Pendidikan Islam Benteng Kukuh Hadapi Cabaran Dunia Moden

Pendidikan Islam Benteng Kukuh Hadapi Cabaran Dunia Moden

Pendidikan merupakan teras penting dalam usaha membentuk generasi muda yang beriman dan berdaya saing, terutama dalam era dunia tanpa sempadan yang kini semakin mencabar.

Menyedari hakikat ini, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menekankan kepentingan pendidikan Islam sebagai benteng kukuh untuk menghadapi cabaran Islamofobia serta pelbagai pengaruh luar yang berpotensi merosakkan akidah dan pemikiran umat Islam.

Dalam sebuah kirimannya di laman Facebook, Dr. Ahmad Samsuri mengimbau hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, di mana Baginda bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

“Semua manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka orang tua yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Menurut beliau, hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa anak-anak yang lahir dalam keadaan fitrah perlu dibentuk melalui pendidikan yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah bagi memastikan kesucian fitrah tersebut terpelihara.

Dr. Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa cabaran yang dihadapi anak-anak zaman kini jauh lebih besar berbanding generasi terdahulu.

Jika dahulu, gangguan maklumat hanya melalui televisyen yang mungkin hanya terdapat di beberapa rumah dalam sebuah kampung, namun kini, pelbagai bentuk media dan maklumat boleh diakses dengan mudah dalam setiap bilik tidur menerusi peranti pintar.

Dunia tanpa sempadan ini membawa pelbagai ideologi, fahaman, dan pengaruh yang boleh mempengaruhi minda anak-anak sekiranya tidak dibendung dengan baik.

Beliau juga mengingatkan bahawa pendidikan adalah kunci utama dalam usaha mengekang fahaman yang salah tentang Islam dan dalam menghadapi fenomena Islamofobia yang semakin menular.

“Pendidikan bukan sahaja untuk membina ilmu duniawi, tetapi juga untuk melahirkan insan yang beriman dan bertakwa,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, terutama pendidikan tinggi, untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi ukhrawi dan duniawi.

Usaha ini termasuk membangunkan program-program yang memperkasakan pemikiran kritikal serta mengukuhkan akidah dalam kalangan pelajar.

Dr. Ahmad Samsuri mengakhiri dengan menegaskan bahawa usaha membina benteng pendidikan yang kukuh adalah amat penting dalam membentuk generasi yang mampu menghadapi cabaran global tanpa mengorbankan identiti dan pegangan Islam.

“Pendidikan adalah satu perjuangan yang tidak boleh kita abaikan.

“Ia adalah jalan untuk melahirkan insan yang benar-benar memahami nilai-nilai Islam dan mampu berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang,” ujarnya.

Dengan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri, diharapkan generasi masa depan dapat terus menjadi tonggak utama dalam membina negara dan masyarakat yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Pendidikan