Walau cerita benar melalui hadis yang Abu Hurairah didoakan Rasulullah kerana lupa dan selepas doa itu, beliau tidak lupa lagi, ada yang tidak percaya.
Kisah perihal kuatnya ingatan ulamak seperti Imam Syafie menghafal al-Quran dan kitab al-Muwatta’ sebelum masuk kelas Imam Malik, orang sinis.
Bila kita kata Imam Ahmad meriwayatkan sejuta hadis lengkap dengan sanad, mereka ketawa, mana mungkin boleh dibuat orang begitu.
Imam Bukhari juga diperlekehkan kerana mereka tidak percaya boleh mengingati ratusan ribu hadis dalam kepalanya, ia bagaikan mustahil.
Bagaimana hadis mahu disebarkan tanpa ada kesilapan oleh manusia, walaupun dibukukan?
Itu yang mereka fikirkan. Itu yang mereka percaya.
Tetapi tiba-tiba bila ada cerita seorang manusia seperti Lawrence Kim Peek, rahang mereka terbuka luas, takjub, kagum bermain dalam kepala mereka memikirkan kehebatan Lawrence.
Sedangkan yang menciptakan Lawrence adalah zat yang sama menciptakan imam-imam itu beserta kehebatan mereka itu.
Kita jadi hairan, kenapa Lawrence dikira hebat, imam-imam itu pula sebagai pembohong, walaupun ada pembuktian melalui sejarah.
Mereka mahu semua benda, mesti berlaku di hadapan mereka untuk mempercayainya.
Lebih-lebih lagi golongan atheis.
Dan merasa lebih pelik bagi golongan yang mengaku mempercayai kewujudan tuhan, namun masih menolak bukti.
Dalam masa yang sama sesetengah mereka mempercayai hanya al-Quran sahaja.
Bagaimana pula al-Quran boleh sampai kepada mereka, kerana terkadang, imam-imam yang sama juga yang juga menyebarkan al-Quran. Itu tiada pula dalam kiraan mereka.
Teringat kepada satu cerita, seorang atheis cuba memperli seorang imam dengan katanya, bagaimana perasaan kamu, apabila kamu mati nanti, kamu dapati sebenarnya, tiada apa-apa yang berlaku, tiada syurga neraka.
Imam itu menjawab, ya memang akan rasa teruk dan kecewa jika itu berlaku.
Tetapi ia tidaklah seteruk rasa bagi orang yang mati, tiba-tiba dia dapati ada syurga dan neraka.
Masa tu, nak adjust macamana lagi?
Mohd Nasir Abdullah