Sistem yang dibuat dan dicipta oleh manusia pasti akan ada kelemahan disebalik kehebatan dan kegemilangan sistem tersebut.
Kerana manusia itu sendiri tidak sempurna.
Manusia dicipta dengan pelbagai rupa, warna kulit, idea, identiti, kepakaran, kebijaksanaan dan sebagainya adalah untuk saling mengenali dan melengkapi antara satu sama lain.
Sistem demokrasi dicipta oleh manusia untuk alternatif kepada kelemahan sistem autokrasi.
Namun sistem demokrasi juga mempunyai 1001 kelemahan yang mungkin pengasas sistem demokrasi tidak nampak, yang boleh diatasi oleh sistem autokrasi.
Maka kemudian timbul pula sistem demokrasi terpimpin, sistem raja berperlembagaan, sistem republik dan sebagainya.
Namun selagimana ia ciptaan manusia, semua sistem punyai kelemahan.
Dalam Islam, antara sistem yang terbaik selepas zaman kenabian untuk pemerintahan adalah sistem syura khulafa’ ar-rasyidin – yang berjaya mentadbir negara umat Islam dalam tempoh yang singkat dan hanya sempat sehingga empat orang khalifah sahaja.
Kemudian sistem pemerintahan syura bertukar kepada sistem monarki kerajaan Bani Umayyah yang mewariskan pemerintahan kepada anak, cucu dan seterusnya.
Adakah ia satu sistem yang salah?
Tidak salah sepenuhnya, dan tidak betul sepenuhnya.
Tetapi sistem monarki berkesan untuk kestabilan politik jangka masa panjang.
Ia dibuktikan dengan penguasaan monarki Umayyah ratusan tahun, kemudian diganti dengan monarki Abbasiyyah juga ratusan tahun, dan kemudian diganti dengan sistem monarki paling lama dalam sejarah empayar Islam, kerajaan Turki Othmaniyyah.
Kemudian, sistem demokrasi cuba dipaksakan ke atas kebanyakan negara-negara dunia ketiga selepas penjajahan kuasa Eropah berakhir.
Negara-negara Asia yang kebanyakannya pengamal Monarki, satu persatu bertukar kepada sistem demokrasi.
Pada masa yang sama, terdapat negara yang masih cuba mengekalkan monarki, tetapi menerima juga sistem demokrasi, seperti negara kita.
Kewujudan negara-negara dunia ketiga selepas Perang Dunia ke-2 adalah satu bentuk sistem bernegara modern.
Negara-negara dunia hari ini terikat secara sedar atau tidak dengan undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan pencerobohan negara-negara lain atas nama perluasan empayar seperti zaman dahulu kala.
Namun persoalan yang timbul hari ini, terdapat dalam kalangan umat Islam yang sudah hampir ‘give up’ dengan sistem-sistem zaman modern ini, dan mula mempropagandakan untuk kembali kepada sistem khalifah.
Atas nama kembali kepada sistem khalifah, maka kumpulan-kumpulan ‘bawah tanah’ mula bergerak secara senyap merekrut ahli-ahli untuk menyertai perjuangan mereka kembali ke zaman khalifah.
Sistem pemerintahan khalifah adalah sistem syura zaman khulafa’ ar-Rasyidin sahaja.
Zaman selepas itu adalah zaman monarki – walaupun mereka memanggil pemerintah mereka sebagai Khalifah dan Sultan.
Monarki mereka dahulu tidak salah, bahkan sesuai dengan situasi ketika itu.
Tetapi anda yang hidup zaman modern ini, merekrut ahli untuk menyertai perjuangan anda, apakah anda mahu mewujudkan sistem monarki dan anda mahu jadi khalifah-nya?
Itulah yang terjadi kepada al-Qaeda, ISIS, dan segala bentuk kumpulan radikal yang tidak sabar untuk membentuk sistem khalifah.
Manakala ada yang cuba bergerak secara ideologi seperti Hizbuttahrir dan seumpamanya.
Namun mereka ini tidak nampak bahawa sistem khalifah monarki sudah tidak sesuai pada zaman modern ini.
Zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, Khalifah adalah berkuasa umpama seorang ketua empayar yang agung.
Seluruh tanah di bawah naungan Khalifah adalah milik umat Islam.
Sistem ini adalah sistem terbaik untuk mengimbangi kekuatan empayar musuh yakni Rom dan Parsi.
Selepas tamat zaman pertembungan empayar, sistem Khalifah tidak lagi sesuai kerana jumlah umat Islam yang sangat ramai, jumlah tanah naungan kerajaan Islam juga bertambah dan kewujudan-keujudan wakil khalifah yang ramai untuk mentadbir tanah-tanah di luar Arabia – menyebabkan kecenderungan untuk berlaku perebutan kuasa dan perang saudara.
Maka peralihan kuasa ditangani dengan mewujudkan sistem monarki.
Bahkan monarki Umayyah, Abbasiyyah dan Ottomaniah juga sebagai pengimbang kepada monarki-monarki lain seperti Eropah, China, Mongol dan sebagainya.
Zaman Empayar telah berlalu, zaman monarki adalah pertembunagn yang lebih kechil, bukan lagi sebagaimana pertembungan besar Rom dan Parsi.
Kemudian setelah perang dunia ketiga, negara-negara dunia dipecah dan dipetakan dengan sempadan-sempadan yang lebih kecil, mempunyai ketua negara sendiri, bendera sendiri, ketenteraan sendiri.
Bukan sahaja negara umat Islam demikian, bahkan negara-negara seluruh dunia. Dunia sudah meninggalkan sistem empayar besar dan sistem monarki mutlak.
Kita sedang berada pada zaman ini.
Zaman negara-negara bersempadan, diperintah secara half demokrasi dan ada yang demokrasi penuh.
Sebagaimana zaman khalifah berasimilasi dengan persekitaran dunia, kita juga perlu berasimilasi dengan persekitaran dunia.
Apabila dunia berubah kepada sistem bernegara, kita perlu berasimilasi dan menggerakkan agenda khalifah di muka bumi mengikut perdearan zaman.
Mendepani Empayar besar Rom dan Parsi, sistem khalifah ar-rasuidin mengambil tempat.
Mendepani kerajaan-kerajaan monarki, sistem Khalifah monarki dan Sultan diperkenal.
Hari ini kita dibawah satu sistem kelolaan dunia yang bercorak gabungan, seperti EU,OIC, APEC, ASEAN, etc.
Dan hari ini ada beberapa negara dunia yang cuba menjadi kuasa besar secara solo.
Sistem kita bernegara hari ini, kita kena perform sebagai negara umat Islam yang kuat, gagah, stabil dan contoh kepada dunia.
Ia bermula dengan sistem pemerintahan negara kita, dan kemudian kita kembangkan kepada negara-negara kechil sekitar untuk membentuk blok politik dan ekonomi yang tidak mudah tergugat dengan percaturan dunia.
Halangan kita adalah faktor politik dalaman kita sendiri.
Saya pernah berdiskusi dengan beberapa orang Hizbuttahrir yang bukan pemimpin tertinggi dan bukan juga ahli bawahan.
Hujahnya sangat idealistik dan betapa bagus dan perlunya kita kembali mengangkat sistem khilafah yang katanya beas daripada sistem riba’, terlaksana hukum Allah secara sempurna, kita akan gah dihormati kawan dan digeruni lawan.
Oleh sebab sudah berdiskusi agak lama, saya sudah malas untuk panjangkan cerita, kerana mereka akan pusing benda yang sama dan attack ‘kesilapan’ saya.
Saya tanya soalan terakhir, kalau saya bersetuju dengan idea Hizbuttahrir untuk kita sama-sama kembali mengangkat sistem Khalifah, apa langkah pertama yang saya nak kena buat?
Lalu mereka menjawab, kita kena mulakan dengan sistem ekonomi Islam guna matawang dinar dan dirham untuk mengelak riba’, kita kena sama-sama ternak kambing kerana itu sunnah… bla-bla bla….
Serta merta saya ‘goosebump’.
Dahsyat idea mereka yang saya tak pernah terfikir.
Sembang awal-awal tadi punya lah gak pasal sistem itu dan ini yang besar-besar.
Tetiba nak mula dengan ternak kambing.
Saya pun minta diri.
Kita kena realistik.
Apabila dunia membincangkan sesuatu yang besar dimeja-meja akademik, dalam pertubuhan-pertubuhan dunia, dengan cara pengurusan diplomatik dunia dan sebagainya, kita kena berasimilasi dengan kaedah ini untuk mencapai matlamat kita.
Usah teruja dengan satu sistem yang kita pun hanya berimaginasi, tidak berpijak pada alam nyata zaman kita ini.
Apakah Imam Mahdi akan bawa kita ke zaman Khalifah?
Saya tak tahu.
Tapi, saya yakin Imam Mahdi tidaklah punyai level pemikiran dan ketaksuban seperti kamu.Sekian
Oleh: Dr Tanaka Mustafa