Kehebatan seseorang bukan diukur dengan pujian dari rakan-rakan keliling pinggang.
Tetapi ia diukur dengan keberanian berhujah dengan musuh.
Lelaki jantan tidak akan kenal takut dengan sedikit ugutan ataupun kritikan tetapi boleh berdepan walaupun berseorangan.
Kemenangan bukan dicapai dengan membunuh lawan tetapi sama-sama berhadapan dan bertempur di medan pertempuran.
Apa erti kemenangan jika tidak berani bertempur dengan lawan.
Megah bercakap di hadapan tetapi di belakang kencing bertaburan.
Itu bukan keberanian namanya.
Dulu mereka mengkririk tentang sekatan kebebasan bersuara tapi kini mereka yang menjadi dalang yang seperti dua kali lima sahaja, malah boleh jadi lebih teruk.
Kononnya mereka kata kita perlu berhemah tetapi mereka juga yang ‘membangsatkan’ musuh politik dengan sehina-hinanya dan sekotor-kotornya.
Mungkin memang benar kata orang; bangkai walaupun ditutup dengan kain emas akan tetap mengeluarkan bau yang busuk.
Mereka laungkan kononnya mereka memperjuangkan demokrasi dengan totok tetapi mereka sendiri tidak faham apa itu demokrasi; malah menyalahgunakannya.
Sepertinya baru sahaja semalam mereka melaungkan kebebasan bersuara tetapi hari ini mereka mencampaknya ke laut kerana sudah sedap menikmati tampuk kuasa.
Dahulunya mereka menggelarkan undang-undang sedia ada sebagai ‘undang-undang rimba’ kerana diri sendiri ditangkap dan mengatakan kononnya dizalimi dan tidak diberi keadilan selayaknya.
Tapi kini siasatan belum siap (atau tiba-tiba siap) tetapi terus buat tangkapan pada jam 3 pagi dan terus didakwa di mahkamah dengan begitu sahaja.
Sedangkan ada ‘kawan itu’ bebas menghasut sini sana tanpa ada apa-apa sekatan, malah disucikan pula.
Apakah ini undang-undang bertamadun atau masih rimba, menurut definisi mereka?
Hari-hari berikut akan menentukan sama ada kepimpinan sebegini akan kekal berkuasa atau akan dinyahkan oleh rakyat…
Atau akan termusnah begitu sendiri akibat masing-masing ada kepentingan yang akhirnya memakan diri?
Kita nantikan lebih banyak drama yang bakal berlaku.
Aminuddin Yahaya
