Apabila Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS, dinafikan hak royalti, Umno Kelantan juga merasa terhina kerana ada sikap dalam Umno Kelantan mahu menjaga maruah negeri sendiri kerana royalti itu hak rakyat Kelantan.
Tok Pa dan Annuar Musa yang menjadi bos Umno Kelantan waktu itu, memberikan komitmen menyokong usaha perbincangan ke arah mendapatkan bayaran royalti.
Sekurang-kurangnya ia dilihat memberikan sokongan.
Apabila Nyonya Teresa Kok konon cuba memberi tekanan kepada Kedah yang dalam proses untuk mengkaji kedudukan Pulau Pinang melalui undang-undang, mencadangkan untuk Kerajaan Pusat mengambil Langkawi seperti Kedah tiada sultan, Umno Kedah terus bangun dan bangkit memberi amaran, Kedah negeri berdaulat bukan sewenang-wenangnya tanah diambil begitu.
Akan tetapi masihkah engkau ingat, apabila Terengganu disekat hak kepada bayaran royalti, yang mula-mula bersorak dan berebut-rebut baham duit melalui projek-projek ‘runtuh’ JPP waktu itu ialah Umno Terengganu.
Dan lebih hebat lagi, merekalah yang menghasut Umno Pusat untuk menyekat bayaran royalti ini dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000.
Nyata dan terbukti bahawa Umno Terengganulah Umno yang paling jahat dan bodoh diantara Umno negeri-negeri di Malaysia, yang sanggup menggadaikan hak negeri sendiri semata-mata dendam politik.
Apabila PAS menuntut waktu itu, bukan sahaja Umno Terengganu tidak menyokong, malah mendakwa Terengganu tidak layak menerima royalti.
Sampai begitu sekali dendamnya.
Sehinggakan wang royalti itu turut boleh digunakan oleh negeri lain, contoh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Kerajaan Negeri Terengganu masih kekurangan RM2 bilion lebih jumlah terkumpul wang royalti yang wajib diberikan terus kepada akaun Kerajaan Negeri.
Dan ini tidak termasuk RM1.43 bilion lagi hutang Pusat bagi pembinaan LPT2 yang menggunakan wang rakyat Terengganu.
Kau agak, jika sekarang, DAP mencadangkan hasil REE Terengganu diambil semua oleh Pusat seperti cadangan Teresa untuk Pusat mengambil Langkawi, adakah Umno akan bersorak kegembiraan dan membantu sepenuh hati bagi DAP merealisasikan cadangan itu sebagaimana kegembiraan mereka sewaktu royalti petroleum Terengganu ditarik dahulu?
Bukti sebelum ini mungkin boleh menjadi rujukan kepada jawapan kita.
Mohd Nasir Abdullah

