Pada tarikh 19 November 2023, ketika dunia masih bergelut untuk menerima realiti pahit kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Semenjung Gaza, Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei menyeru negara-negara Islam untuk memutuskan hubungan dengan rejim Zionis Israel.
Matlamatnya hubungan itu diputuskan untuk sekurang-kurangnya dalam ‘masa terhad’ bagi membantu menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
Rentetan itu, umat Islam di seluruh dunia dilihat terkesan lantas mengikut nasihat pemimpin tertinggi Iran itu dalam usaha untuk menekan Israel dalam apa cara sekalipun.
Rak-rak kedai di Asia Barat seterusnya mula memperlihatkan pengumpulan produk Israel yang tidak laku dibeli.
Begitu nyata sekali impak orang ramai yang enggan membelanjakan wang mereka untuk bersubahat dalam membiayai pembunuhan beramai-ramai atau genosid penduduk Palestin di Gaza.
Ramai yang bukan sahaja mengelak daripada membeli barangan keluaran Israel tetapi juga memboikot jenama yang dikaitkan dengan rejim terkutuk itu, menyebabkan syarikat gergasi seperti Starbucks dan McDonald’s terutamanya, mengalami kerugian mega berbilion Dolar AS.
Dalam kalangan negara-negara Arab, ada yang berasa bertanggungjawab untuk bertindak menentang serangan Israel lebih daripada yang lain.
Mencekik talian hayat Israel
Tanda solidariti terbesar terhadap rakyat Palestin sudah tentulah utuh tersirna dari negara Yaman.
Gerakan pejuang Islam Ansarullah negara termiskin di rantau Arab itu mula menyasarkan kapal-kapal Israel di kedalaman biru Laut Merah, mencekik talian hayat yang sangat penting kepada Israel – pelabuhan Eliat yang sibuk.
Pendirian berani Yaman menyokong Gaza bagaimanapun, tidak datang pada harga yang murah.
Ini kerana penaung terbesar Israel, Amerika Syarikat dan Britain kemudiannya telah melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Ansarullah di Yaman, atas dakwaan kononnya mereka bertindak demi untuk ‘melindungi’ kepentingan rakyat biasa.
Media Barat pula ‘melompat keluar’ sebagai pakar stenografi, dengan alasan bahawa serangan Ansarullah di Laut Merah akhirnya akan menyebabkan harga barangan melonjak mahal di Barat dan oleh itu perlu segera ditangani.
Tiada apa-apa pun yang dilaporkan tentang fakta bahawa hanya kapal-kapal Israel menjadi sasaran, dan serangan tersebut juga akan berakhir apabila rejim Zionis bersetuju untuk tidak lagi membunuh rakyat Palestin – bukti terserlah betapa hipokritnya media Barat.
Serangan udara gabungan Amerika-UK pada 12 Januari 2024 telah melancarkan gema yang menghantui bertahun-tahun, impak pengeboman yang tidak henti-henti sebelum ini terhadap rakyat Yaman.
Imbasan simfoni ngeri Yaman
Penduduk Yaman diingatkan tentang simfoni yang mengerikan, yang telah menyebabkan sebahagian besar negara itu musnah, dan mencetuskan kebuluran di seluruh negara Arab itu.
Mereka bagaimanapun tidak peduli dengan imbasan ngeri yang mereka peroleh pada malam itu, malah bangkit dengan semangat juang utuh di atas landasan perjuangan suci Islam.
“Sejujurnya, saya malu kerana rakyat Palestin di Gaza dibom ketika saya bermalam di rumah ‘zon’ selamat saya.
“Sekarang saya berasa kurang malu. Saya tidak peduli bahawa kami semua diserang (Amerika-UK).
“Apa yang saya mahukan ialah dapat membantu saudara-saudara Islam kita di Gaza,” kata seorang lelaki Yaman kepada agensi berita negara itu, Saba.
Lelaki itu dilaporkan telah menyertai berjuta-juta penunjuk perasaan di ibu negara Yaman, Sana’a untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi buat rakyat Palestin, sehari selepas serangan Barat itu di bumi Yaman.
Namun,Yaman berterusan dibedil puluhan jet pejuang Amerika dan British atas keengganannya menghentikan operasi ‘serangan ekonomi’ terhadap kapal-kapal Israel di Laut Merah.
Sesungguhnya itulah usaha murni Yaman yang berbunga harapan bahawa dengan menangani ‘serangan ekonomi’ sebegitu ke atas Israel, rejim jahat itu akhirnya menghentikan serangannya ke atas penduduk Gaza sebelum terlambat.
