Dalam suasana politik yang semakin tegang berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik, PAS tampil dengan kenyataan menekankan keperluan semua pihak kembali kepada semangat asal pembentukan negara serta prinsip Rukun Negara.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan medianya menyifatkan arahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke agar sayap pemuda parti itu membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh sebagai tindakan berlebih-lebihan dan janggal.
Menurut beliau, sebagai parti-parti yang sama-sama menganggotai kerajaan, DAP dan UMNO sepatutnya mencari jalan damai secara dalaman tanpa melibatkan pihak luar termasuk polis atau masyarakat umum.
“Suasana tidak selesa ini hanya berpunca daripada tindakan seorang individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan ia telah pun berada dalam siasatan polis.
“Malangnya, ia diperbesarkan oleh kedua-dua pihak dengan alasan dan motif masing-masing,” tegas Takiyuddin.
PAS dalam masa yang sama menegaskan pihaknya telah menasihati sayap Pemuda parti supaya tidak terlibat dalam polemik berkenaan.
Datuk Seri Takiyuddin turut mengingatkan bahawa kegagalan menghormati proses siasatan polis hanya akan menjerumuskan masyarakat kepada krisis yang lebih berisiko.
“Tindakan tidak berhemah dan berlebih-lebihan di satu pihak hanya akan mengundang respons yang serupa atau lebih buruk daripada pihak yang satu lagi.
“Isu yang pada asalnya melibatkan seorang individu akan melimpah menarik masyarakat luas ke dalam kitaran ganas yang tidak bermanfaat,” katanya.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 yang bakal menjelang, PAS menyeru semua pihak agar benar-benar menghayati falsafah kemerdekaan serta prinsip Rukun Negara sebagai pedoman bersama dalam membina perpaduan dan kemakmuran negara tanpa mengira latar belakang kaum, budaya atau agama.
Kenyataan PAS ini dilihat cuba meredakan ketegangan politik dengan menekankan pendekatan sederhana, berhemah dan berpandangan jauh dalam mendepani isu-isu nasional.

