Makin deras berkumandang ura-ura akan terbubarnya parlimen negara.
Sekaligus menjayakan hasrat PRU15 dalam musim kesusahan rakyat mengharungi banjir.
Kepentingan politik telah diangkat melebihi kepentingan rakyat.
Bahkan inilah antara sejarah hilangnya kewarasan ahli politik.
Berhadapan dengan situasi ini, apa reaksi dan respon kita selaku rakyat Malaysia.
Pertama, semua pihak harus menggunakan apa sahaja ruang yang mereka ada untuk menidakkan PRU15 diadakan dalam musim banjir.
Alhamdulillah, majoriti rakyat telah bersatu untuk menolak PRU15 ketika musim banjir.
Malah sepertinya rakyat waras berhati ‘keris’ dan ‘dacing’ juga menolaknya.
Teruskan kempen menolak PRU15 dalam musim banjir.
Mengadakan PRU15 dimusim banjir bererti menimpakan bencana di atas bencana yang dideritai oleh rakyat.
Kedua, jika usaha rakyat jelata ini tidak berjaya.
Rakyat akan masuk kepada reaksi yang kedua, iaitu menolak petualang yang mendesak PRU15 diadakan dimusim banjir.
Petualang ini mahukan PRU15 diadakan dalam musim banjir kerana mahu kurangkan peratusan keluar mengundi.
Fikir mereka apabila PRU15 diadakan dalam musim banjir, maka rakyat akan tidak keluar mengundi dan rakyat akan marah seterusnya memboikot PRU15.
Inilah yang mereka mahukan.
Rakyat marah hingga boikot PRU dan mereka menang.
Lantaran itu, kita desak PRU15 tidak diadakan dalam musim banjir.
Namun, jika diadakan juga, reaksi rakyat yang kedua adalah hukum mereka dengan tenggelamkan mereka dalam arus banjir PRU15.
Rakyat yang marah, akan noktahkan kemarahan itu dalam PRU15 dengan menolak mereka yang menyusahkan rakyat dan tidak fikir tentang penderitaan rakyat.
Rakyat akan ajar mereka apa erti sebenar, “rakyat terpaksa redah dan harungi banjir” dengan tolak penyebab PRU15 di musim banjir.
Setiap kali melangkah atau berenang dalam arus banjir, setiap kali melihat rumah dan barangan yang tenggelam, setiap kali itulah rakyat ingat petualang yang mendesak PRU15 diadakan.
Ahmad Fahmi Mokhtar
Cuba Halang, Kalu Datang, Kita Tentang.
