PRU 15 Siri 16: Di Sebalik Segala Kemelut, Akhirnya PN Membentuk Kerajaan

PRU 15 Siri 16: Di Sebalik Segala Kemelut, Akhirnya PN Membentuk Kerajaan

Pendapat umum mengatakan sukar bagi mana-mana parti atau koalisi membentuk kerajaan secara solo selepas PRU15.

Ada pendapat membayangkan kerajaan jajaran baru antara BN dan PH dengan kerjasama beberapa parti di Sabah dan Sarawak akan terbentuk.

Mengikut ramalan penganalisis politik, BN mampu meraih antara 40-45 kerusi Parlimen manakala PH yang didominasi oleh DAP mampu meraih sekitar 60 kerusi.

Jajaran ini hanya memerlukan tak sampai 10 kerusi untuk membentuk kerajaan Pusat.

Sepuluh kerusi itulah diperlukan dari Sabah dan Sarawak.

Di samping itu tidak mungkin BN bergabung dengan PKR dan AMANAH sahaja kerana mereka tak akan mempunyai kerusi yang cukup tanpa DAP.

Penulis menjangkakan PN mampu meraih bilangan kerusi yang hampir sama dengan jumlah kerusi BN/PH.

GRS dan GPS di Sabah dan Sarawak akan menjadi kingmaker.

Jika 10 kerusi sahaja daripada 56 kerusi di kepulauan tersebut menyokong sama ada PN atau jajaran baru, memadai untuk salah satunya membentuk kerajaan.

Demikian congakan di atas kertas.

Namun adakah perancangan akan jadi semudah itu? Tidak.

Bagi penulis, jajaran baru antara BN dan PH amat sukar dibentuk.

Pandangan umum mungkin beranggapan agak mudah kerana Zahid dan Anwar ada tendensi tinggi ke arah itu.

Malah DAP pun sudah nampak berlembut dengan UMNO.

Tiada lagi dibangkitkan isu kleptokrasi.

DAP berfikir lebih baik menjadi kerajaan bersama seteru tradisi, UMNO, daripada terus menjadi pembangkang sambil melihat PAS berpencak gagah di Putrajaya.

Riak-riak DAP akan menjual prinsipnya semakin ketara kini.

Antara halangan yang akan ditempuhi sekiranya Zahid bercadang membentuk kerajaan bersama DAP ialah:-

i. Tentangan dari dalam UMNO sendiri.

PAU telah memutuskan ‘No Anwar, No DAP’.

PAU adalah suara keramat UMNO.

Bukan semua Ahli Parlimen dan Ahli MKT UMNO akan bersetuju untuk bergabung dengan DAP.

Malah dalam Top 5 UMNO sendiri akan berlaku perselisihan.

‘Golongan jernih’ lebih suka memilih untuk kembali membentuk kerajaan dengan PN.

Sekiranya Zahid sanggup langgar PAU dan menyanggah tentangan dalaman, maka kali ini akan berlaku perpecahan yang lebih besar dalam UMNO.

ii. Begitu juga dari dalam PH sendiri.

Orang nombor 2 PKR, Rafizi ada prinsip yang cukup jelas dari gaya politiknya.

Tak guna beliau berhempas pulas mendedahkan pelbagai salahlaku pentadbiran pemimpin UMNO kalau dalam sekelip mata segala-galanya berubah terbalik kuang.

Entahlah kalau beliau tergolong dalam golongan munafik hakiki yang menoda prinsip semudah memetik jari.

Selain Rafizi, akan ada beberapa orang Ahli Parlimen PH yang akan sependapat dengannya.

Apalagi jika syarat gabungan itu ialah menyelamatkan Zahid daripada kes-kes mahkamahnya.

Seperti UMNO, akan ada ahli-ahli parti komponen dalam PH yang menentang kerjasama dengan UMNO.

Bagaimana pula sikap parti-parti di Sabah dan Sarawak?

Perlu diingat bahawa kebanyakan parti di sana dikuasai oleh bangsa pribumi.

DAP yang berjuang atas dasar Malaysian Malaysia menentang terminologi Bumiputera dan non-Bumiputera.

Sebab itulah DAP berseteru dengan GPS dan GRS di sana.

Atas faktor inilah penulis yakin, GRS dan GPS akan memilih untuk bersama dengan PN yang dipimpin oleh TS Muhyiddin Yassin.

Justeru, jalan terakhir untuk membentuk kerajaan yang BERSIH dan STABIL ialah GPS dan GRS akan bersama-sama dengan PN.

Inilah keyakinan Muhyiddin Yassin yang sudah nampak gelombang baru sokongan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kepada PN.

PN ke Putrajaya dan TS Muhyiddin Yassin akan menjadi PM sekali lagi.

Kali ini Zahid akan ternganga.

Silap haribulan beliau yang awal-awal berkata tidak akan bekerjasama dengan PAS dan BERSATU selepas PRU15 akan menelan kahaknya.

Sempatkah Zahid menunggu PAU seterusnya untuk terus berada di kerusi nombor satu UMNO?

Jawapannya, tidak.

Pilihanraya