Walau bagaimanapun, di seluruh dunia Islam, seruan Ayatollah Khamenei sebelum ini nampaknya tidak didengari, khususnya di negara-negara Arab yang dikhuatiri ‘dicengkam’ Amerika.
Penunggang agama Islam
Selepas Turkiye meningkatkan penghantarannya ke wilayah yang diduduki, negara-negara Arab tertentu bergegas untuk menyelamatkan Israel, pada dasarnya mensia-siakan segala yang diusahakan Yaman.
Aneh sekali apabila negara-negara Islam itu tergamak membantu ‘negara haram kafir’ yang rakus melakukan genosid terhadap umat Islam di negara Islam, Gaza.
Pendedahan mengejutkan muncul di saluran televisyen, 13 Israel pada awal Februari 2024, mendedahkan rakaman bagaimana Israel memintas sekatan Yaman di Laut Merah dengan bantuan tiga negara Arab – Jordan, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ia melaporkan bahawa ratusan trak barangan dan makanan segar dalam perjalanan dari Arab Saudi dan Jordan dan akhirnya sampai ke pelabuhan Haifa di wilayah yang diduduki melalui Dubai.
Sedangkan yang diancam kebuluran ialah rakyat Palestin di Gaza.
Islam apakah ketiga-tiga negara itu, kalau tidak sebagai ‘penunggang agama’?
Walaupun masih belum menolak atau mengesahkan laporan Israel, penganalisis percaya bahawa penjelasan ketiga-tiga negara Islam di rantau Arab itu tidak akan membawa sebarang perbezaan.
“Kebanyakan negara Arab sebenarnya tidak mengambil sebarang langkah untuk membantu rakyat Palestin.
“Walaupun mereka akhirnya menafikan wujudnya ‘koridor (laluan) pengkhianatan’ itu, umum akan tetap menuduh mereka tidak bertindak kerana mereka benar-benar tidak melakukan apa-apa,” dedah utusan Iran ke Jordan dan Lubnan, Ahmad Dastmalchian kepada agensi berita Iran, Tehran Times.
Aspirasi jahat konspirasi Barat
Mantan diplomat itu percaya bahawa negara-negara Arab tersebut menyimpan aspirasi jahat konspirasi untuk menghidupkan semula cadangan dua negara kafir penyokong utama Israel – Amerika dan United Kingdom bagi mengekalkan atau bahkan meningkatkan hubungan mereka dengan rejim Zionis lahanat itu sebaik perang Hamas-Israel berakhir.
“Jordan mempunyai kekangan dalam menyokong rakyat Palestin kerana kepergantungannya kepada Washington. Namun, Arab Saudi dan UAE jelas melakukan kesilapan strategik di sini,” jelas Dastmalchian.
Tambah beliau, walaupun negara Palestin akhirnya ditubuhkan, penduduknya tidak akan pernah menerima untuk hidup bersama-sama dengan gerombolan manusia yang telah secara kejam, rakus dan tidak berperikemanusiaan merompak tanah dan identiti mereka.
“Selagi Israel kekal di wilayah yang diduduki akan ada penentangan.
Maka, normalisasi dengan rejim Zionis tidak akan menjadi realiti.
“Orang Arab sebaliknya harus menghormati hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan membiarkan mereka memutuskan apa yang mereka mahu lakukan dengan tanah nenek moyang mereka,” tegas Dastmalchian.
Sementara itu, sebilangan tokoh di dunia Arab telah memberi amaran kepada negara-negara Islam tersebut bahawa pasif mereka dalam menghadapi jenayah perang Israel akan membawa akibat yang jauh lebih buruk kepada pemerintahan serantau daripada semata-mata kekecewaan.
Seorang wartawan Mesir terkenal, Abdel Bari Atwan menempelak bahawa ‘koridor pengkhianatan’ itu sebenarnya lebih mirip kepada pakatan sulit Arab dalam merealisasikan pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza, dan akhirnya boleh menyebabkan rakyat Jordan, Arab Saudi, dan UAE berang dengan pengkhianatan pucuk kepimpinan negara masing-masing dalam isu genosid Israel di Gaza.
Dalam artikelnya, Atwan meluahkan: “Kami tidak meminta ketiga-tiga negara Islam itu mengambil sikap berani yang sama seperti Yaman dan berhadapan dengan kapal perang Amerika dan British.
“Namun, kami meminta negara-negara Arab untuk mendengar suara rakyat yang berang kerana pemimpin mereka dayus dan ‘mati pucuk’ dalam kepura-puraan ini.”