Politikus, apabila ada masalah ataupun isu yang menggemparkan, pada ghalibnya akan berkelahi. Saling kutuk mengutuk.
Bukan setakat mereka malah seluruh ahli mereka untuk turut serta dalam perbalahan itu.
Dan apabila masuk sahaja ahli bawahan, kebiasaannya akan menjadi lebih kecoh kalaupun tidak lebih melampau.
Sangat biasa pertembungan parti politik ini boleh menjadi isu yang melarat hatta kepada akidah .
Semua mata memandang perkelahian politik ini dengan penuh tajam.
Katanya, inilah politik, kotor, sesama agama, bangsa, malah dihina dikeji, dimaki sesuka hati.
Politik, lalu tidak pernah dipandang indah dan baik, tiada budi, tiada nilai.
Akan ada dalam setiap ‘WhatsApp Group’ tukang bagi amaran. ‘Group’ ini bukan ‘group’ politik.
Sesiapa yang berkongsi pesanan politik, akan dikeluarkan.
Begitu tidak suka dan berkenannya mereka dengan tajuk politik, walaupun ‘admin’ yang tidak faham politik Islam.
Ulamak-ulamak bukan politik akan memberikan contoh keributan dan serang menyerang golongan politik ini sambil memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai sandaran sahih betapa tidak betulnya pemikiran politkus ini.
Jika ada politikus mahu melaksanakan hudud, itu adalah umpan PRU, jika ada yang mahu menempelkan aktiviti dengan Islam, itulah penunggang agama.
Jika ada dibaca ayat-ayat al-Quran maka dikatakan sebagai menafsirkan ayat untuk kepentingan peribadi. Serba tidak betul.
Bila terkena kepada dia
Namun, ada dari kalangan agamawan yang sama, apabila fikrah mereka dipertikai, dipersoal, dibidaahkan oleh agamawan yang lain, kelaku mereka adakalanya lebih teruk daripada perangai politikus yang mereka marahkan itu.
Laungan ‘wasabi’,’asam jawa’, jemaah terbelit, akan berkumandang.
Mereka tanpa segan silu, boleh mengkafirkan lawan mereka.
Mereka pada bila-bila masa akan segera mencerca walaupun ada dalil lain yang mereka tidak gunakan, diguna oleh pihak lawan. Mereka mahu dalil mereka sahaja terpakai jika berdebat.
Paling lucu ialah apabila debat berakhir, maka keluarlah penyokong-penyokong mereka atau juhalak membuat ulasan itu dan ini berkenaan kehebatan guru mereka dan kelemahan lawan mereka walaupun boleh dilihat guru mereka yang ada ketikanya terkulat-kulat seperti cicak tertelan kapur ataupun memberi jawapan merapu kerana tidak berguru.
Banyak keadaan, apabila agamawan yang mengaku benci kepada politik, sebenarnya politik mereka lebih hodoh dan kotor lagi daripada politikus yang mereka hina itu.
Tetapi mereka tidak mempunyai parti, nampaklah seperti tidak berpolitik, apalagi mereka memakai jubah agama.
Apabila diseru untuk bersatu, mereka menolak mentah-mentah jika berbeza sedikit.
Bagaikan jemaah merekalah yang paling benar, disahkan oleh Allah dan Rasul, tiada jemaah lain.
Hukum Allah dilaksana dengan kuasa
Dalam keghairahan agamawan dari jemaah lain berkelahi, PAS tenang mengorak langkah tidak peduli dan mahu berbaik dengan semua, melakukan sedikit demi sedikit perubahan mengikut keupayaan untuk memberikan hak yang sewajarnya kepada undang-undang ciptaan Allah.
Presiden PAS berpesan supaya menjauhi perbalahan perkara cabang dan menumpukan kepada penyatuan umat yang lebih penting.
Para ulamak boleh duduk semeja di dalam jemaah PAS walau berlainan mazhab.
Namun dalam jemaah lain hal sebegini, tidak akan berlaku.
Dalam perlembagaan kita, sekuat manapun cadangan dari agamawan itu, mereka masih memerlukan politikus untuk meluluskan cadangan mereka.
Dan sehebat manapun ulamak itu mengamuk melawan dan menentang undang-undang salah kehendak politikus, tetaplah ia berjalan juga jika dipersetujui majoriti politikus.
Inilah yang dinamakan kuasa. Dan kuasa itu ada dalam politik.
Manakala PAS sebagai sekumpulan agamawan yang berpolitik secara Islam sekarang sudah berjaya menghapuskan judi di empat buah negeri.
Menyelamatkan kakitangan kerajaan daripada terlibat dengan riba samada dengan meletakkan gaji dalam akaun Islam ataupun memberi pinjaman tanpa faedah.
Berjaya mengangkat di dua buah negeri Enakmen Kanun Jenayah Syariah sebagai tonggak undang-undang tubuh negeri.
Serta banyak lagi jasa dan bakti yang dibuat mengikut Islam.
Larang berpolitik dalam masjid, ajaran sesat
Dan kini mahu melaksanakan kembali hukuman sebat yang pernah diadakan suatu masa dahulu di bawah kekuasaan kesultanan Terengganu.
Seorang duda yang telah beberapa kali didapati bersalah kerana berkhalwat, akan menjadi individu pertama yang dikenakan hukuman di hadapan orang ramai.
Sebelum ini ada satu kes lesbian telah djatuhkan hukuman sebat, tetapi secara tertutup di mahkamah.
Setakat ini, tiada satupun agamawan luar PAS yang sibuk berbalah perkara cabang berjaya melakukan peraturan ini, kerana mereka tiada kuasa.
Yang histeria marahkan hukuman ini ialah liberal, kafir dan munafik di luar Terengganu.
Tetapi tiada kedengaran langsung suara mereka bila agamawan bergaduh. Mereka lihat keuntungan bagi mereka.
Bagi PAS inilah yang perlu diterangkan di mana-mana sahaja berkenaan peri pentingnya kuasa kepada Islam.
Dan melarang berpolitik dalam masjid adalah ajaran sesat kata Presiden PAS.
Paling istimewa ialah apabila Presiden PAS mengulas isu agama semasa, majoriti agamawan luar PAS diam kerana jalan tengah yang beliau pilih diatas ilmu beliau, berdalil, berasas, menyenangkan para agamawan.
Ada yang berebut menyiarkan petikan ucapan beliau.
Hal sebegini tidak akan diterima semudahnya oleh lawan masing-masing jika ketua agamawan kumpulan musuh mereka berfatwa, walaupun ia baik. Betulkan?
Mohd Nasir Abdullah