Secara peribadi, saya tidak begitu berminat mendengar kisah Perdana Menteri baru memakai capal masuk pejabat, atau menolak tawaran menggunakan kereta Mercedes sebagai kenderaan rasmi.
Sama seperti kisah Perdana Menteri membaca doa dalam perutusan sebelum ini, saya kira kesemua kisah romantisme ini tidak akan membantu dalam menilai kemampuan seorang pemimpin.
Untuk pengikut yang taksub, ia mungkin memberi nilai tambah. Tapi bukan untuk rakyat kebanyakan.
Apa yang saya berminat untuk dengar, adalah visi dan halatuju Perdana Menteri yang baru dalam mengurangkan kos sara hidup, serta mendepani cabaran ekonomi yang semakin sukar di tahun hadapan.
Juga saya berminat untuk tahu bagaimana Perdana Menteri yang baru ingin menguruskan kerencaman ideologi serta sudut pandang barisan kerajaan ’grand coalition’ nya (bukan kerajaan perpaduan).
Sebab kesemua parti-parti ini mempunyai wawasan yang berbeza.
Ada yang pro pasaran terbuka, ada yang sosialis demokrat, ada juga yang mengutamakan para pemodal dan cukong (kapitalis).
Cabaran terbesar Perdana Menteri adalah untuk mencari titik persepakatan dari jurang perbezaan ini.
Saya juga lebih berminat untuk melihat bagaimana Perdana Menteri yang baru komited dalam mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, khususnya pada kedaulatan agama Islam serta hak dan keistimewaan orang Melayu.
Seminggu ini, berbagai pihak termasuk golongan LGBT, NGO liberal serta pihak berkepentingan telah mengeluarkan kenyataan mendesak Perdana Menteri mengikut naratif hak asasi mereka yang bersifat universal.
Adakah beliau akan tunduk dengan desakan ini, atau terus bertegas dengan tafsiran hak asasi Perlembagaan Persekutuan yang selari dengan budaya dan tradisi?
Jika Perdana Menteri bersikap lebih longgar, adakah UMNO, satu-satunya parti Melayu dalam kerajaan ‘grand coalition’, akan bertegas dengan pendirian selama ini, atau turut sama ikut tunduk demi segenggam kuasa?
Bagi kami dalam PAS dan Perikatan Nasional, sebagai pembangkang, kami tetap akan kekal berprinsip dengan pendirian kami.
Cabaran Perdana Menteri baharu lebih besar, terutama dalam mengurus kepelbagaian yang ada dalam kerajaan ekspres beliau.
PAS dan Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran kerajaan tidak tenggelam lemas dalam kemabukan kuasa.
Semoga yang terbaik untuk Malaysia.
Nazrul Nazir