‘The Greater Kedah’, Tak Nampak Apa Benda Pun Lagi?

‘The Greater Kedah’, Tak Nampak Apa Benda Pun Lagi?

Ramai orang menyangka, apabila slogan ‘The Greater Kedah’ dilaungkan, bermakna negeri Kedah sekarang ini mestilah lebih maju daripada Selangor dan Pulau Pinang, pelaburan mesti tip top, KDNK mesti paling power, Kedah menjadi negeri paling kaya, rakyat Kedah hebat dan mendonia.

Ini adalah reverse-propaganda yang cuba memperlekeh idea ‘The Greater Kedah’ yang cuba dilaksanakan oleh MB Sanusi.

Sebenarnya, ‘The Greater Kedah’ bukan hasilnya boleh dilihat hari ini.

Ia mungkin mengambil masa paling cepat pun 20 tahun atau 30 tahun ke atas. Langkah pertamanya adalah hari ini.

Sanusi mendatangkan satu idea dan visi yang besar kepada Kedah dan rakyatnya, serta Malaysia umumnya.

Jika Malaysia diluar bidang kuasanya untuk diubah, maka beliau memulakannya di Kedah.

Apa benda ‘The Greater Kedah’?

Secara amnya, ‘The Greater Kedah’ adalah projek ultra-mega untuk membangunkan semula kegemilangan Kedah, mengulangi kegemilangan empayar Kedah Tua yang cemerlang suatu ketika dahulu.

Sejarah kegemilangan Kedah Tua pula seakan terpadam daripada naratif arus perdana, menyebabkan rakyat Kedah sendiri tidak pernah tahu bahawa nenek moyang mereka pernah mendirikan empayar yang besar.

Adat kitaran hidup di dunia bagaikan roda, Empayar Kedah Tua sama seperti empayar-empayar yang gah di dunia, tetap runtuh juga apabila tiba masanya.

Namun kehebatan orang Kedah mempertahankan kesultanannya sehingga hari ini melalui satu susur galur keturunan raja yang sama, menjadikan Kedah sebagai satu-satunya negeri dan negara di dunia yang masih meneruskan kesinambungan pemerintahan empayar sebelum Masehi-nya.

Disebabkan Kedah diserang, dijarah, dikhianati, dijajah – Kedah tetap meneruskan pemerintahannya sehingga ke zaman moden.

Kebaikan-kebaikan Kedah dibalas dengan serangan dan pengkhianatan.

Kedah bangkit semula membalas serangan demi serangan sehingga terpaksa mendepani gabungan dua kuasa besar dunia serentak dalam Perang Musuh Bisik.

Walaupun kalah akhirnya dalam perang tersebut, Kedah tidak putus asa berusaha mengembalikan kedaulatan Kedah dengan cara diplomasi dan kelicikan berpolitik.

Akhirnya Kedah akur untuk memperuntukkan sebahagian kuasanya kepada Persekutuan Malaysia sebagaimana negeri-negeri lain atas dasar bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Persekutuan Malaysia menggabungkan kekuatan semua negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk ditadbir secara satu pusat pemerintahan.

Pemisahan kuasa persekutuan dan kuasa negeri perlu diakui dan perjanjian give and take antara pusat dan negeri mesti dipatuhi.

Namun Persekutuan Malaysia tidaklah memberi keuntungan yang besar kepada Kedah apabila terpaksa dibiarkan menjadi negeri jelapang padi yang majoriti tanah-tanahnya hanya boleh digunakan untuk tanam padi.

Sebahagian besar lagi tanahnya pula mesti disimpan sebagai hutan simpan, tidak boleh diteroka sebagai menjaga kawasan tadahan sumber air untuk Kedah, Perlis, Pulau Piang dan utara Perak.

Pada masa yang sama, negeri jirannya Pulau Pinang atau dikenali juga sebagai negeri pajakan – mampu menjadi sangat maju kerana menjadi anak emas kerajaan Pusat.

Minta kilang dapat, minta jambatan dapat, minta kilang dapat, minta pulau buatan dapat, minta terowong – lipat.

Kemajuan Pulau Pinang sangat gemilang semasa pemerintahan BN berpuluh tahun.

Kemudian disambung oleh DAP beberapa tahun, tetapi berlagak seolah-olah DAP yang memajukan Pulau Pinang.

Dek kerana limpahan industri berlaku di Pulau Piang, akhirnya ketika pemerintahan BN di Kedah terdahulu, Kulim-Hi-tech dibina untuk menampung dan menyokong kerancakan industri di Pulau Pinang.

Bahkan hasil produk industri Kedah dan Kulim Hi-Tech dihantar ke pelabuhan-pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Johor – yang sangat memberi keuntungan cukai eksport kepada negeri-negeri tersebut.

Kedah tak dapat apa sangat hasil daripada industri di Kulim Hi-tech melainkan hasil cukai tanah dan perniagaan hiliran yang wujud disekitarnya.

Dari sudut infra struktur, rakyat Kedah terpaksa bersabar menggunakan infrastruktur pasca zaman merdeka selama berpuluh tahun.

Sistem paip air Kedah dan loji-loji air Kedah sudah uzur dan tidak mampu menampung pertambahan penduduk dan taman perumahan. ia perlu dibina LRA baharu dan sistem paip seluruh negeri perlu diganti.

