Rejim Zionis Israel Gali Kubur Sendiri

Rejim Zionis Israel Gali Kubur Sendiri

Dalam satu kenyataan tegas, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyatakan bahawa kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel akan menggali kubur mereka sendiri.

Beliau menyampaikan pandangan ini semasa berucap dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, di hadapan bangunan Alps Ethical Life Science, berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat.

Abdul Hadi mengutuk kekejaman rejim Zionis yang telah melakukan banyak pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah.

“Mereka telah banyak melakukan pembunuhan demi pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Namun begitu, kezaliman sebegitu hanya akan menggali kubur diri mereka sendiri,” tegasnya.

Hadirin yang mendengar ucapan beliau turut disertai oleh pemimpin-pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Datuk Seri Idris Ahmad; dan Setiausaha Agung, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, bersama aktivis dan pemimpin politik lain, termasuk Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir dari Pejuang.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi merujuk kepada sejarah bahawa rejim Zionis Israel terkenal dengan sikap pengecut, yang hanya berani menyerang secara jarak jauh menggunakan senjata berat.

“Hakikatnya rejim Zionis Israel merupakan bangsa yang takut dengan kematian.

“Mereka hanya berani dalam melakukan serangan secara jarak jauh,” katanya.

Ini berbeza dengan rakyat Palestin yang berjuang tanpa rasa gentar, berani menghadapi segala cabaran dengan tujuan untuk menang atau mati syahid.

Beliau menekankan bahawa rakyat Palestin adalah bangsa yang mencintai kematian dan tidak pernah gentar menghadapi kezaliman Israel.

“Kita akan terus tunjukkan kepada kuasa-kuasa barat bahawa majoriti rakyat Malaysia akan terus bersama-sama dengan Palestin,” tambah Abdul Hadi, menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Himpunan ini bukan sahaja sebagai platform untuk menyuarakan sokongan kepada Palestin tetapi juga sebagai pengingat kepada masyarakat global tentang keperluan untuk menentang kezaliman dan penindasan.

Isu Semasa