RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025: Terengganu & SG4 Tegas Menolak Cadangan Persekutuan

RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025: Terengganu & SG4 Tegas Menolak Cadangan Persekutuan

Kerajaan Negeri Terengganu bersama tiga negeri lain dalam gabungan SG4, iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis, hari ini menyatakan penolakan tegas terhadap cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (Urban Renewal Act) yang dijadual akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Ogos.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan rasmi menyifatkan RUU tersebut sebagai satu bentuk campur tangan terhadap bidang kuasa negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan pengurusan tanah yang telah diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“RUU ini mencabar kuasa autonomi negeri dan berisiko menjejaskan kedudukan komuniti tradisi di bandar, termasuk pemilik asal tanah yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu dan bumiputera,” ujar beliau.

Antara kebimbangan utama yang diketengahkan ialah ketidakjelasan mekanisme pampasan dan perlindungan kepada penduduk sedia ada, terutama apabila berlaku pemindahan atau pembangunan semula kawasan perbandaran.

Ini sekali gus boleh mencetuskan ketegangan sosial dan memperluaskan jurang komuniti.

Tambah Dr. Samsuri, undang-undang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960 serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sudah pun memadai dalam menguruskan pembangunan semula bandar secara adil, berfokus dan menghormati sensitiviti budaya setempat.

“Kita tidak menolak pembangunan, tetapi ia perlu dilakukan dengan adil, bertanggungjawab dan mengambil kira kehendak serta warisan rakyat tempatan. Tidak boleh ada unsur paksaan atau ketidakadilan yang akhirnya merugikan rakyat sendiri,” katanya lagi.

Gabungan SG4, yang kini menjadi blok negeri penting di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, menyatakan komitmen mereka untuk mempertahankan prinsip federalisme yang seimbang serta hak negeri dalam urusan perancangan pembangunan.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Terengganu menggesa semua Ahli Parlimen, khususnya dari negeri-negeri SG4 dan kawasan yang terkesan secara langsung, untuk meneliti RUU ini secara kritikal dan tidak terburu-buru meluluskannya tanpa konsultasi mendalam dengan kerajaan-kerajaan negeri serta pemegang taruh utama.

Isu Semasa