Konsep Islam Nusantara yang ditimbulkan oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu untuk memperkatakan konsep Rahmatan Lil Alamin mereka nampaknya akan menghempap kepala pemimpin PAN itu sendiri.
Dia mengulas sesuatu yang bertentangan dengan fahaman, kepercayaan dan amalannya sendiri.
Perutusan Hari Malaysia kali ini benar-benar mahu mengabui mata rakyat melalui perselindungan di sebalik istilah rahmat untuk sekalian alam.
Mohamad Sabu berkata, “Kita tidak boleh mengimport model luar khususnya yang dibawa oleh gerakan-gerakan Islam atau parti politik luar yang boleh jadi tidak sesuai di rantau ini.”
Memang enak didengar dan seolah-olah Mohamad Sabu sangat memahami realiti politik Nusantara.
Boleh jadi dia baru belajar fiqh politik setempat.
Ironinya, ketika di dalam PAS sebelum 2015, siapakah yang menjadi pentaksub Erdogan, pemimpin AK Party, setelah serpihan Parti Refah itu berhasil membentuk kerajaan.
Yang mendesak PAS supaya lebih terbuka, meninggalkan asolah perjuangan, supaya tidak mencontohi sikap tegas Prof Erbakan.
Saat berlakunya Arab Spring, siapa pula yang menjadi juara demokrasi Islam model Tunisia sehingga mengisytiharkan diri sebagai ‘Islamis demokrat.’
Bahkan, watak Hidayah Nur Wahid juga segera cuba diterapkan di dalam PAS ketika PKS berhasil mendapat sedikit ruang kekuasaan di Indonesia.
Di dalam parti mana para penganut Islam aliran lembut ini bersarang sekarang?
Ini adalah contoh-contoh pengaruh asing dari aliran lembut (baca moderat) di dalam gerakan Islam.
Bagaimana pula dengan aliran keras (baca ekstrem).
Adakah Mohamad Sabu sudah lupa bahawa ada kumpulan yang menubuhkan Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) pada 1982.
Moto mereka sangat revolusioner.
‘Revolusi Untuk Negara Islam!’
Dari mana asalnya pengaruh dan pembawakan mereka?
Nusantarakah?
Di mana berkubu kelompok keras dan kasar ini sekarang?
Bahkan, yang paling keras di antara aliran ini ialah kelompok yang menempikkan perkataan ‘Marakbar (ejaan betulnya ‘mar barg’) Asri (ertinya Mampus Asri)!’ dalam tahun 1982.
Hampir seluruh kajian para sarjana menyentuh kebangkitan pengaruh Syiah di dalam gerakan Islam di Malaysia.
Siapa ketua gerakan politik Syiah di Malaysia?
Kenapa Menteri Dalam Negeri dan Mursyidul Am PAS sendiri bersuara tentang hal ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz setelah matinya, didakwa sebagai idola PAN.
Adakah tuan guru itu bersetuju dengan Syiah.
Berjiwa Nusantarakah Syiah itu?
Mungkin ramai yang cuba menafikan, bahawa tiada Syiah yang berwarna Oren sekarang.
Tapi cubalah Mahfuz Omar atau Salahuddin Ayub menafikannya.
Saya boleh menyebut seorang-seorang siapakah yang bersolat berlapik batu dan kertas putih di kalangan mereka.
Saya tahu siapa yang saban hari menjamakkan solatnya.
Saya juga tahu siapa yang mempunyai isteri-isteri mut’ah di kalangan mereka.
Saya bukan mahu mengungkit hal ke-Syiahan mereka, kerana tidak kurang juga yang mengaku di hadapan saya hakikat agama baru mereka itu.
Tetapi apa yang saya ungkitkan ini ialah percanggahan tentang konsep Nusantara yang disebut Mohamad Sabu, yang kononnya menjadi agenda PAN dengan amalan-amalan mereka sendiri.
Saya tidak pasti kenapa tiba-tiba Dr Mohd Kamil Abdul Majid menyebut soal pesanan Tok Guru Nik Aziz supaya Nusantara biarlah kekal dengan Ahli Sunnah sahaja.
Syiah dan Wahabi usah dibawa ke Malaysia.
Adakah Dr Kamil bermaksud menyindir Mohamad Sabu atau pada hari ini ‘dakwahnya’ terhadap PAN telah berhasil, lalu Mohamad Sabu tiba-tiba berjaya di-Nusantarakan.
Yang paling mengejutkan, bila tiba-tiba isu pemimpin tertinggi PAN yang menjadi alat DAP ditimbulkan, saat seorang Naib Presidennya meletakkan jawatan.
Semua rakyat Malaysia bertanya, dari mana datangnya ideologi DAP yang sangat dipertahankan oleh khadamnya.
Adakah DAP berjiwa Nusantara lalu Jalur Gemilang diterbalikkan?
Adakah DAP mendukung semangat Nusantara sehingga tulisan Jawi ditentang?
Adakah DAP menghormati nilai Nusantara sehingga ketuanan bangsa Melayu cuba dinafikan?
Mohamad Sabu yang begitu kuat ‘ke-DAP-an’nya itu, berjiwa Nusantarakah?
Saya tidak tahu siapa memukul siapa.
Yang saya pasti, gagasan ke-Nusantaraan itu sangat bercanggah dengan amalan dan kepercayaan pendukung-pendukung PAN.
Telah lama mereka terjebak dengan budaya politik dan pemikiran dari luar Nusantara, sehingga sebahagiannya membawa aliran ekstrem dalam gerakan Islam, dan sebahagian yang lain mendukung aliran liberal dalam gerakan Islam.
PAS, alhamdulillah masih mengambil jalan wasatiyah, berpegang sepenuhnya dengan al-Quran dan Sunnah.
Apa pun, harus hati-hati kerana jangan ke-Nusantaraan itu mengalahkan ke-Islaman.
Islam dimengalahkan kerana Rahmatan Lil Alamin.
Di Indonesia, liberalisasi agama telah membuatkan Nusantara membenamkan syariat Islam.
Jangan di Malaysia juga, di atas nama Nusantara, Islam memencil ke sudut ibadat sahaja, sedang agama lain disamaratakan.
Saya bersetuju kalau para ulamak bergerak dalam kefahaman waqi’ tentang realiti Nusantara, tetapi kalau mahu menjadikan Islam yang ‘di-Nusantarakan,’ itu tidak wajar.
Mohd Fadli Ghani