Islamofobia: Kaji Kesempurnaan Islam, Bukan Bakar al-Quran Dan Hina Nabi

Islamofobia: Kaji Kesempurnaan Islam, Bukan Bakar al-Quran Dan Hina Nabi

Firman Allah SWT:

﴿…ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗا…٣﴾

“…Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu jadi agama bagi kamu…”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Kini, semua pihak terus menyaksikan betapa kesempurnaan ajaran Islam itu adalah benar-benar datang daripada Allah SWT.

Ia dibawa oleh rasul terpilih yang wajib berakhlak mulia dan juga merupakan individu yang paling bijak, atau dalam erti kata lain seorang rasul itu hendaklah bersifat benar dan amanah.

Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana yang tiada bandingan dan tandingan.

Dia telah menetapkan kepada setiap makhluk ciptaan-Nya berupa peraturan dan undang-undang mengikut fitrah (naluri) masing-masing yang tidak boleh diubah atau dipinda.

Perkara tersebut wajib diterima dengan menyerah diri (Islam) secara sempurna dan menyeluruh.

Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥﴾

“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain selain daripada agama Allah, padahal segala yang ada di langit dan di bumi menyerahkan diri (Islam) kepada-Nya, (baik) dengan suka mahupun terpaksa (fitrah); dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan. (83);

Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, serta kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi seperti Ibrahim, dan lsma‘il, dan Ishaq, dan Ya‘qub, dan anak-anaknya (keturunannya), dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi seperti Musa dan ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan hanya kepada Allah jua kami berserah diri (Islam).’ (84);

Dan sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan di akhirat kelak dirinya termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85)”

(Surah Ali ‘Imran: 83-85)

Islam ialah agama yang menjadi anutan semua makhluk termasuklah para rasul AS.

Semuanya mengikut ketetapan Allah Pencipta alam semesta, termasuk makhluk manusia.

Setiap makhluk mempunyai hak yang mesti disempurnakan mengikut fitrahnya masing-masing.

Penganut Islam diwajibkan beriman kepada semua rasul AS dan percaya kepada semua kitab suci yang telah diwahyukan kepada mereka, kerana termasuk dalam rukun iman.

Iman dan Islamnya akan dinafikan, sekiranya dia tidak beriman kepada semuanya.

Hal ini berbeza dengan penganut lain yang percaya secara terpilih mengikut akal dan nafsu sahaja.

Sila lakukan kajian secara berilmu dan beradab dengan menggunakan akal yang sihat dan waras.

Pada masa yang sama, lakukanlah perbandingan antara Islam dengan agama dan teori yang lain secara jujur melalui sumber yang asli masing-masing bagi mencari kebenaran tanpa bersikap fanatik.

Sebarang perubahan daripada undang-undang fitrah (naluri) manusia, pasti menyebabkan berlakunya kepincangan yang akan membawa kemusnahan disebabkan oleh tangan manusia sendiri.

Janganlah cuba menyalahkan Islam, sebaliknya salahkan diri sendiri kerana mengadakan peraturan yang bercanggah dengan fitrahnya.

Sedangkan perbuatan itu tidak diizinkan oleh Allah SWT sebagai Penciptanya.

Justeru, disebabkan tidak beriman kepada semua rasul dan kitab suci, lalu manusia mencipta ajaran baharu yang salah dan tidak sempurna.

Sehinggakan, ada kalangan mereka yang meminda agama dan kitab suci, kemudian mencipta ajarannya sendiri dengan akal yang lemah.

Kini, kita menyaksikan bagaimana teori yang dinamakan perjuangan hak asasi itu dipisahkan secara berasingan antara satu sama lain.

Terdapat sebahagiannya memperjuangkan hak asasi manusia sahaja, malah sebahagian yang lain pula memperjuangkan hak asasi binatang sahaja atau alam sekitar sahaja, secara berpisah atau berasingan.

Bahkan, termasuk juga dalam urusan kehidupan manusia sendiri, apabila mereka memisahkan politik, ekonomi dan lain-lain aspek kehidupan daripada panduan ajaran Islam yang sempurna.

Keadaan ini menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam hubungan antara satu sama lain sehingga merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Kerosakan itu terjadi, sama ada disebabkan pendekatan liberal mahupun pendekatan ekstrem atau pragmatik yang tidak sempurna mengikut fitrah penciptaannya.

Maka, Allah SWT menyebutkan dalam firman-Nya:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

(Surah al-Rum: 41)

Hari ini kita menyaksikan sendiri bagaimana berlakunya kemusnahan dalam kehidupan manusia, kehidupan makhluk yang lain dan alam sekitarnya, sehingga ia menjadi perbincangan umum di semua peringkat.

