Lapan Penggal BN Di Nenggiri, Kenapa Tak Buat?

Lapan Penggal BN Di Nenggiri, Kenapa Tak Buat?

Agak pelik apabila pemimpin Barisan Nasional (BN) menawarkan pembangunan kepada DUN Nenggiri sekiranya calon BN menang pada PRK kali ini sedangkan DUN itu dimenangi mereka sejak Malaysia merdeka lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PAS tidak pernah menang di DUN berkenaan, hinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Nenggiri dimenangi Perikatan Nasional (PN) melalui calon BERSATU.

“Masa mereka (BN) kuasai DUN Nenggeri selama lapan penggal, kenapa tak buat pembangunan? BN baru kalah PRU lepas saja. Saya pun pening dengan dia ni (Zahid),” kata beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.

Sementara berkenaan calon PN yang didakwa kononnya mengelirukan pengundi, kata Sanusi, perkara itu tidak timbul.

“Calon PN dari BERSATU, tapi bertanding menggunakan logo PAS. Rizwadi Ismail ni dulu ahli PAS, sekarang dia sertai BERSATU. Jadi tak timbul apa-apa masalah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau tidak pasti sama ada GERAKAN akan terlibat pada PRK N 43 DUN Nenggiri, kali ini.

PRK N.43 DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos depan dijangka menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PN, Rizwadi Ismail dan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

DUN Nenggiri dimenangi calon PN, Mohd Azizi Abu Naim pada PRN15 lalu, namun kerusi tersebut diumumkan kosong bermula 19 Jun lalu oleh Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN BERSATU.

Ianya mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang kelayakan keahlian daripada parti itu apabila mengubah sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pilihanraya