“Iran Menyerah Diri” — Satu Dakwaan Terlalu Besar Untuk Diucapkan Presiden Amerika Syarikat

“Iran Menyerah Diri” — Satu Dakwaan Terlalu Besar Untuk Diucapkan Presiden Amerika Syarikat

Dalam satu rakaman video yang disiarkan dua hari selepas pertempuran antara Iran dan Israel terhenti, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei, memanjatkan kesyukuran kepada Allah, mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Bersenjata dan rakyat Iran atas kejayaan mereka merendahkan rejim Zionis dan kerajaan Amerika Syarikat sepanjang perang 12 hari yang bermula pada 13 Jun lalu dengan serangan udara Israel ke atas wilayah Iran.

Teks Ucapan (Terjemahan):

Pertama sekali, saya ingin memberi satu penghormatan yang tinggi kepada para syuhada yang gugur dalam peristiwa-peristiwa mutakhir ini.

Para komander yang syahid, para saintis yang syahid — mereka benar-benar tidak ternilai bagi Republik Islam dan telah berkhidmat dengan penuh keikhlasan — hari ini, insya-Allah, menerima ganjaran mereka di sisi Tuhan Yang Maha Esa.

Saya juga perlu mengucapkan tahniah kepada bangsa Iran yang agung — beberapa ucapan tahniah adalah seperti berikut:

Pertama, tahniah atas kemenangan ke atas rejim Zionis.

Walaupun penuh dengan keangkuhan dan dakwaan hebat, rejim Zionis hampir rebah tersungkur di bawah hentaman Republik Islam.

Mereka tidak pernah terfikir pun bahawa Republik Islam mampu melancarkan serangan sedemikian — namun ia berlaku.

Kami bersyukur kepada Allah, yang telah membantu angkatan bersenjata kita, sehingga mereka dapat menembusi sistem pertahanan berlapis yang canggih dan memusnahkan banyak kawasan bandar serta kemudahan ketenteraan rejim Zionis dengan kekuatan peluru berpandu dan senjata canggih kita.

Ini merupakan nikmat Ilahi yang sangat besar.

Ia menunjukkan bahawa rejim Zionis mesti menyedari bahawa sebarang pencerobohan terhadap Republik Islam Iran akan dibayar dengan harga yang amat mahal.

Alhamdulillah, perkara itu telah pun berlaku.

Segala penghargaan diberikan kepada pasukan bersenjata kita dan juga rakyat kita yang tercinta, yang telah mendidik, membangunkan dan menyokong pasukan ini sehingga mampu melaksanakan tugas besar ini.

Kedua, tahniah atas kemenangan Iran ke atas rejim Amerika.

Rejim Amerika turut serta secara langsung dalam peperangan ini — kerana mereka sedar bahawa jika mereka tidak campur tangan, rejim Zionis akan dihancurkan sepenuhnya.

Maka mereka masuk ke medan perang untuk menyelamatkan sekutunya.

Namun mereka tidak mendapat apa-apa hasil.

Mereka menyerang fasiliti nuklear kita — serangan yang seharusnya dibawa ke mahkamah antarabangsa secara undang-undang — tetapi mereka gagal mencapai sebarang kejayaan bermakna.

Presiden Amerika pula membesar-besarkan kenyataan tentang kejadian itu, kerana dia perlu menutupi hakikat sebenar.

Sesiapa yang mendengar kenyataan itu akan faham bahawa di sebalik kata-kata tersebut tersembunyi satu kebenaran lain.

Mereka gagal mencapai tujuan.

Mereka menggembar-gemburkan untuk menutup kebenaran.

Dalam hal ini juga, Republik Islam Iran muncul sebagai pemenang, dan telah memberikan tamparan keras ke muka Amerika.

Kita telah menyerang salah satu pangkalan terpenting Amerika di rantau ini — pangkalan al-Udeid — dan telah mendatangkan kerosakan.

Mereka yang sebelum ini membesar-besarkan serangan ke atas kita, kini cuba meremehkan serangan kita — kononnya tiada apa berlaku, sedangkan perkara besar telah terjadi.

Hakikat bahawa Republik Islam mampu bertindak balas terhadap pusat-pusat utama Amerika di rantau ini pada bila-bila masa merupakan perkara yang besar.

