Jadilah Insan Yang Mengawal Masalah, Bukan Dikuasai Oleh Masalah

Jadilah Insan Yang Mengawal Masalah, Bukan Dikuasai Oleh Masalah

Dalam satu nasihat penuh motivasi yang menyentuh realiti kehidupan semasa, YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, menekankan bahawa cabaran hidup masa kini semakin berat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan menjadi mudah.

Namun begitu, katanya, manusia tidak seharusnya tunduk kepada tekanan kehidupan, sebaliknya perlu menjadi individu yang mengawal masalah, bukan dikawal oleh masalah.

Menurut beliau, peningkatan usia membawa bersamanya peningkatan tanggungjawab dan ujian.

Bahkan, tegasnya, tiada manusia yang bebas sepenuhnya daripada masalah, sekalipun hidup bersendirian di sebuah pulau yang terpencil.

“Kalau kita duduk seorang diri di pulau pun, kita masih perlu fikir tentang makan, minum dan kelangsungan hidup. Maka, mustahil untuk lari dari cabaran,” ujar beliau.

Dr. Samsuri menyeru masyarakat agar memiliki matlamat hidup yang jelas, dan tidak membiarkan hari-hari berlalu tanpa arah.

Katanya, bangun pagi tanpa tujuan adalah satu kerugian besar, kerana masa yang berlalu tanpa makna adalah masa yang tidak akan kembali.

Khusus kepada golongan anak muda, beliau mengingatkan agar mereka bersiap sedia menghadapi ujian kehidupan sebenar yang jauh lebih mencabar daripada sekadar bilik darjah dan peperiksaan.

“Ilmu yang dipelajari di sekolah hanyalah asas. Ibarat belajar berenang di kolam. Selepas itu, kamu akan diuji di sungai dan di lautan sebenar dengan arus yang kuat serta ombak yang tidak diduga,” jelas beliau dengan penuh perumpamaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa generasi muda untuk membina kekuatan spiritual dan mental melalui keimanan, ketakwaan dan istiqamah dalam pendirian.

Inilah bekalan utama yang akan menjadi pelindung dalam mengharungi gelombang kehidupan.

“Kita perlu kuat semangat, tetap pendirian dan istiqamah dalam iman serta takwa. Dengan itu, insya-Allah, kita akan mampu menghadapi apa sahaja cabaran di hadapan,” tegas beliau.

Nasihat beliau turut dilihat sebagai satu pesanan asas kepimpinan Islam yang berakar daripada keyakinan bahawa manusia diciptakan untuk menghadapi ujian, sebagaimana yang disebut dalam firman Allah:

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam kepayahan.”(Surah Al-Balad, 90:4)

Pesanan yang dilontarkan oleh Dr. Ahmad Samsuri ini hadir tepat pada masanya, di saat ramai masyarakat, khususnya golongan muda, sedang bergelut dengan tekanan hidup, keruntuhan moral dan kekaburan arah tuju.

Ia menjadi peringatan bahawa hidup ini bukan sekadar untuk bertahan, tetapi untuk berjuang dengan jiwa yang berlandaskan iman dan harapan.

Minda Pemimpin