Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah digagaskan oleh PAS sejak sekian lama sememangnya dibangunkan atas prinsip dan strategi umum perjuangan Islam iaitu Muwajahah Silmiyah.
(Pendekatan Gerakan Islam Secara Aman dan Damai)
Ianya berasaskan firman Allah swt:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
“Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka
dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
Surah Aali Imran 159
Antara kriteria penting dalam BPMS ialah:
🎾 Politik bertunjangkan prinsip
🎾 Politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar.
🎾 Politik damai dan diplomasi
Prinsip perjuangan PAS pastinya berpaksi pada Al Quran dan As Sunnah.
Justeru itu, apa jua keputusan PAS selayaknya menepati syara’.
Tiada tolak ansur padanya.
PAS menolak sebarang keputusan dan tindakan yang berasaskan “Matlamat menghalalkan Cara” sebaliknya hanya cara yang halal digunakan untuk capai matlamat perjuangan Islam.
Gerakan yang bertunjangkan prinsip akan menyelamatkan PAS dari situasi flip flop ketika membuat keputusan dan tindakan.
Bahkan lebih tegas, ianya mesti konsisten atas prinsip Islam yang diperjuangkan.
Politik PAS tidak berorientasikan ketamakan kuasa dan pengaruh politik yang terbatas.
Sebaliknya berusaha dan berdakwah untuk menyelamatkan manusia dari api neraka Allah swt.
Meskipun pentas politik senantiasa tinggi suhu pertembungan antara parti, PAS mengekalkan rentak politik matangnya dengan mempersembahkan politik damai dan diplomasi.
Tanpa dinafikan suasana perjuangan PAS dipersada politik tanahair hari ini dilingkari panasnya api provokasi untuk menjebak PAS dalam kancah ekstrimisme lalu meretak belah hubungan sesama umat Islam atas nama perbezaan aliran dan pendekatan politik.
Merealisasikan politik damai dan diplomasi ini lah, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah menggariskan satu amanah perjuangannya melalui ucapan dasar Presiden PAS yang bertemakan “Islam Memperkukuhkan Perpaduan” di Muktamar Tahunan PAS kali ke 66 pada tahun 2020:
“Kita wajib menghadapi PRU 15 dengan usaha perpaduan yang sedang kita bina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi pilihanraya kali ini, laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kekenyangan.”
Mari sama kita berakit
Kita sambut datang membeli
Teguh bersatu laksana bukit
Anjing menyalak jangan dipeduli.
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
