Exco Kalah Pemilihan….Jadi?

Exco Kalah Pemilihan….Jadi?

Setelah semua lapan kawasan PAS di Terengganu selesai mengadakan mesyuarat tahunan mereka dengan tahun ini adalah tahun pemilihan, maka ada terdapat beberapa keputusan yang berubah berbanding sesi sebelumnya.

Tiada apa-apa gelombang atau kocakan perbalahan yang berlaku dalam kepimpinan PAS Terengganu di semua kawasan tersebut.

Langsung tiada.

Tidak seperti krisis 2015 dahulu.

Memandangkan kelihatan begitu teguh semangat dan setiakawan antara semua pimpinan PAS, maka ada pihak yang tidak senang duduk dengan ikatan persaudaraan ini.

Mereka cuba mereka cerita yang ada penolakan berlaku kepada tiga orang Exco dan seorang pegawai khas MB dalam pertandingan itu.

Mereka bising dengan tuduhan kononnya ini adalah amaran perwakilan kepada Presiden PAS, agar kekal bersama MN dan bukannya PN.

Plot cerita yang sungguh lucu.

Inilah masalah musuh PAS, bila menyerahkan tugasan membuat fitnah kepada budak-budak baru lepas sekolah.

Pertama-tamanya, mereka mungkin tidak pernah membaca al-Quran atau belum pernah bertemu dengan ayat ‘fastabikul khairat’.

Tidak tertolak juga kemungkinan mereka, budak-budak ini, tidak tahu langsung apa makna ayat itu.

Dalam PAS, bertanding bagi sesuatu jawatan mesti diniatkan dengan sikap berlumba-lumba membuat kebaikan.

Jawatan adalah amanah.

Ia adalah beban di dunia dan penyesalan di akhirat nanti.

Tetapi tanggungjawab, wajib ditunaikan, tidak boleh berlepas diri.

Sesiapa sahaja yang mahukan pahala pada jalan kebaikan dengan menjaga jawatan bersama sikap amanah, pasti akan mendapat pahala.

Ini adalah syarat pertama dalam PAS bagi bertanding sebarang jawatan.

Keduanya, kekalahan mereka ini, nyata menunjukkan bahawa, tiada politik wang yang berlaku dalam pemilihan PAS.

Jelas sekali, jika Exco-Exco itu mahu menang dengan cara kotor, maka mereka mungkin menabur wang kepada perwakilan supaya memilih mereka, kerana mereka mungkin boleh memanipulasikan peruntukan.

Tetapi, Exco juga kalah, kerana perwakilan PAS, tidak ditaburi wang.

Pertandingan secara adil berjalan.

Ketiganya, pada kebiasaannya, selepas mana-mana pimpinan utama PAS kalah pemilihan, mereka akan masuk kembali dalam jawatankuasa.

Ini terbukti dalam banyak sejarah PAS.

Kecuali ada beberapa kali yang berlaku, pimpinan PAS yang kalah, merajuk dan menuduh mereka ditipu dalam pemilihan.

Akhirnya, tanpa ragu-ragu, mereka keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Lebih parah, menjadi musuh PAS paling ketat.

Dan akhirnya, mereka semuanya rebah.

Keempatnya, sudah menjadi adat sebagai manusia, ada yang suka dan ada yang tidak dengan seseorang itu.

Jadi, tidaklah tertolak juga jika ada salah dan silap yang tidak disedari, ia menjadi punca penolakan itu.

Sedangkan Rasulullah yang mulia itu juga ada pembencinya, inikan pula manusia biasa.

Namun begitu, berlainan pula jika menghadapi PRU, sesiapa sahaja calon PAS, ahli akan pangkah tanpa mengira disukai atau tidak, kerana musuh PAS adalah mudharat lebih besar.

Kelimanya, pengfitnah tidak pula membuat ulasan berkenaan kawasan-kawasan yang tidak ada pertandingan jawatan utama, sedangkan nama-nama yang menang tanpa bertanding yang ada, kita boleh tahu apa kecenderungan mereka.

Dan mengapa perwakilan yang dikatakan mahu memberi amaran kepada Preisiden tidak membantah pemilihan yang dijalankan secara syura itu dan meminta pertandingan, kalau benar mereka mahu memprotes Presiden PAS?

Perteguhkan PN dan perkukuhkan kerjasama MN.

Itu adalah slogan seruan tetap daripada Presiden PAS.

Jadi, mengapa pengfitnah PAS boleh memandang bahawa Presiden PAS hanya inginkan PN.

Dan semenjak bila pimpinan PAS menyerang Umno?

Yang ada, Umno Terengganu yang menyerang PAS selepas mereka memutuskan hubungan MN di Terengganu.

PAS hanya diam sahaja.

Kalau benar benci, mesti lah berbalas serangan.

Dahulu mereka gelarkan kita ‘walaun’ sebab kita taat kepada pimpinan PAS.

Sekarang setelah dilihat ‘walaun’ menjadi lebih kuat, mereka buat cerita pula yang akar umbi menentang Presiden sudah tiada wala’.

Cerdik ke budak yang menulis tu?

Mohd Nasir Abdullah

Isu Semasa