعُونَ فِيهِمۡ يَقُولُونَ نَخۡشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٞۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرٖ مِّنۡ عِندِهِۦ فَيُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ نَٰدِمِينَ ٥٢
“Maka, kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafiq) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata, ‘Kami takut bahawa kami akan mendapat bencana.’ Mudah-mudahan, Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka disebabkan itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri (hati) mereka. [Surah al-Ma’idah: 52]
Kita saksikan betapa umat Islam di Gaza diratah oleh musuh dan lain-lain. Betapa harta kekayaan tidak berfaedah tanpa ilmu agama dan ilmu dunia, sehingga dimanfaatkan oleh musuh Islam.
Pada zaman keemasan Tamadun Islam, negaranya menjadi kuasa besar dunia dapat melindungi umat Islam dan bukan Islam yang dizalimi kerana tidak melampau, sehingga kedatangan bala tentera Islam dianggap sebagai penyelamat bukan penjajah.
Mereka menerima Islam kerana adilnya bukan dengan paksaan.
Hari ini umat Islam menghadapi zaman kelemahan dalam ilmu agama sendiri kerana tidak bertafaqquh dan jahil terhadap ilmu dunia kerana leka dengan kemajuan kebendaan kehidupan dunia, bukan menjadikan dunia tempat beramal bagi menunaikan perintah Allah.
Bahkan, ada juga yang terpengaruh dengan ideologi yang bertuhankan kebendaan dunia dengan bernafsu mengatasi akal serta meninggalkan hidayah Allah dalam urusan agama dan dunia.
Dunia kini dikuasai oleh blok yang bertuhankan ekonomi kebendaan, sama ada yang ekstrem membela masyarakat yang berbeza sehingga menyekat kekayaan malah ada yang liberal berkiblatkan kebendaan sehingga melampau mencari kekayaan dan menindas golongan yang lemah.
Islam berkonsep wasatiyyah mentadbir dunia dengan agama dan harta adalah lapangan beramal kebajikan dalam dunia yang menjadi jambatan amal soleh menuju akhirat, bukan tuhan yang dipuja dan disembah kerana meninggalkan hidayah Allah. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ أَكَادُ أُخۡفِيهَا لِتُجۡزَىٰ كُلُّ نَفۡسِۢ بِمَا تَسۡعَىٰ ١٥ فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنۡهَا مَن لَّا يُؤۡمِنُ بِهَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ فَتَرۡدَىٰ ١٦
“Sesungguhnya, Hari Kiamat itu tetap akan datang, yang Aku rahsiakan (waktunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang dia usahakan. (15)
“Maka, sekali-kali janganlah kamu dipalingkan daripadanya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti hawa nafsunya, yang menyebabkan kamu menjadi binasa. (16)” [Surah Taha: 15-16]
Para malaikat yang ditugaskan menulis amalan manusia dalam semua urusan ibadat dan juga kerja dunia dalam semua kehidupan hariannya, bukan hanya menulis urusan ibadatnya sahaja. Firman Allah SWT:
وَإِنَّ عَلَيۡكُمۡ لَحَٰفِظِينَ ١٠ كِرَامٗا كَٰتِبِينَ ١١ يَعۡلَمُونَ مَا تَفۡعَلُونَ ١٢
“Padahal, sesungguhnya bagi kamu ada (para malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu). (10)
“Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). (11)
“Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan. (12)” [Surah al-Infitar: 10-12]
Allah mengumpulkan kebajikan melalui diri hamba-Nya yang beriman, bersyariat, berakhlak dan berharta, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya:
۞لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِي ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِۗ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُونَ ١٧٧
“Bukanlah kebajikan itu menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat. Akan tetapi, sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, Hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi; dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan semasa dalam peperangan. Dan mereka itulah orang-orang yang benar (iman mereka); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 177]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS