AS vs. Ansarallah: Adakah Trump Akan Melancarkan Perang Darat di Yaman Demi Israel? (Bahagian 2)

AS vs. Ansarallah: Adakah Trump Akan Melancarkan Perang Darat di Yaman Demi Israel? (Bahagian 2)

Perang Demi Israel

Pada 19 Oktober 2023, selepas Israel telah membunuh lebih daripada 4,137 rakyat Palestin dalam perang mereka ke atas Gaza, Angkatan Tentera Yaman mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan serangan peluru berpandu pertama ke arah Pelabuhan Eilat yang dimiliki oleh Israel.

Serangan ini tidak menyebabkan sebarang kerosakan terhadap infrastruktur Israel, dan ia dilakukan secara jelas sebagai sokongan terhadap Gaza.

Kemudian, pada 19 November 2023, ketika jumlah kematian di Gaza meningkat kepada 13,000 orang, Brigedier Jeneral Yahya Saree, jurucakap Angkatan Tentera Yaman, mengumumkan bahawa kerajaan Sana’a telah membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan sepenuhnya ke atas semua kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel yang melalui Laut Merah.

Parti pemerintah Yaman, Ansarallah, kemudiannya mengumumkan bahawa mereka mengambil langkah drastik ini semata-mata terhadap kapal-kapal Israel atau yang mempunyai kaitan dengan Israel, sebagai tindakan campur tangan kemanusiaan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Sejak hari pertama sekatan Laut Merah yang berjaya dilaksanakan oleh Yaman, syaratnya amat jelas: jika Israel bersetuju untuk gencatan senjata, sekatan itu akan dihentikan.

Pada waktu ini, ketika genosid di Gaza sedang berlaku, pentadbiran Presiden Joe Biden di Amerika Syarikat langsung tidak berani menyebut perkataan “gencatan senjata”, dan mengambil masa yang lama sebelum sekurang-kurangnya mencadangkan satu gencatan senjata sementara, walaupun majoriti penyokong Parti Demokrat sendiri menuntut agar pentadbiran tersebut bertindak.

Akibat daripada sekatan Yaman, aktiviti di Pelabuhan Eilat merosot sebanyak 85% dalam tempoh sebulan sahaja.

Washington akhirnya memutuskan untuk bertindak, namun bukan melalui diplomasi, sebaliknya dengan tindakan ketenteraan yang mahal.

Pada bulan Disember, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, mengumumkan pelancaran “Operation Prosperity Guardian”, iaitu satu usaha ketenteraan pelbagai negara yang bertujuan untuk mengalahkan Ansarallah dan menamatkan sekatan tersebut.

Sejurus selepas operasi ketenteraan yang diketuai oleh AS ini bermula, satu kempen media turut dijalankan untuk menggambarkan bahawa pentadbiran Biden bertindak demi melindungi “perkapalan antarabangsa”, khususnya ke Eropah.

Namun, sehingga ke saat serangan udara oleh British dan Amerika Syarikat mula dilancarkan secara kerap terhadap Yaman, Angkatan Tentera Yaman hanya menyasarkan kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel sahaja.

Larangan terhadap kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan UK hanya bermula apabila kedua-dua negara ini sendiri melancarkan serangan langsung ke atas wilayah Yaman.

Secara keseluruhannya, Operasi “Prosperity Guardian” yang diketuai oleh AS menelan kos sekitar 600 juta dolar sebulan, tetapi gagal mencapai matlamatnya.

Tambahan pula, konflik ini telah menyebabkan kerugian kepada sektor perkapalan global sebanyak 200 bilion dolar pada tahun 2024.

Selain itu, usaha ketenteraan yang diketuai oleh AS, ditambah pula dengan serangan udara Israel ke atas infrastruktur awam Yaman, telah menyumbang kepada penghijrahan dalaman kira-kira 500,000 orang serta menyebabkan 1.3 juta orang lagi jatuh ke dalam kemiskinan dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

Kini, dengan serangan baharu oleh pentadbiran Donald Trump ke atas Yaman, angka korban awam meningkat secara mendadak, dan krisis kemanusiaan yang sedia parah di negara itu menjadi semakin buruk.

Tindakan pentadbiran Trump yang menyenaraikan Ansarallah sebagai “Organisasi Pengganas Asing (FTO)” turut memberi kesan besar kepada usaha bantuan kemanusiaan antarabangsa yang pada ketika itu sedang berusaha membantu sekitar 19.5 juta orang yang sangat memerlukan.

Apabila gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada 19 Januari, Yaman menamatkan sekatannya dan berhenti melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel.

Namun, sekatan itu diperbaharui semula — tetapi hanya terhadap kapal yang berkaitan dengan Israel — apabila Perdana Menteri Israel mengumumkan bahawa mereka akan membatalkan gencatan senjata.

Dan seperti yang telah dijangka, pentadbiran Donald Trump sekali lagi melancarkan kempen ketenteraan, sepertimana yang dilakukan oleh Biden sebelum ini, dengan alasan kononnya mempertahankan “perkapalan antarabangsa” dan Eropah.

Serangan-serangan mahal yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat ini gagal mencapai objektif sebenar mereka, tetapi dilakukan semata-mata untuk menghukum Yaman kerana berani mencabar Israel dan meletakkan tekanan ke atas rejim Zionis agar bersetuju dengan gencatan senjata.

Kedua-dua Presiden Trump dan Biden tidak memiliki mandat rakyat mahupun kelulusan Kongres untuk melancarkan perang ini, namun mereka tetap menghabiskan aset ketenteraan dan peluru berpandu yang sepatutnya disimpan untuk ancaman besar seperti China atau Iran.

Menyedari bahawa ia akan memberi persepsi buruk kepada pelobi pro-Israel kerana telah jelas mempengaruhi dua operasi ketenteraan besar ini, dan mengetahui bahawa serangan ke atas Yaman ini semata-mata untuk kepentingan Israel, yang turut menjejaskan perdagangan antarabangsa serta membebankan perbelanjaan ketenteraan AS, maka satu kempen maklumat palsu (disinformation) dilancarkan untuk menutup kebenaran daripada pengetahuan umum.

AS vs. Ansarallah: Adakah Trump Akan Melancarkan Perang Darat di Yaman Demi Israel? (Bahagian 1)

AS vs. Ansarallah: Adakah Trump Akan Melancarkan Perang Darat di Yaman Demi Israel? (Bahagian 2)

AS vs. Ansarallah: Adakah Trump Akan Melancarkan Perang Darat di Yaman Demi Israel? (Bahagian 3)

AS vs. Ansarallah: Adakah Trump Akan Melancarkan Perang Darat di Yaman Demi Israel? (Bahagian 4)

Yaman