Siri 1 Pasca PRU15: Fathul Makkah Adalah Inspirasi Kita

Siri 1 Pasca PRU15: Fathul Makkah Adalah Inspirasi Kita

Visi dan misi PAS/PN sekarang ialah memenangi PRU16 dan seterusnya memerintah negara tanpa bergantung pada SD-SD daripada pihak tertentu.

Baru sahaja selesai PRU15, kita sudah bercakap tentang PRU16 yang mungkin berlaku dalam tempoh 5 tahun lagi.

Kerajaan Perpaduan atau kerajaan perkauman seperti yang dibahasakan oleh Raja Perta Kamaruddin (RPK) boleh sahaja tumbang lebih singkat daripada 22 bulan, namun perancangan kita mestilah menjurus kepada persiapan dan gerakerja untuk PRU yang akan datang.

Post-mortem akan dilakukan seperti biasa.

Di situ kita akan dapat melihat, menilai dan mengatur strategi bagaimana kita mampu meruntuhkan dominasi PH dan BN.

Berdasarkan statistik, kemerosotan yang besar berlaku terhadap undi-undi PH dan UMNO/BN.

Hampir 75% pengundi-pengundi muda Melayu bersama dengan PAS/PN.

PH sendiri mengalami penurunan yang besar dalam kerusi yang dimenangi daripada 121 (PRU14) kepada 82 sahaja.

Sebaliknya PAS meningkat dengan ketara daripada 18 kepada 49 kerusi.

Ternyata antara faktor kejayaan besar PAS/PN ialah usaha anak muda berpendidikan PAS berpencak melalui tik tok dan facebook.

Mereka terdiri daripada mujahid siber, Ameerah dan Pemuda yang berjuang dengan senjata kontemporari.

Idea, isu dan pertuturan mereka yang segar dan bernas berjaya mengadunkan penjelasan dan serangan dengan tangkas serta meyakinkan para pengundi.

Merekalah nanti yang menjadi bala tentera yang akan menyebarkan seluruh kebejatan, penipuan dan cauvanisme kerajaan berfahaman liberal pimpinan Anwar Ibrahim.

Untuk mencapai kemenangan yang dominan nanti, UMNO/BN mesti dibenamkan sedalam-dalamnya. Bukan kerana sombong.

Hakikatnya, medan tempur kita adalah kawasan majoriti Melayu.

Jangan sekali-kali UMNO diberi peluang untuk jadi kingmaker.

Kingmaker UMNO ialah kingmaker yang menjual maruah dan bangsa.

Parti yang mengkhianati citra bangsa ini ternyata telah menjadikan PAS/BERSATU sebagai musuh nombor satu yang lebih dibenci daripada DAP yang rasis itu sendiri.

PAS dengan UMNO hanya boleh diharmonikan semula jika Zahid Hamidi dan pemimpin yang keruh dalam UMNO tersingkir dalam pemilihan PAU akan datang.

Kalau tidak jangan diharapkan sebuah UMNO yang jernih untuk didampingi.

UMNO adalah UMNO dulu, kini dan selamanya.

UMNO hari ini sudah sampai ke tahap sanggup menipu dan khianat terhadap ahli-ahlinya sendiri.

Naratif perlu diarusperdanakan bahawa parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan agama Islam hanyalah Perikatan Nasional.

Gabungan dua parti teras Melayu, PAS dan BERSATU sudah memadai untuk meruntuhkan hegemoni dan empayar UMNO/BN yang robeknya kian parah.

PRU15 telah membuktikan bahawa PAS dan BERSATU mampu mencapai kemenangan yang semakin besar pada masa akan datang apabila anak-anak muda kita terus bangkit berjuang di setiap sudut dan saluran.

Akhir kalam, peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang mencetus ralat di hati para Sahabat pada awalnya, akhirnya dua tahun kemudian Nabi S.A.W. dan para Sahabat berjaya menawan Kota Mekah adalah gambaran jalur yang sama akan dilalui.

In sya Allah, peristiwa Fathul Makkah ini akan berulang dalam dimensi yang tidak jauh berbeza.

Inilah yang kita nantikan dan menjadi inspirasi setiap pejuang Islam.

Salam Muhammad

Pilihanraya