Adalah suatu FITNAH apabila Perdana Menteri “caretaker” Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan para menteri dari Perikatan Nasional (PN) sebagai punca parlimen dibubarkan.
Umum tahu bahawa beberapa hari sebelum Ismail mengeluarkan dakwaan tersebut, beliau telah terlebih dahulu menyatakan kepada media bahawa tidak timbul isu keabsahan kerajaan apabila menteri-menteri dari PN mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak bersetuju pembubaran parlimen ketika musim cuaca buruk sekarang ini.
Rakyat juga tidak lupa bagaimana sejak tahun 2020 lagi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu sedang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara akibat dari pandemik Covid-19, telah diserang dari pelbagai arah oleh beberapa pemimpin UMNO secara terbuka atas motif politik semata-mata.
Malah kepimpinan UMNO terus melaungkan “NO BERSATU” dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) mereka dua tahun berturut-turut ketika membentuk kerajaan bersama dengan PN.
Sampaikan UMNO sendiri rela menjatuhkan kerajaan negeri mereka sendiri di Melaka dan Johor agar Pilihanraya Negeri (PRN) dapat dilakukan ketika wabak masih menular dan ketika musim banjir.
Adakah itu masih salah PN?
Paling khianat ialah apabila tersebarnya rakaman perbualan antara GURU dan ANAK MURIDNYA sambil ketawa berdekah-dekah sewaktu PAU sedang berlangsung menunjukkan wujudnya perancangan rahsia antara kedua-dua pihak tersebut untuk meruntuhkan kerajaan pusat yang dibina bersama PN ini.
Lalu apakah salah jika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan BN adalah musuh utama rakyat dalam PRU nanti sebagai respon terhadap percaturan keji untuk menyelamatkan penjenayah tertentu dari dihukum mahkamah?
Tan Sri Muhyiddin Yassin selama mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah berkali-kali memberi saranan kepada pihak kerajaan pimpinan Ismail Sabri secara professional, berfakta dan berhemah, namun ia tidak diendahkan dalam banyak perkara, terutama mengenai moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi kegiatan ekonomi rakyat biasa.
Oleh kerana Ismail Sabri tidak mengendahkan segala nasihat dari badan kerajaan itu, bahkan terlampau percaya pula kepada penasihat ekonominya yang masih mentah seperti Shahril Sufian Hamdan itu, maka hari ini ekonomi negara berada dalam keadaan terumbang ambing, dengan kos sara hidup terus meningkat, harga barang-barang keperluan asas banyak yang naik, dan negara berada dalam situasi “stagflation” yang akhirnya boleh menjurus kepada inflasi menyeluruh.
Adalah wajar untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi MPN membuat teguran keras terhadap kepimpinan PM Ismail Sabri sebelum ekonomi negara menjadi lebih parah lagi dan nasi menjadi bubur.
Tetapi ia dibalas pula dengan membubarkan parlimen, bukannya terus memperbaiki ekonomi rakyat.
Itulah dia contoh PM yang paling singkat dan paling lemah dalam sejarah Malaysia kerana rela dicucuk hidungnya oleh seorang OKT yang mempunyai 47 kes melibatkan rasuah, pecah amanah dan gubahan wang haram satu yayasan kebajikan.
Cuba anda kira berapa banyak pakej bantuan ekonomi untuk rakyat yang diumumkan oleh Ismail Sabri sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri berbanding yang pernah dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku PM ke-8 dahulu?
Kenapa nilai matawang negara kita terus susut di pentas antarabangsa hinggakan ia kini tidak laku lagi di negara jiran?
Jika Ismail Sabri mempunyai maruah, beliau sewajarnya bertanggungjawab terhadap cadangannya untuk membubarkan parlimen kerana itu kuasa Perdana Menteri yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak pun.
Lebih bermaruah lagi jika beliau merasakan bahawa beliau tidak lagi mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen maka beliau seharusnya mengumumkan perletakan jawatan sebagai PM, bukan berlagak majoriti mohon pembubaran parlimen dari Istana Negara.
Dr Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu