“Abraham Religion”:  Agenda Sulit Zionis Israel Untuk Menghalalkan Normalisasi

“Abraham Religion”: Agenda Sulit Zionis Israel Untuk Menghalalkan Normalisasi

Pada Isnin 8 November lalu ketika sambutan ulang tahun ke 10 penubuhan “The Egypt Family House“ , Dr. Ahmed Al Tayeb, Syeikh (Imam Besar) Al Azhar dengan tegas dan jelas menyuarakan kebimbangan dalam ucapannya di majlis tersebut berkenaan satu agama baharu iaitu “Abraham Religion“ atau Agama Ibrahim dengan menyifatkannya sebagai satu agama sesat.

Abraham Religion adalah gabungan dari 3 agama “samawi“ iaitu Islam, Kristian dan Yahudi yang digabungkan dengan tujuan untuk menyatukan umat manusia di bawah satu agama dengan menyampai satu mesej untuk menyeru umat manusia ke arah penyatuan.

Ia dilancarkan oleh UAE ketika menandatangani perjanjian normalisasi hubungan antara UAE dan negara haram Israel pada Ogos 2020.

Dr. Ahmed Al Tayeb kemudiannya menjelaskan dalam ucapannya terdapat perbezaan antara menghormati dan mengiktiraf satu-satu agama.

Islam menghormati agama lain khususnya agama samawi akan tetapi tidak mengiktirafnya sebagai agama yang benar.

Di sisi Islam, agama yang benar hanyalah Islam sebagaimana maksud firman Allah:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

“Sesungguhnya Agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam”

(Al-Imraan:19)

Pendirian Dr. Ahmed Al Tayeb ini mendapat sokongan jitu dari masyarakat dunia Arab termasuk daripada golongan Kristian sambil menyatakan sokongan terhadap penolakan tersebut di media sosial termasuk dari golongan cendikiawan, orang kenamaan dan masyarakat awam.

Namun ramai dari kalangan masyarakat Arab tertanya-tanya mengapakah Dr. Ahmed Al Tayeb mula menyuarakan perihal Abraham Religion ketika ini.

Adakah sedang berjalan agenda sulit atau terselindung untuk menyebarkan atau mengumumkan penubuhan agama baharu ini di kala situasi geopolitik sedang bergolak hebat di Asia Barat?

Hakikatnya, semua bermula ketika ditandatangani perjanjian normalisasi hubungan diplomatik antara negara haram Israel dengan UAE serta Bahrain pada September tahun lalu.

Agenda normalisasi ini diusahakan oleh Donald Trump dan Jared Khusner yang dikenali sebagai Abraham Accord.

Dalam teks deklarasi perjanjian tersebut yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, dinyatakan bahawa “Kami menggalakkan usaha untuk menyokong dialog antara budaya dan agama untuk memajukan budaya keamanan antara tiga agama Abraham dan semua umat manusia“.

Secara zahirnya, teks deklarasi perjanjian tersebut mempunyai mesej terselindung berkenaan Abraham Religion yang akan diusahakan untuk menyatukan ketiga-tiga agama samawi ini di bawah satu agama.

Ramai yang beranggapan bahawa UAE adalah pelopor kepada Abraham Religion ini, selari dengan penubuhan Abrahamic Family House di Abu Dhabi ketika lawatan bersama oleh Pope Francis dan Dr. Ahmed Al Tayeb pada awal 2019 sebelum di tandatangani perjanjian normalisasi dengan negara haram Israel.

Penubuhan Abrahamic Family House di Abu Dhabi, UAE adalah sama tujuannya dengan penubuhan Egypt Family House di Mesir, iaitu untuk mempromosikan serta mewujudkan keamanan dan keharmonian di antara penganut berbilang agama di negara masing-masing.

Namun begitu, perlu difahami bahawa Abraham Religion adalah satu pendekatan yang mengandungi agenda besar yang tersirat yang dijalankan oleh regim zionis Israel dengan tujuan utamanya adalah untuk menyebarkan dan memperkukuhkan program penerimaan proses normalisasi di kalangan negara-negara Dunia Islam terutamanya negara-negara Asia Barat.

Dengan mengetengahkan idea keamanan, keharmonian dan perpaduan kepada umat Islam, ia diharap dapat melembutkan hati umat Islam terutamanya pemerintah negara-negara Dunia Islam untuk menerima perjanjian normalisasi dan seterusnya menguatkan keabsahan kewujudan negara haram Israel di samping terus melupakan perjuangan rakyat Palestin.

Tujuan utama tersebut dikuatkan lagi dengan penilaian Pusat Kajian Keselamatan Nasional Israel bahawa pakatan ”Abraham Accord“ di Asia Barat bersama UAE dan negara-negara Arab lain akan membentuk kejayaan politik terpenting buat regim zionis Israel kerana mereka berpendapat setelah lebih setahun normalisasi tersebut ditandatangani, regim zionis Israel masih berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan strategik mereka di Asia Barat.

Namun di sebalik kejayaan poltik yang digambarkan oleh kajian tersebut, tokoh ketenteraan regim zionis Israel pula berpendapat bahawa perubahan yang berlaku akibat daripada perjanjian normalisasi tersebut adalah kurang daripada jangkaan yang ditetapkan ketika pelancarannya.

Amos Harel, penganalisa ketenteraan untuk Akhbar Haaretz yang berpengkalan di negara haram Israel menyatakan bahawa regim zionis Israel mempertaruhkan UAE menjadi sebahagian daripada pakatan tersebut untuk menghadkan pengaruh Iran di Asia Barat tetapi pertaruhan dan kepercayaan ini nampaknya palsu kerana UAE dan negara-negara Asia Barat khuatir untuk menggangap Iran sebagai musuh dan dilihat sebagai sebuah rantau yang mencabar Amerika Syarikat.

Tambah beliau lagi, pembabitan UAE di Palestin juga dilihat amat kurang dan lemah berbanding Qatar yang bertapak kukuh memenangi hati rakyat dan pemimpin Palestin dengan pelbagai jenis bantuan yang dihulurkan termasuk bantuan kewangan.

Oleh itu, kejayaan politik yang digambarkan masih jauh lagi perjalanannya dan peranan UAE masih lagi tidak berkesan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, agenda Abraham Religion juga adalah satu usaha terselindung yang dilakukan oleh regim zionis Israel untuk mengintergrasikan negara haram Israel ke dalam sosio budaya dan politik Asia Barat dan penerimaan normalisasi perjanjian samada dengan negara-negara Arab atau negara Dunia Islam yang lain.

Jika dirungkai segala matlamat yang sedang diusahakan oleh regim zionis Israel dan sekutunya, tujuan yang paling utama adalah untuk memperluaskan dan mengukuhkan kedudukan strategik regim zionis Israel di Asia Barat dengan menggunakan perjanjian normalisasi sebagai alat untuk memperdaya negara-negara Arab dan Islam.

Perlu ditegaskan, Abraham Religion adalah salah satu muslihat yang boleh menyesatkan akidah umat Islam.

Agama baharu ini perlu ditolak dan diperjelaskan bahayanya kepada umum yang bertujuan untuk memanipulasi umat Islam supaya menerima keberadaan zionis Yahudi sama ada di Palestin atau di negara-negara Dunia Islam yang lain.

Para ulama dan pemikir Islam sudah mula berbicara tentang agama baharu ini dan mereka bersepakat menolaknya dan menegaskan ia adalah jalan menuju kekufuran.

Pada Februari 2021, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Liga Ulama Islam termasuk juga Liga Arab Maghreb mengadakan persidangan yang bertajuk “The Position of the Islamic Ummah on the Abrahamic Religion“.

Rumusannya menyifatkan Abraham Religion adalah satu ancaman terhadap akidah umat Islam.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa musuh Islam tidak akan berhenti untuk menyesatkan umat Islam dengan apa cara sekalipun.

Malangnya terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup menjadi alat kepada musuh Islam kerana kepentingan kuasa dan harta semata-mata.

Inilah sejarah yang akan berulang kali berlaku iaitu sejak dari zaman awal Islam dahulu sehinggalah dunia ini ditamatkan riwayatnnya.

Semoga umat dan Dunia Islam senantiasa terpelihara dan berada di dalam lindungan Allah SWT.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

Dunia Islam