Walhal, kemusnahan itu adalah disebabkan kerakusan nafsu manusia pada jasadnya, akibat tidak peduli kepada keperluan akal.

Begitu juga, kehidupan manusia tanpa roh, tanpa ibadat yang berhubung dengan Tuhan Pencipta alam, tanpa akhlak dan tanpa sempadan halal serta haram dalam urusan diri sendiri yang hanya mengikut konsep liberal.

Adapun sebahagiannya pula bersikap ekstrem dengan hanya memberikan penekanan kepada satu aspek fitrah sahaja, seperti menumpukan soal agama dari sudut rohani sahaja atau jasad sahaja.

Selain itu, menekankan tentang teori ekonomi individu sahaja tanpa memikirkan keperluan masyarakat atau menghalang kebebasan individu.

Semuanya menyebabkan kehidupan yang tidak stabil, kerana manusia bukan seperti para malaikat mahupun binatang, serta sama sekali bukanlah seperti batu dan kayu.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ١٢٤﴾

“Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan buta.”

(Surah Taha: 124)

Khusus bagi manusia yang ditugaskan mentadbir makhluk yang hidup di bumi, mereka diberikan suatu kemuliaan yang sangat istimewa.

Perkara tersebut dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia); dan Kami telah angkut mereka di daratan dan di lautan; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik (halal) serta Kami telah lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’: 70)

Manusia itu disempurnakan kejadiannya dengan fitrahnya sendiri yang mempunyai jasad, roh, akal, berindividu, berkeluarga dan bermasyarakat.

Setiap aspek telah ditetapkan keperluan dan sempadannya oleh Allah SWT dari segi keperluan hidup seperti rezeki kepada setiap yang ada pada dirinya.

Jasad mempunyai keperluannya, begitu juga roh dan akal, individu, keluarga dan masyarakat mempunyai keperluan masing-masing.

Segala perkara ini menjadikan manusia itu berkemampuan untuk melaksanakan tugas dan peranan masing-masing yang berbeza, disertakan sempadan yang menjadi ketetapan Allah, seimbang dengan kemampuan akal, ilmu dan pengalaman.

Seterusnya, manusia itu diciptakan pula dengan kepelbagaian kaum, bangsa, bahasa dan diletakkan di kawasan yang berbeza-beza hasil bumi dan alam sekitarnya.

Malah, ditegaskan pula mereka masing-masing wajib berhubung secara bermasyarakat yang berkeluarga besar dan bermasyarakat madani yang sempurna tidak boleh ditambah atau dikurangkan.

Perkara ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿يٰٓاَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿يٰٓاَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ibn Khaldun RH menegaskan bahawa manusia itu bersifat madani.

Islam telah menetapkan dasar dan garis panduan yang sempurna bagi manusia berserta peranan dan hikmah mereka diciptakan tanpa merungkai hubungan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai Pencipta alam.

Rasulullah SAW telah menciptakan konsep madani dengan ajaran Islam yang sempurna sehingga menamakan negaranya dengan Madinah.

Sehinggakan, dapat menguasai dunia dan mencipta tamadunnya yang dirasakan kemajuannya pada hari ini.

Namun, sifat madaninya telah dicacatkan.

Antara alasan untuk menyebarkan Islamofobia ialah munculnya teori yang mencela Islam dengan alasan tiada kebebasan apabila bersama Islam kerana adanya hukum wajib dan sunat, halal dan haram dalam aspek makanan, pakaian, pergaulan dan lain-lain.

Di samping itu, adanya undang-undang syariat yang diuruskan, wajib adanya pemerintah yang mentadbir (politik) dan menguruskan keperluan hidup jasadnya (ekonomi), akal dan rohnya (pelajaran dan pendidikan) serta konsep kawalan amar ma‘ruf dan nahi munkar dengan kehebatan undang-undang yang mendidik.

Oleh kerana tidak peduli tentang adanya sempadan pada kejadian setiap makhluk dan diri masing-masing mengikut ciri-ciri yang berdasarkan fitrahnya dengan melanggar atau mencerobohinya, maka semuanya terbabas.

Ini sekali gus menyebabkan berlaku kerosakan dan kemusnahan dalam diri serta kehidupannya.

Allah SWT telah menyebutkan secara berulang kali dalam al-Quran melalui firman-Nya:

﴿…تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٢٢٩﴾

“…Itulah sempadan-sempadan Allah (hukum-hukum-Nya), maka janganlah kamu melanggarnya. Sesiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Apa yang dilakukan itu adalah menzalimi dirinya sendiri kerana telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan hidup manusia akibat melampaui sempadan kejadiannya.

