Tulisan terbaharu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ‘Umat Islam Terus Ditipu Lagi’ berkenaan isu tiada sebab harga minyak di Semenanjung Malaysia naik dan tidak di Sabah dan Sarawak telah menyebabkan PMX menjadi gelabah.
Saya tidak tahu sama ada PMX membaca sendiri tulisan itu atau sekadar membaca tajuk sahaja.
Namun apabila mengingati kembali cerita balu Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dalam Podcast Keluar Sekejap yang PMX tidak suka membaca, saya berkeyakinan, beliau hanya membaca tajuk atau paling maksima, diberikan ringkasan kandungan tulisan itu sahaja.
Saya membaca baris demi baris tulisan TG Presiden PAS itu dan mendapati ianya hanyalah sindiran tajam kepada seorang manusia yang dahulu pernah melaungkan harga minyak boleh diturunkan dalam masa 24 jam.
Namun, sekarang bersikap penakut dengan menggunakan alasan yang sama dengan Amerika, iaitu sekatan ini berlaku disebabkan oleh Iran.
Kemudian TG Presiden PAS menasihatkan semua umat Islam agar tidak terkena lagi tipu daya sebagaimana British melakukannya dahulu kepada datuk nenek kita supaya bangsa kita terus bergantung kepada penjajah.
Inilah antara yang penting yang perlu kita fokuskan kerana takut kita menjadi hamba kepada Amerika yang digelar sebagai Firaun moden yang sedang menipu dunia.
Jangan terpedaya dengan musuh Islam
Umat Islam mesti kembali kepada ajaran Islam agar tidak terpedaya dengan hasutan iblis dan pengikutnya.
Tidak menurut kehendak golongan kafir yang mahu menguasai samada politik, ekonomi, budaya dan semuanya bagi menjauhkan kita dari Islam melalui Bank Dunia, IMF, tekanan politik dan tipu daya perbezaan mazhab.
Itulah isi penting tulisan beliau supaya jangan terpedaya dengan mainan golongan musuh Islam.
Penulisan sebegini sangat biasa dalam kalangan orang yang sentiasa menulis seperti TG Presiden PAS.
Oleh itu, tiada perbincangan khusus bagaimana mencadangkan harga minyak akan diturunkan, ia hanya menyebut secara umum.
Ironinya, PMX yang tidak memahami cara penulisan TG Presiden PAS. PMX beremosi dengan membantah kenyataan TG Presiden PAS kerana kos pengangkutan dan insurans juga meningkat, sekali gus harga minyak terpaksa dinaikkan. PMX menumpukan isu teknikal.
Bidikan Presiden PAS jelas mengenai sasaran, tetapi PMX tidak menyedarinya.
PMX begitu bangga menyatakan bahawa sekatan terhadap Malaysia tidak lagi ada setelah Iran bersetuju memberi laluan kepada kapal Malaysia.
Walaupun ia sebenarnya jasa Tun terhadap Iran, PMX tetap menumpang nama.
Beliau lupa sebelum itu, beliau menjadikan alasan kapal disekat yang menyebabkan kenaikan harga minyak.
Kemudian kini, menambah isu kos pengangkutan minyak yang lama telah meningkat, kos insurans pula beliau masukkan.
Berpusing-pusing mahu menjawab terkena sindiran TG Presiden PAS.
Kalaulah ini terjadi pada zaman beliau pembangkang, agaknya diterima atau tidak jawapan kerajaan sebegitu oleh PMX?
Kain PMX terloroh
Ketika PMX menerangkan banyak kos lain yang menjadi punca kenaikan harga minyak, beliau tidak sedar sedang melorohkan kainnya sendiri tanpa memakai seluar dalam.
Ini kerana beliau sewaktu menjadi pembangkang dahulu dengan berbagai cerita dan formula bulan bintang.
Pastinya semua formula terperinci sudah dibentangkan oleh beliau dalam Pakatan Rakyat dahulu.
Maka mungkin inilah sebab Presiden PAS yang sudah tahu segalanya menyinggung PMX.
Sedangkan bila berkuasa, malah dinaikkan lagi harga minyak.
Rakyat mulai bertanya:
- Kenapa harga di Thailand boleh turun?
- Kapalnya ikut laluan lain?
- Insurans di Thailand murah ke?
- Sabah dan Sarawak pula, kenapa murah dieselnya?
PMX terus menggunakan pentas kerajaan untuk berpolitik di hadapan pegawai kerajaan untuk menepis serangan ini dengan mendakwa seorang ulama terkenal telah cuba mengelirukan rakyat.
Namun ia jelas, kenyataan TG Presiden PAS itu adalah mirip kenyataan PMX dahulu.
Sebagai sindiran ulangan.
Dan apabila persoalan mudah ini dijawab dengan emosi, maka ia membuktikan PMX sebenarnya tidak mampu melakukan apa yang beliau janjikan selama berpuluh-puluh tahun ketika menjadi pembangkang.
Pegawai kerajaan bukan bodoh
Tempelak beliau kepada TG Presiden PAS itu sebenarnya dihalakan kepada dirinya sendiri.
Tambah parah ia dilakukan di hadapan sekumpulan pegawai kerajaan.
Pegawai kerajaan bukanlah orang bodoh kerana merekalah yang turut terkena tempias penghinaan itu.
Ia berlaku apabila formula-formula menurunkan harga minyak dilancarkan oleh DS Anwar Ibrahim ketika menjadi pembangkang.
Pastinya kenangan itu melekat dalam fikiran mereka.
Apatah lagi sekarang cukup banyak video-video yang mengulang siar suara sengau-sengau itu: “….Saya Ulang…!!!”
PMX akhirnya menasihati ulama terkenal itu dengan nasihat agama, iaitu jangan mencampuri kebatilan dengan kebenaran.
Saya begitu yakin, pasti dan teguh kepercayaan yang kakitangan kerajaan ketika mendengar nasihat itu tersenyum sinis kerana sudah mengenali sikap bukan dua alam tetapi banyak alam PMX yang boleh menjadi sesiapa sahaja pada bila-bila masa, di mana jua beliau berada.
Dan pada kebiasaannya jika tersepit, agama akan digunakan beliau.
Lihat beza TG Presiden PAS yang tanpa gagal memasukkan ayat-ayat al-quran, hadis dan pedoman ulama dalam semua tulisan dan syarahan beliau.
Menunjukkan konsistensi berpegang pada panduan agama.
Pedoman dari penulisan ini ialah anda mungkin boleh menipu beberapa orang berbeza dalam beberapa masa yang berlainan.
Tetapi anda tidak akan boleh menipu semua orang dalam masa yang sama.
Apatah lagi cuba menipu semua orang yang cerdik seperti TG Presiden PAS, kakitangan kerajaan dalam masa yang sama dengan banyak kali.
Kerana penipuan itu, hanya anda seorang yang percaya.
Mohd Nasir Abdullah