Cadangan pembinaan LRA baharu dan penggantian jaringan paip negeri Kedah hanya wujud pada era pemerintahan MB Ustaz Azizan 2008-2010, yang mengkorporatkan Jabatan Bekalan Air Negeri Kedah kepada SADA.

Usaha SADA tergendala dek permainan politik di Kedah apabila PH 22 bulan mentadbir Kedah dengan membuat rundingan semula tender-tender yang telah diluluskan oleh kerajaan BN MB Ahmad Bashah.

MB Sanusi mengambil alih Kedah secara durian runtuh pada peringkat awalnya.

Beliau terus mengenalpasti semua masalah yang dialami oleh Kedah dari pelbagai sudut.

Akhirnya beliau membuat kesimpulan, Kedah sukar untuk bangkit jika hanya fokus pemulihan dan pembaikan hanya pada simptom-simptom sahaja.

Kedah mesti direform daripada akar umbi kepada segala masalah, iaitu masalah jatidiri rakyat Kedah, mentaliti rakyat Kedah, pemikiran rakyat Kedah, infrastruktur negeri Kedah dan cita-cita rakyat Kedah.

Jatidiri rakyat Kedah mahu dipasak oleh MB Sanusi dengan memperkenalkan semula sejarah kehebatan Kedah, sultan dan rakyatnya, para panglima dan pahlawannya, para alim ulamaknya – dalam bangun membina dan mempertahankan negeri.

Jatidiri yang kuat akan menjadi tapak yang kuat untuk rakyat Kedah membuat lonjakan dalam sektor-sektor lain.

Mentaliti rakyat Kedah perlu diubah daripada mentaliti inferior, kepada mentaliti superior.

Rakyat Kedah tidak harus berasa lemah dan lekeh melihat kejayaan orang lain, tetapi bersemangat untuk memperbaiki diri dan berusaha henyak sampai lumat, buat sampai jadi dalam setiap pekerjaan dan perlaksanaan.

Pemikiran Rakyat Kedah mesti di-upgrade melalui sistem pendidikan yang komprehensif.

Justeru, Mb Sanusi mengumpulkan cerdik pandai, pakar-pakar dan pusat-pusat pengajian tinggi di Kedah untuk memikirkan langkah seterusnya bidang pendidikan untuk anak Kedah, justeru ‘Cordoba of Kedah’ dilancarkan dengan UniSHAMS, UUM dan UiTAM di Kedah menjadi segitiga ilmu, disamping sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pondok-pondok serta alim ulamak.

Infrastruktur negeri Kedah perlu dinaiktaraf seberapa segera.

Hak-hak rakyat Kedah terhadap keperluan infrastruktur diperjuang secara terus oleh MB Sanusi dengan usaha merancang pembinaan pelabuhan-pelabuhan darat dan laut di Kedah, pembinaan KX dan Kedah Aerotropolis, menyiapkan Kedah Rubber City, menaiktaraf sektor-sektor pelancongan dan pertanian, meluluskan pembesaran taman insudtri Kulim Hi-Tech, cadangan membina lebuhraya-lebuhraya baharu di kawasan tengah Kedah, berusaha menyiapkan LRA dan sistem paip seluruh negeri dan banyak lagi.

Namun usaha ini sedikti tergendala apabila Kedah dan dunai dilanda pandemik Covid19 yang menyebabkan perancangan terhenti, serta sumber negara difokuskan kepada menyelamatkan rakyat yang tersepit dikala PKP.

Kemudian sebahagian usaha ini tersekat sekali lagi apabila kerajaan Pusat bertukar kepada Kerajaan Madani.

Moga suatu hari nanti Madani akan faham dan menjadi supporter kuat ‘The Greater Kedah’.

Semua perancangan ini dikumpulkan menjadi satu tema besar, iaitu ‘The Greater Kedah’.

‘The Greater Kedah’ meletakkan cita-cita rakyat Kedah untuk melihat Kedah yang lebih baik pada masa hadapan, dengan satu cita-cita yang Objektif dan boleh dicapai.

Namun cita-cita ini bukanlah bagaikan “Hari ini kita menaaang, esok The Greater Kedah siap”.

Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan oleh pemimpin dan rakyat Kedah.

Cita-cita besar ini pasti akan gendala jika suatu hari nanti ada tikus-tikus bodoh yang cuba merobek dan menggagalkan usaha ini.

Tikus-tikus itu tiada jatidiri sebagai orang Kedah, mereka telah ditelan oleh superioriti orang lain akibat kehilangan jatidiri sendiri.

Akhir sekali, ‘The Greater Kedah’ adalah satu-cita-cita yang besar untuk direalisasikan oleh semua rakyat Kedah, terutama para pemimpin politiknya tak kira daripada parti mana sekali pun.

Baca dan fahami dahulu, kemudian berilah sumbangan tenaga dan idea untuk mencapainya.

Bab nak ubah nama kepada projek lain tu, ikut sukalah asalkan jangan amalkan budaya scrape-off.

Kita bukan nak tindas negeri lain, kita cuma tuntut hak kita dan cuba berjaya dengan cara kita.

Kenapa orang lain perlu sakit hati?

‘The Greater Kedah’ adalah cita-cita kami.

Apabila namanya cita-cita, maka memanglah tak nampak apa pun lagi.

Jika seorang pelajar bercita-cita untuk menjadi seorang engineer, adalah sangat bodoh untuk orang berkata “mana engineer nya? SPM pun tak ambik lagi… engineer konon…”.

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

Kolumnis