Manifesto bukan kitab suci.
Demikian jawapan pemimpin PH setelah gagal melaksanakan janji-janji dalam PRU14.
Kini di ambang PRU15, mereka tak malu untuk bermanifesto lagi.
Manifesto kali ini amat umum.
Tujuannya adalah agar mudah menyelamatkan diri kerana agak subjektif.
Apa salah kencing berkali-kali kalau rakyat tak serik dikencing lagi.
Tetapi sedarkah para pengundi khususnya ahli-ahli UMNO sekalian.
Dijangka satu lagi malapetaka kencing rakyat selepas PRU15 akan berlaku.
Yang akan dikencing kali ini ialah ahli-ahli UMNO.
Yang akan kencing berjamaah ialah para pemimpin mereka.
Mungkin bukan kencing manifesto macam yang dibuat oleh PH.
Kencing berjemaah kali ini akan berbunyi ‘PAU bukan kitab suci’.
Dalam PAU 2020 (Perhimpunan Agung UMNO) yang lepas, UMNO telah memutuskan bahawa ‘No Anwar, No DAP’.
Itulah ketetapan yang telah diambil oleh pemimpin dan perwakilan.
Dalam PAU itulah juga UMNO memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan BERSATU.
Tetapi apakah Zahid Hamidi yang mengepalai UMNO akan akur dengan keputusan PAU tersebut?
Zahid hamidi berkata tiada lagi rundingan dengan PAS selepas PRU15.
Jadi dengan siapa beliau akan bekerjasama sekiranya UMNO/BN gagal mendapat simple majority?
Memang amat diyakini oleh kebanyakan penganalisis politik bahawa UMNO/BN secara solo akan gagal membentuk kerajaan.
Ini bermakna, UMNO/BN hanya boleh membentuk kerajaan melalui kesepakatan dengan parti atau koalisi lain.
Persoalannya dengan siapa UMNO akan berpakat kalau PAS/BERSATU/PN telah ditolak keras oleh Zahid Hamidi?
Sedangkan kini terngiang-ngiang kembali perbualan telefon antara Zahid dengan cikgunya, Anwar.
Bukan sekadar itu Zahid tidak lagi menyerang keras DAP seperti sebelumnya.
Jajaran baru disebut dan diulang-ulang.
Dan apabila terdesak selepas keputusan PRU15 diumumkan, akan kedengaranlah nanti madah baru, ‘PAU bukan kitab suci’.
Hendak membentuk kerajaan dalam tempoh seminggu dua, bukan sempat untuk mengadakan PAU bagi membuat ketetapan baru.
Kalau adapun, UMNO akan terus bergolak dan berpecah kerana bukan semua ahli UMNO bersedia bersama dengan DAP/PH.
Maka atas kuasa Presiden yang cukup ‘lantang dan gagah’ dalam sehari dua ini, penafian ‘No Anwar, No DAP’ akan dirungkaikan demi membentuk kerajaan.
Selepas diumumkan calon-colon PRU15 pun UMNO sudah kelihatan semakin retak dan berkecamuk.
Apalagi andaikata UMNO/BN gagal mendapat majoriti mudah dan direalisasikan pula jajaran baru.
Akan ada ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak akan menyokong kerana mereka kenal siapa DAP.
Mereka tahu itu bercanggah dengan ketetapan PAU.
Dan sekiranya UMNO tumbang manakala PN atau PH pula yang dapat majoriti mudah, nasib UMNO dan Zahid Hamidi tidak sukar untuk diramalkan lagi.
Patahlah kedua-dua kaki kali ini.
Janganlah cuba diusik lagi.
Kesimpulannya, motif tulisan ini adalah demi memperingatkan bangsaku yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO dan pengundi-pengundi atas pagar agar jangan silap memilih.
Tak suka atas sebab apa sekalipun kepada PAS atau BERSATU, lupakan buat sementara sekiranya itu bukan satu dosa.
Sebusuk-busuk daging dikincah dimakan juga.
Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga.
Lagipun kita sudah mesra di atas asas Muafakat Nasional.
Justeru, atas nama menyelamatkan maruah dan ketuanan bangsa, setiap undi kita mestilah untuk Perikatan Nasional. DAP jangan dicuba-cuba.
Menyesal nanti, bangsa merana.