Setiap makhluk yang melanggar sempadan fitrahnya pasti akan merosakkan dirinya sendiri.

Contohnya, haiwan yang tinggal di daratan dipindahkan ke dalam air atau sebaliknya, pasti tidak mampu hidup dengan baik.

Selain itu, haiwan yang berada di kawasan lautan yang masin airnya, memasuki ke dalam kawasan air tawar atau payau tidak akan mampu hidup dalam keadaan yang normal lalu menyebabkan kematiannya.

Begitu juga, tumbuhan yang berada di kawasan dan cuaca tertentu tidak dipindahkan untuk ditanam di kawasan yang berbeza daripada habitat semula jadinya.

Maka, begitulah juga manusia yang melakukan perkara yang melampaui sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai Penciptanya, akan memusnahkan kehidupannya.

Ajaran Islam yang sempurna daripada al-Quran dan Sunnah (pelaksanaan oleh Nabi Muhammad SAW) menetapkan bahawa setiap aspek mempunyai keperluan masing-masing yang bertalian antara satu sama lain.

Antaranya keperluan roh ialah iman, taqwa dan akhlak yang mulia.

Manakala keperluan jasad pula ialah makanan halal yang ada hubungan dengan roh.

Adapun keperluan akal ialah ilmu yang bermanfaat dan pengalaman berfaedah yang menjadi panduan bagi menggunakan akal berpandukan hidayah Kitab Allah dan contoh Rasul-Nya.

Di sana adanya keperluan keluarga dan masyarakat, serta peranan manusia dalam hubungannya dengan makhluk yang lain secara seimbang dan saksama.

Firman Allah SWT:

﴿شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ١٨﴾

“Allah menyatakan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Tuhan yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan perkara sedemikian). Tiada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Keadilan itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya mengikut kejadian dan kemampuan makhluknya.

Berlakunya amalan membunuh diri kerana roh dan akalnya tidak diisi dengan keperluan yang sebenar, bukanlah disebabkan kelaparan dan kemiskinan sahaja.

Bahkan, ada kalangan mereka yang puas nafsu jasadnya juga membunuh diri kerana roh dan akalnya dalam kelaparan serta kekosongan akibat tidak beriman dan tidak berakhlak.

Begitulah berlaku kerosakan dalam aspek keluarga, politik, ekonomi dan lain-lain aspek kehidupan manusia kerana mereka telah melanggar ketetapan fitrah yang dinyatakan oleh Islam daripada kitab suci-Nya dan juga Rasul-Nya.

Al-Quran ialah mukjizat ilmu yang sempurna.

Firman Allah SWT:

﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatlah satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23);

Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)”

(Surah al-Baqarah: 23-24)

Penyakit Islamofobia dalam masyarakat bukan Islam di Barat telah menyebabkan al-Quran dibakar, Nabi Muhammad SAW dicela, masjid dibakar, dan penganut Islam dizalimi.

Mereka bertindak menentang Islam atas nama hak kebebasan liberal dan demokrasi, bukan mengkaji dan membacanya secara berakal dan beradab ilmuwan, tetapi menentangnya secara nafsu tidak berakal.

Adapun kami penganut Islam pula diperintahkan oleh Allah SWT supaya berhikmah (bijaksana), sebagaimana firman-Nya:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥﴾

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pelajaran yang baik, dan berdebat atau berdialog dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapakah yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Nahl: 125)

Malah, penganut Islam juga diperintahkan supaya mencari ilmu dan menerima kebijaksanaan daripada semua pihak yang lain, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Allah menganugerahkan hikmah (kefahaman Kitab Allah dan kebijaksanaan) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang dianugerahi hikmah, maka dia benar-benar telah dianugerahkan kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran.”

(Surah al-Baqarah: 269)

Dan sabda Rasulullah SAW:

‌الْحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Kebijaksanaan itu laksana barang yang tercicir kepunyaan orang yang beriman. Di mana sahaja dijumpainya, dialah yang berhak memilikinya.”

(Riwayat al-Tirmizi, no. 4169 dan Ibn Majah, no. 2687)

Islam menerima segala kebaikan daripada semua pihak dan menolak segala kejahatan, walaupun ia daripada diri penganutnya sendiri.

Islam tidak menolak tamadun lain yang berfaedah dan adil, namun tetap menentang sebarang perkara yang sesat dan zalim.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru