Biawak Berbaju Melayu

Biawak Berbaju Melayu

UMNO mencuba lagi. Kali ini di Johor.

Selepas mendapat petanda baik di Melaka dan melihat Pakatan Harapan (PH) kecundang di Sarawak.

Ada pelbagai tanggapan “move” yang dibuat UMNO.

Mereka berselindung di sebalik “kestabilan politik”.

UMNO antara parti yang tidak pernah berhenti dengan pelbagai move sejak tersungkur tanpa sangka dalam PRU14.

Hampir semua move itu disadur dengan istilah lunak bagi mengelirukan rakyat seperti ‘biawak dipakaikan baju Melayu’.

Ini membuktikan mereka miliki kumpulan pemikir yang bukan calang-calang.

Bermula dengan menghulur tangan yang lemas kepada PAS dalam tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) hinggalah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Cuba kita ikuti seimbas lalu move politik UMNO untuk kembali bernyawa.

Mereka sangat takut andai Selangor dan Pulau Pinang merebak seluruh negara.

Setelah berjaya menghulur tangan simpati kepada PAS atas nama perpaduan dan menyelamatkan Melayu, UMNO terus bergaya dengan kemenangan tujuh PRK.

Tanpa menoleh kepada PAS yang tulus membantu sepenuh jentera, mereka lebih rela memberi kepada rakan gabungan mereka MCA daripada PAS walaupun menyeru penyatuan Melayu.

Atas nama Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional bersama Bersatu atas usaha keras PAS yang sangat tahu sengketa dua parti adik beradik itu.

Bermula dengan kejatuhan kerajaan Persekutuan di terajui PH hinggalah satu persatu kerajaan negeri bermula Perak, Kedah, Melaka dan Johor.

Negeri Sembilan juga hampir tersungkur.

Perak diterajui Bersatu setelah terhalang beberapa lama kerana UMNO menuntut kerusi Menteri Besar (MB).

Di Kedah, PAS menjadi MB mengiringi dua negeri Melayu yang lebih awal diterajui PAS.

Di Melaka, atas nama penyatuan, PAS hanya diberi penasihat agama MB.

Johor yang PAS, miliki satu kerusi seakan tidak dipeduli kerana ia tidak memberi kesan sekalipun kesepakatan di Kerajaan Pusat dan negeri adalah tiga parti besar Melayu ini.

Saya abaikan isu PRN Sabah.

Setelah mendapat kuasa dan nafas kembali stabil, UMNO meneruskan langkah politik menggugat kerusi MB yang dikuasai Bersatu di Perak.

Dengan “bisik-bisik kuat” perbincangan belakang tabir UMNO dengan PH, khasnya DAP menyebabkan lima kerusi yang menyokong bersekutu tidak mampu mempertahankan Peja sebagai MB.

Setelah berjaya, perjanjian yang ditandatangani tiga Presiden dan Setiausaha bagi mengekalkan kedudukan dan portfolio Exco sedia ada juga di persetankan.

Langkah ini dijadikan panduan menggerakkan “rampasan kuasa” Perdana Menteri (PM) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).

Setelah berbagai “move” nyata, tersembunyi dan berbelit, UMNO kuasai kerusi PM.

Langkah mendapatkan TPM nampaknya terhenti.

Perbincangan Presiden UMNO dengan ketua pembangkang terdedah.

UMNO khasnya kluster mahkamah menjadi duri sejak TSMY hinggalah PM UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS) sendiri.

Belum puas nampaknya kelompok ini dengan apa yang dimiliki.

Langkah di Melaka berlaku disebabkan ketamakan pemimpin UMNO Melaka.

Sifat tamak ini bukan lagi dengan rakan tetapi sesama sendiri.

Walaupun beberapa DUN menunjukkan penurunan undi tetapi sudah cukup untuk menambah kerusi.

UMNO dikira menang besar.

Berulang kali UMNO mendesak PRU15 segera diadakan.

Tekanan kepada PM yang juga Naib Presiden UMNO yang datang, khasnya daripada kluster mahkamah nampaknya tidak berjaya.

Lawan kluster mahkamah mahukan pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU.

Ini menggusarkan Mr Presiden dan X presiden.

Tidak hairan, rata-rata pemerhati politik melihat PRN Johor adalah langkah menekan kerajaan pimpinan PM UMNO DSIS.

Beberapa pandangan dilontarkan, antaranya untuk menyelamatkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada hukuman.

Kebimbangan dengan pengundi muda dan baru juga membimbangkan UMNO.

Banyak lagi faktor yang dilihat namun dua faktor besar ini cukup sebagai asas yang kuat.

Kesimpulannya, UMNO terus mengatur langkah demi langkah untuk kembali bermaharajalela seperti dahulu.

Harapan rakyat termasuk sebahagian akar umbi UMNO yang sangat gembira dengan penyatuan ummah tidak dipedulikan.

Ia hanya baju Melayu untuk biawak.

Bagaimana langkah PAS… Bersatu dan PH…

Tidak dilupakan Warisan dan Muda selain parti yang belum dapat surat beranak?

Fairuz Hafiizh Othman

Kolumnis