Selepas Meterai MOU Dengan PH, UMNO Semakin Berkeyakinan Dan Berkuasa

Selepas Meterai MOU Dengan PH, UMNO Semakin Berkeyakinan Dan Berkuasa

Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) memberi satu keyakinan baharu kepada UMNO dan berani menunjukkan kekuasaan selaku parti dominan dalam kerajaan.

Sokongan PH kepada kerajaan yang diterajui Perdana Menteri (PM) dari UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara tidak langsung memberi kuasa kepada mereka untuk bertindak sesuka hati tanpa rasa tergugat kerana dukungan tersebut.

PH kini juga semakin selesa bekerjasama dengan UMNO yang dilihat sebagai teman baharu yang boleh dibawa ke meja rundingan, malah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah diberikan pengiiktirafan setara dengan Menteri Kabinet sekarang.

Lebih menghairankan, Anwar sebelum ini seperti harimau lapar mengkritik kerajaan kini sudah menjadi kucing belaan UMNO yang semakin manja dibelai dan tidak ada lagi kritikan yang padu dan bernas dicadangkan oleh Presiden PKR itu lagi.

Mungkin Anwar masih mempercayai anak muridnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan meneruskan agenda ‘jajaran baharu’ yang diar-uarkan sebelum ini tetapi tertangguh selepas disailang Ismail Sabri.

Lebih penting lagi, Zahid akan kekal menjadi Presiden UMNO sekurang-kurang sehingga hujung tahun depan selepas pemilihan parti ditangguhkan.

Lebih lama lagi Zahid menjadi Presiden, lebih mudah Anwar memberi tunjuk ajar kepada anak muridnya itu.

Tidak ada pilihan lain selain mengekalkan Zahid sebagai Presiden jika UMNO mahu menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, gandingan cikgu dan anak murid tersebut bakal mengegarkan arena politik negara.

Sebenarnya, peluang UMNO lebih cerah untuk menang besar dalam PRU jika Zahid kekal mengemudi parti tersebut kerana kehebatannya menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti didambakan oleh akar umbi bagi memperoleh kemenangan besar nanti.

Peluang untuk menyingkirkan Zahid sebagai Presiden tertutup rapat apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah mengesahkan keputusan penangguhan pemilihan parti itu selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Ismail Sabri mahupun bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga tidak dapat berbuat apa-apa dengan keputusan ROS itu, mereka perlu patuh dan mengikut peraturan parti jika masih mahu mendapat peluang untuk bertanding dalam PRU nanti.

Harus diingat, watikah lantikan untuk calon PRU perlu mendapat restu Zahid dan mana-mana ahli UMNO yang berhasrat untuk bertanding perlu setia dan tunduk kepada arahannya.

Punca kuasa UMNO masih dipegang Zahid atau dalam maksud lain bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kedua-dua mereka adalah pencatur utama dalam parti yang sedang bermain wayang demi kelangsungan politik masing-masing.

Jadi, tiada pilihan yang dimiliki Ismail Sabri atau Hishammuddin selain menjadi pak turut kepada kedua-dua pemimpin lama UMNO itu atau mereka ditendang keluar parti.

Bagaimanapun, umum mengetahui Ismail Sabri dan Hishammuddin juga sebenarnya adalah pengikut setia Najib, walaupun memegang jawatan PM ketika ini sekalipun ‘telur’ mereka sebenarnya dipegang oleh Najib dan Zahid.

Apa yang lebih penting bagi Najib dan Zahid ketika ini sebenarnya kes mahkamah mereka perlu diselesaikan segera sebelum PRU diadakan, jika tidak selesai mustahil pemberontakan akan berlaku sekali lagi dan Ismail Sabri akan ditendang keluar sama seperti Muhyiddin.

Ismail Sabri tidak memiliki masa yang cukup dan perlu bertindak segera sekiranya masih mahu lama berada dalam politik negara kerana ancaman Najib dan Zahid ini bukan main-main, permainan licik mereka yang sanggup bersekongkol dengan Anwar sudah cukup untuk dijadikan pengajaran.

Lagi lama Ismail Sabri berlengah-lengah, lagi mudah mereka berdua mencatur strategi mencari jalan menikam secara diam-diam sehingga silap hari bulan boleh berkubur karier politiknya.

Terpulang kepada Ismail Sabri sama ada menerima nasihat bertindak segera atau masih cuba berlembut dengan bosnya kerana kelak yang rugi adalah beliau sendiri dan bukan orang lain.

Politik