Kenapa Rakyat Masih Ingat ‘Abah’ – Tangan Memberi Tak Pernah Berkira

Kenapa Rakyat Masih Ingat ‘Abah’ – Tangan Memberi Tak Pernah Berkira

1. Jelas dan Nyata: Tan Sri Muhyiddin Yassin Mendahului Jauh

Ketika negara dilanda pandemik paling dahsyat dalam sejarah moden, Tan Sri Muhyiddin Yassin muncul sebagai pemimpin yang tidak berlengah, tidak bercakap kosong, tetapi terus bertindak.

Beliau menyedari bahawa ketika rakyat lapar, kerajaan mesti memberi.

Hasilnya, lebih RM60 bilion hingga RM70 bilion bantuan tunai langsung diagihkan kepada rakyat tanpa banyak karenah – dari B40 hinggalah ke M40, termasuk pelajar dan peniaga kecil.

Setiap ringgit yang sampai ke tangan rakyat pada waktu itu, menjadi penyelamat – bukan sekadar statistik di Parlimen atau propaganda TikTok.

2. Anwar Ibrahim – Banyak Cerita, Kurang Memberi

Sejak memegang jawatan pada hujung 2022, Anwar hanya berjaya menyalurkan sekitar RM15.9 bilion bantuan tunai, termasuk STR, SARA dan bantuan one-off RM100.

Itu pun disertai dengan syarat pendaftaran dan semakan silang yang memeningkan.

Sementara rakyat menanti bantuan, Anwar sibuk dengan wacana, ucap panjang lebar dan program lawatan luar negara.

Pendekatan retorik Anwar tidak sejajar dengan kesusahan sebenar rakyat. Ibaratnya, rakyat lapar diberi ceramah moral dan kuliah ekonomi.

3. Muhyiddin – Bantuan Terus, Tanpa Bebankan

Di bawah pentadbiran Muhyiddin, tiada pengenalan cukai baru, tiada SST tambahan, tiada surcaj elektrik membunuh poket rakyat.

Malah, rakyat diberi ruang untuk bernafas dengan moratorium automatik pinjaman dan pengeluaran KWSP – bukan sekali, tetapi beberapa kali, atas dasar mempercayai rakyat mampu menguruskan wang mereka sendiri.

4. Anwar – Bantuan ‘Canggih’, Tetapi Rakyat Makin Sempit

Kenaikan SST daripada 6% ke 8%, peluasan cukai ke sektor logistik, digital, penyelenggaraan, penarikan subsidi RON95, tarif elektrik meningkat dan pelbagai caj tambahan menunjukkan kerajaan kini lebih ghairah mengambil daripada memberi.

Walaupun kononnya RM100 diberi kepada semua dewasa, hakikatnya rakyat sedang dihimpit kiri dan kanan melalui polisi ekonomi yang tidak mesra rakyat.

5. Najib dan Ismail Sabri – Bantuan Teratur, Kesan Konsisten

Program BR1M oleh Najib dan BKM oleh Ismail Sabri mencerminkan konsistensi dalam pendekatan bantuan – dengan jumlah tetap dan proses tersusun setiap tahun.

Malah, subsidi kekal sepanjang tempoh pentadbiran mereka.

Ini menimbulkan keyakinan jangka panjang, tidak seperti Anwar yang memberi one-off RM100 untuk populis, tetapi dalam masa sama mengurangkan nilai bersih yang rakyat dapat setiap bulan akibat cukai dan kenaikan harga.

KENAPA RAKYAT MASIH SAYANGKAN ABAH?

Abah bantu tanpa syarat yang membebankan.

Abah tidak menipu dengan retorik ‘tidak ada duit’ tetapi dalam masa sama naikkan SST dan tarik subsidi.

Abah tidak jadikan rakyat sebagai mangsa percubaan teori ekonomi yang belum tentu berjaya.

Abah dengar suara rakyat – dari pengeluaran KWSP, moratorium, sehingga harga minyak turun.

APA HARAPAN RAKYAT KEPADA “ABAH”?

Kini, dalam suasana tekanan ekonomi, inflasi makanan, kenaikan tarif utiliti dan kos hidup yang semakin menggila, rakyat kembali menoleh kepada pemimpin yang pernah hadir sebagai pelindung dalam waktu paling getir: Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi rakyat, beliau bukan hanya “Abah” ketika krisis, tetapi masih kekal sebagai simbol kepimpinan prihatin dan bertanggungjawab.

HIMPUNAN TURUN ANWAR – 26 JULAI 2025

Seruan rakyat jelas: bantuan kecil dan lambat, cukai bertambah, subsidi ditarik, tarif dinaikkan – apa gunanya seorang Perdana Menteri yang lebih banyak bercakap daripada membantu?

26 Julai ini, rakyat tidak mahu retorik. Rakyat mahu pemimpin yang benar-benar membela – bukan memperdaya. Sudah tiba masa Anwar letak jawatan dan beri laluan kepada kepimpinan yang lebih bertanggungjawab dan terbukti membantu rakyat.

“Rakyat Bukan Tikus Makmal Ekonomi Madani.”

Datuk Hishamuddin Abdul Karim

Ekonomi