Rafizi Tak Profesional Serang, Ugut Penjawat Awam, Kata CUEPACS

Rafizi Tak Profesional Serang, Ugut Penjawat Awam, Kata CUEPACS

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membidas tindakan calon Pakatan Harapan Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang menggunakan modal bersifat menyerang atau mengugut penjawat awam ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perbuatan mengugut akan mengambil tindakan kepada penjawat awam tertentu sekiranya mempunyai kuasa kelak adalah tidak wajar dan tidak profesional, kata Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas serangan Timbalan Presiden PKR itu terhadap penjawat awam.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas beberapa dokumen di pejabat milik Rafizi – Invoke Solutions Sdn Bhd – susulan perisytiharan aset bersih dibuatnya sebanyak RM18,851,350 setakat 31 Oktober tahun ini.

Berang dengan tindakan SPRM itu, Rafizi dilaporkan memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bahawa Pakatan Harapan (PH) akan “mencarinya” pula berhubung skandal pegangan sahamnya sebelum ini jika gabungan itu menang PRU-15.

Bercakap pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru malam tadi, Rafizi berkata SPRM mesti berdepan dengan mahkamah terlebih dahulu berhubung serbuan ke atas syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Adnan mengingatkan semua pihak bahawa setiap tindakan yang dilakukan penjawat awam adalah berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme yang tinggi tanpa mengambil kira soal politik kepartian.

“Seharusnya calon atau ahli politik yang berkempen sepanjang pilihan raya tidak keterlaluan menyerang perkhidmatan awam. CUEPACS memahami terdapat ahli politik yang tidak dapat mengawal emosi ketika berkempen, apatah lagi di hadapan ribuan penyokong masing-masing.

“Namun, perkara itu tidak menghalalkan serangan atau ugutan secara terbuka terhadap penjawat awam dilakukan,” katanya sambil mempersoalkan niat di sebalik tindakan Rafizi serta serangan secara terbuka yang dilakukan.

Ini kerana, katanya, pihaknya difahamkan SPRM tidak pernah mendedahkan pegawai mereka melakukan serbuan ke pejabat milik mana-mana ahli politik dalam tempoh berkempen ini.

“Perkara itu hanya diketahui umum apabila ahli politik terbabit yang mendedahkannya melalui ceramah. Justeru, dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sedikit masa lagi ini CUEPACS berharap semua pihak menghormati satu sama lain.

“Keharmonian antara ahli politik dan perkhidmatan awam amat penting kerana kedua-dua pihak seharusnya bekerjasama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pilihanraya