Mana ada seorang Presiden mahu memusnahkan partinya sendiri?
Presiden pastinya berjuang dengan apa saja cara untuk memenangkan partinya.
Calon-calon yang dipilih adalah bertaraf WALI.
Lagi besar kemenangan lagi mudah untuk mengekalkan kerusi Presiden.
Seboleh-bolehnya biarlah BN menang secara solo.
Tak perlu berkongsi kuasa dengan sesiapa.
Itulah cita-cita, visi dan misi seorang presiden bernama Zahid Hamidi.
Benar. Analoginya mana mungkin seorang pengembala menyembelih lembu kesayangannya.
Lembu yang dijaga sejak kecil dan besar menjadi sado.
Di kandang itulah tempat dia bermain dan berkawan.
Lembu itu sakit dia turut runsing dan sukar tidur.
Lembu itu pun sudah amat sayang kepadanya dan dia pun sudah amat sayang kepada belaannya itu.
Maka mana mungkin tangannya sendiri menghiris tengkuk haiwan kesayangan.
Suatu hari pengembala mengalami masalah berkaitan wang.
Kebetulan di kampungnya ada pertandingan laga lembu.
Mari akal di hatinya untuk mencuba nasib lembunya yang digelar Beragas.
Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Dia tak peduli lagi sama ada lembunya akan menang atau tidak.
Belum cuba belum tahu.
Kalau tak dicuba, wang tak dapat.
Masalah kewangan tak selesai.
Jiran dan kawan tak mahu menolong.
Kebetulan tarikhnya musim hujan.
Harap-harap semua lembu lawannya demam dan tak sihat badan untuk dibawa ke gelanggang pertarungan.
Maka masuklah pengembala membawa Beragas ke meja pendaftaran pada 5 November untuk dinilai kesihatan fizikal, mental dan segala kriteria.
Malang mula terhidu.
Sejak dua hari sebelum itu, Beragas macam kembung perut.
Kadang-kadang mendengus tak tentu hala.
Alamat tak baik mula beriak-riak.
Namun si pengembala buat semberono.
Perjuangan perlu diteruskan.
Masalah berkaitan wang wajib diselesaikan.
Beragas tak sedap duduk.
Sekejap bangun sekejap berpusing keliling.
Mata melilau garang.
Kaki belakangnya mula menunjal-nunjal.
Pengembala direnung tajam.
Nampak kecik-kecik di bebola mata.
Rasa kasihan dan geram kepada tuan bercampur baur.
Beragas sedar nasib, tubuh badannya dan masa depannya dipertaruhkan oleh si pengembala.
Apapun bijak juga Beragas berfikir.
Tunggulah selepas 19 haribulan.
Tarikh itu nanti biarlah sama-sama berkubang.
UMNO bukan lembu.
Zahid bukan pengembala yang dimaksudkan.
Tetapi Zahid telah melayan ahli-ahli UMNO macam Beragas.
Semua nak diperbodohkan.
Mentang-mentanglah tiada yang berani melawan cancang.
Almaklumlah, dialah pemegang anak kunci watikah.
Lagi top 5 boleh dicengkam, PM boleh diarah.
Apalah sangat dengan ahli-ahli biasa yang mengharapkan kuah-kuah yang tersisa.
Apapun tengoklah nanti 19 haribulan.
Nampak pada wajah, ramai yang kecewa dan menahan rasa.
Nampak pada bendera-bendera yang dicabut dan diterbalikkan.
Nampak pada pos-pos yang tidak lagi seceria yang biasa-biasa.
Rasanya nak gerah besar kali ini.
Berkubanglah Beragas dan tuannya.
Disaksikan seluruh mata yang dapat melihat untuk diceritakan nanti kepada anak cucunya.
