Penganalisis berkata hubungan erat antara presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim mungkin menyelamatkan karier politik presiden PKR itu di Tambun, sekali gus menggagalkan cadangan persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS di kerusi itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik Mazlan Ali berkata keakraban kedua-dua sosok itu bukan lagi rahsia, dan diketahui berlangsung sejak zaman kedua-duanya dalam Umno lagi.
Menurut Mazlan, tidak mustahil faktor itu akan mempengaruhi sebarang keputusan berhubung perikatan politik masa depan.
“Hubungan peribadi itu mungkin masih erat sehingga hari ini, walaupun konteks politiknya Pakatan Harapan (PH) mempunyai perbezaan politik dengan Umno,” katanya.
Bagaimanapun, katanya hubungan itu sebaliknya memungkinkan perikatan antara BN dan PKR pasca PRU15 sekiranya semua blok politik gagal mendapat majoriti yang meyakinkan serta buntu dalam membentuk kerajaan.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa PAS Zuhdi Marzuki mengutarakan cadangan kerjasama antara PAS, BN dan Bersatu bagi menoktahkan empat dekad perjalanan politik bekas timbalan perdana menteri itu.
Zuhdi mencadangkan Ahmad Faizal Azumu kekal bertanding di kerusi itu, manakala Umno dan PAS masing-masing dicadangkan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta dan Manjoi.
“Yang menjadi halangan terbesar untuk melihat Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah sokongan pengundi Melayu terbahagi, sebahagian kepada Umno dan sebahagian lagi kepada Bersatu.
“Sebab itu, formula untuk memastikan Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah pakatan pilihan raya antara Umno, PAS dan Bersatu,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, gabungan itu akan meletakkan calonnya di kerusi itu bagi mencabar penyandang.
Kenyataan seorang pemimpin Umno Perak, Shamsul Anuar Nasarah pula mengatakan Tambun sewajarnya menjadi “Waterloo” untuk Anwar.
Faizal yang juga bekas menteri besar Perak itu memenangi kerusi Tambun dengan 38,661 undi, menewaskan calon BN, Ahmad Husni Hanadzlah (33,341 undi) dan Ibrahim Zakaria (14,948 undi).
Menurut Mazlan, cadangan Zuhdi mempunyai asas kerana kerusi itu merupakan kawasan tradisi Umno.
PH memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis kira-kira 5,000 pada PRU lepas.
“Anwar bertanding di Tambun itu ada sebabnya. Mungkin ini strategi Anwar untuk jadikan Perak sebagai medan untuk meraih sokongan rakyat kepada PH,” katanya.
Menurut Mazlan, Anwar memilih kawasan yang mempunyai 30% pengundi bukan Melayu itu kerana dia yakin undi Melayu akan berpecah kepada beberapa penjuru.
Namun, Anwar akan menemui penamat karier politiknya jika tewas di Tambun.
Kedudukan beliau dalam parti selepas itu hanya sebagai ex-officio.
Selain PH, BN, dan PN, Gabungan Tanah Air (GTA) antara gabungan yang dijangka akan berentap di kerusi tersebut.
Menurut Mazlan, Anwar mungkin mendapat maklumat daripada kajian parti yang memberi jangkaan kemenangan kepada beliau walaupun berisiko.
“Tambun bukan kerusi selamat bagi PH.”
Sementara itu, penganalisis politik bebas, Azizi Safar turut bersetuju dengan dapatan berkenaan.
“Anwar sudah tentu akan mendapat sokongan besar pengundi bukan Melayu.
“Jika ada pakatan pilihan raya antara PAS, Umno, Bersatu dan lain-lain parti seperti GTA, undi Melayu tidak akan terbahagi,” katanya.
Bagi Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Institute of International Affairs berkata, Anwar mungkin berpeluang sekali pun pakatan politik itu menjadi realiti.
“Kerusi Tambun disifatkan antara pinggir bandar dan pedalaman, dengan majoritinya Melayu dan sejumlah pengundi Cina yang signifikan.
“Kebanyakan undi Cina akan diberikan kepada Anwar (jika mereka keluar), beliau masih boleh menang sekalipun separuh undi Melayu diberikan kepada calon Melayu tunggal di pihak satu lagi,” katanya.