Pesta Dalam Koc KTMB Tidak Kena Dengan Budaya Melayu, Islam

Pesta Dalam Koc KTMB Tidak Kena Dengan Budaya Melayu, Islam

Festival muzik yang diadakan di dalam koc milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) disifatkan sebagai melanggar norma budaya masyarakat di Malaysia.

Meskipun KTMB menyatakan bahawa penganjur telah mematuhi semua syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, pesta tersebut sama sekali bertentangan dengan namanya dan budaya tempatan.

“Keretapi Tanah Melayu Berhar (KTMB) adalah nama kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad.

“Pesta dan tarian yang terjadi baru-baru ini dalam koc milik KTMB langsung tidak kena dengan budaya Melayu yang berteraskan syariat Islam,” kata Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan prinsip yang digunapakai KTMB dalam isu sebegini.

“Adakah atas nama keuntungan dan kewangan digadaikan masa depan anak muda dengan gejala moral dan hiburan melampau?,” katanya dalam kenyataan.

Pesta hiburan sempena ulang tahun pertama ‘Pinkish Festival’ itu dianjurkan di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, pada Khamis (16 Mei).

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.

KTMB memaklumkan ia telah memperkenalkan perkhidmatan Charter Train sejak September 2021 kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

“Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan,” katanya.

Isu Semasa