Dua individu direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong disyaki dengan niat menghina, pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata individu berkenaan ditahan selepas didapati meletak gambar baginda di atas sebuah kenderaan yang membawa sepanduk dan di belakangnya tertera bendera Pakatan Harapan (PH).
“Kenderaan itu diletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan gambar Perdana Menteri serta di belakangnya terdapat bendera PH.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1 948,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini Ketua Sayap Bersekutu BERSATU membuat laporan polis semalam selepas tular sebuah kenderaan menggunakan foto Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi tujuan berkempen.
Dr Chong Fat Hull berkata tindakan meletakkan gambar Agong pada kenderaan Pakatan Harapan (PH) memberi gambaran ketua negara itu terlibat dalam kempen politik.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan merupakan satu kegiatan yang menyangkal peraturan pilihan raya.
“Ini akan memberi gambaran seakan Agong menyokong calon PH. Ini merupakan satu kesalahan yang amat besar di bawah peraturan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata pihak polis sudah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kejadian itu.
PAS melahirkan kekesalan selepas jentera kempen Pakatan Harapan (PH) mengheret nama dan foto Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata PH tidak sewajarnya mengheret Agong ke medan politik bagi meraih undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).
“Adalah tidak sepatutnya mengheret institusi diraja ke medan kempen pilihan raya seperti yang berlaku di KKB ini.
“Saya yakin pihak Istana Negara dan pejabat Perdana Menteri pun tidak tahu-menahu tentang aktiviti ini.
“Janganlah terdesak sangat hendak berkempen sehingga mengheret nama Agong seperti ini,” katanya.
