Sheikh Alireza Arafi dilahirkan pada tahun 1959 di Meybod, wilayah Yazd, Iran, dalam sebuah keluarga ulama yang mempunyai hubungan rapat dengan jaringan keagamaan yang membentuk Republik Islam Iran.
Bapanya, Ayatollah Mohammad Ibrahim Arafi, merupakan seorang pendakwah dan ilmuwan yang dihormati serta mempunyai hubungan dengan kalangan ulama revolusioner di sekitar Ruhollah Khomeini.
Arafi berpindah ke Qom pada usia muda untuk melanjutkan pengajian agama.
Qom bukan sekadar sebuah bandar teologi; ia merupakan enjin intelektual dan ideologi Republik Islam Iran.
Di sana, Arafi mendalami fiqh Islam, falsafah dan ilmu-ilmu agama peringkat tinggi.
Lama-kelamaan, beliau mencapai darjat mujtahid, iaitu seorang faqih kanan yang layak melakukan ijtihad secara bebas dalam mentafsir hukum Islam, satu kedudukan yang meletakkannya dalam kelompok elit autoriti ulama.
Berbeza dengan sebahagian ulama yang pengaruhnya bertumpu pada khutbah umum atau karisma politik, Arafi membina kerjayanya melalui institusi.
Imam Solat Jumaat
Kedudukan Arafi semakin menyerlah pada 1990-an apabila beliau dilantik sebagai Imam Solat Jumaat di kampung halamannya, satu peranan simbolik penting yang lazimnya diberikan kepada tokoh yang dipercayai oleh kepimpinan tertinggi.
Pada tahun 2015, beliau dilantik sebagai Imam Solat Jumaat di Qom sendiri, satu jawatan yang jauh lebih berpengaruh.
Penyampaian khutbah Jumaat di Qom mempunyai kepentingan agama dan politik peringkat nasional, serta menandakan pengiktirafan dalam hierarki ulama.
Selain khutbah, Arafi turut membentuk sistem pendidikan agama Iran.
Beliau berkhidmat selama bertahun-tahun sebagai Presiden Al-Mustafa International University, sebuah institusi yang melatih pelajar agama antarabangsa dan mempromosikan keilmuan Syiah di peringkat global.
Tempoh perkhidmatannya meletakkan beliau di pusat jaringan dakwah dan pengaruh agama Iran merentas sempadan.
Pada tahun 2016, beliau dilantik sebagai ketua rangkaian seminari nasional Iran, yang menyelia pendidikan agama di seluruh negara.
Peranan ini mengukuhkan lagi kedudukannya dalam struktur asas autoriti ulama.
Pengaruhnya turut meluas ke dalam sistem pemerintahan berperlembagaan.
Beliau berkhidmat sebagai anggota faqih dalam Majlis Penjaga (Guardian Council) , badan berkuasa yang menapis calon pilihan raya dan menyemak undang-undang agar selaras dengan syariah dan perlembagaan.
Pada tahun 2022, beliau dipilih menganggotai Majlis Pakar (Assembly of Experts), badan yang bertanggungjawab melantik dan, jika perlu, memecat Pemimpin Tertinggi.
Pada tahun 2024, beliau dinaikkan sebagai Timbalan Pengerusi Kedua badan tersebut.
Tokoh Kesinambungan
Susulan pembunuhan Ali Khamenei, Iran mengaktifkan Perkara 111 perlembagaannya dengan membentuk sebuah majlis kepimpinan sementara yang terdiri daripada presiden, ketua badan kehakiman dan seorang faqih yang dipilih oleh Majlis Penentuan Kepentingan.
Faqih tersebut kini ialah Arafi.
Pelantikan beliau mencerminkan kesinambungan, bukan perpecahan.
Beliau tidak dikenali dengan populisme berfaksi atau manuver politik yang terbuka.
Sebaliknya, beliau melambangkan institusi ulama yang telah menjadi tunjang Republik Islam Iran sejak beberapa dekad lalu.