Dan di masa hadapan, hal ini boleh berulang.

Sekiranya ada pencerobohan, musuh akan membayar dengan harga yang sangat mahal.

Ketiga, tahniah atas kesatuan luar biasa rakyat Iran.

Alhamdulillah, sebuah bangsa yang hampir 90 juta orang, bangkit bersatu hati, berdiri bersama-sama, tanpa sebarang perbezaan dalam tuntutan atau matlamat.

Mereka berdiri teguh, melaungkan slogan, menyuarakan sokongan terhadap tindakan angkatan bersenjata — dan ini akan berterusan.

Bangsa Iran telah menunjukkan ketinggian akhlak dan martabatnya dalam isu ini.

Bangsa ini telah membuktikan bahawa apabila diperlukan, mereka akan bersuara dengan satu suara — dan alhamdulillah, itulah yang berlaku.

Perkara Pokok yang Ingin Saya Tekankan:

Presiden Amerika, dalam salah satu ucapannya, berkata: “Iran mesti menyerah diri.”

Serah diri. Perkara ini sudah bukan lagi mengenai pengayaan uranium, bukan lagi tentang industri nuklear — ia sekarang berkenaan penyerahan Iran secara total.

Sudah tentu, ucapan sebegini terlalu besar untuk keluar dari mulut Presiden Amerika.

Iran, dengan segala kebesaran, sejarah, kebudayaan dan keteguhan azam nasionalnya, perkataan “menyerah diri” terhadap negara seperti ini hanya satu jenaka bagi mereka yang memahami rakyat Iran.

Namun, ucapan itu mendedahkan satu kebenaran:

Sejak awal Revolusi Islam, Amerika tidak pernah berdamai dengan Iran Islam.

Mereka sentiasa bergelut dan bermusuh dengan kita.

Setiap kali mereka datang dengan alasan baharu — kadang-kadang atas nama hak asasi manusia, kadang-kadang atas nama demokrasi, kadang-kadang atas nama hak wanita, kadang-kadang mengenai pengayaan, kadang-kadang mengenai nuklear, kadang-kadang mengenai peluru berpandu.

Mereka datang dengan pelbagai dalih, tetapi hakikatnya hanya satu: Mereka mahu Iran menyerah.

Presiden-presiden sebelum ini tidak pernah menyatakannya secara terang, kerana ia terlalu biadab — tidak ada logik yang waras yang boleh menerima ajakan kepada sesebuah negara, “Serahlah diri kamu.”

Maka mereka menutup niat itu di sebalik label-label lain.

Tetapi lelaki ini (Trump) telah membongkarkan kebenaran itu.

Dia menyatakannya secara terbuka — menunjukkan bahawa Amerika tidak akan menerima apa-apa kecuali penyerahan Iran.

Ini adalah satu perkara yang sangat penting untuk difahami oleh rakyat Iran: inilah hakikat konfrontasi dengan Amerika.

Ini adalah penghinaan besar yang cuba ditujukan oleh Amerika kepada rakyat Iran — dan perkara seperti ini tidak akan pernah berlaku.

Ia tidak akan pernah berlaku.

Iran Adalah Bangsa Besar:

Bangsa Iran ialah bangsa yang agung.

Iran adalah negara yang kuat dan luas.

Iran memiliki tamadun yang kuno.

Kekayaan budaya dan peradaban kita beratus-ratus kali ganda lebih hebat daripada Amerika dan seumpamanya.

Mengharapkan Iran untuk tunduk kepada kuasa lain adalah antara pembohongan paling lucu dan tidak masuk akal — sesuatu yang pasti akan ditertawakan oleh orang yang bijaksana.

Bangsa Iran ialah bangsa yang bermaruah, dan akan terus bermaruah.

Ia ialah bangsa yang menang, dan akan terus menang, dengan izin Allah.

Kami memohon agar Allah Yang Maha Mulia terus memelihara bangsa ini dalam rahmat dan kemuliaan-Nya.

Semoga Allah meninggikan darjat Imam agung kita (Imam Khomeini), dan semoga Imam Mahdi (a.s.) redha terhadap bangsa ini.

Dan semoga pertolongan Imam Mahdi akan terus menjadi penyokong kepada bangsa ini.

Iran