Ulama Yaman Seru Kesatuan Umat Islam Untuk Menyokong Gaza Dan Iran

Ulama Yaman Seru Kesatuan Umat Islam Untuk Menyokong Gaza Dan Iran

Para ulama Yaman telah mengeluarkan seruan tegas agar umat Islam bersatu dalam menyokong Gaza, Palestin dan Masjid al-Aqsa, serta berdiri teguh bersama Republik Islam Iran dalam menghadapi pencerobohan Amerika-Zionis.

Ulama Yaman memuji operasi Iran “Janji Benar 3” (True Promise 3) yang berjaya menembusi jauh ke dalam wilayah entiti Zionis.

Dalam kenyataan rasmi selepas satu mesyuarat besar-besaran, para ulama menegaskan bahawa kesatuan umat Islam adalah suatu kewajipan, terutama dalam saat genting dan bersejarah yang sedang dihadapi dunia Islam kini.

Mereka mengecam pembunuhan beramai-ramai, jenayah genosid dan pengepungan kebuluran yang berterusan terhadap penduduk Gaza, serta menyatakan bahawa negara-negara Arab dan umatnya memikul tanggungjawab utama terhadap pengepungan maut tersebut.

Mereka menyeru supaya bantuan segera disalurkan kepada Gaza.

Para ulama juga mengecam pencerobohan berulang terhadap Masjid al-Aqsa dan jenayah Zionis di seluruh Palestin, Lubnan dan Syria.

Mereka menyalahkan kegagalan negara-negara Arab dan Islam yang memberi laluan kepada keangkuhan musuh Zionis, dan menyebut bahawa dana negara-negara Arab digunakan untuk membiayai pencerobohan Amerika dan Israel.

Dalam kenyataan tersebut, para ulama mengutuk keras pencerobohan khianat oleh Zionis serta serangan langsung Amerika terhadap Iran.

Mereka menegaskan bahawa menyokong Iran adalah suatu tanggungjawab yang suci dan tidak boleh dikompromi, sambil memberi amaran kepada sesiapa yang memperkecilkan serangan balas Iran atau mempertikaikan sokongannya kepada perjuangan Palestin.

Mereka menegaskan:

“Sesiapa yang menganggap Iran sebagai musuh, secara tidak langsung menjadikan Israel dan Amerika sebagai teman. Ini adalah sesuatu yang diharamkan dalam Islam.”

Kenyataan itu juga menyebut bahawa normalisasi hubungan dengan entiti Zionis adalah haram, dan kehadiran pangkalan tentera Amerika dan kuasa asing di negara-negara Arab dan Islam adalah tidak dibenarkan, serta menyeru agar semua pangkalan ini ditutup dan dihapuskan.

Para ulama turut mengecam ancaman terang-terangan Amerika terhadap Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan pemimpin-pemimpin tentera Iran yang lain, dan menegaskan bahawa tindakan seperti itu hanya akan memperkukuh tekad dan kesatuan rakyat Iran.

Mereka menyeru seluruh ulama Islam sedunia agar menjelaskan pendirian syar’ie terhadap pencerobohan Zionis dan Amerika di semua medan, serta menyatakan sokongan terbuka kepada “paksi jihad, al-Quds (Baitul Maqdis), dan perjuangan muqawamah.”

Para ulama juga menggesa agar dihentikan segala bentuk perbalahan mazhab, sambil menegaskan bahawa pertempuran yang sedang berlaku di Gaza, Iran, Lubnan dan Yaman merupakan satu pertempuran yang sama — iaitu pertempuran antara kebenaran dan kebatilan, antara Islam dan kekufuran — dan tiada ruang untuk bersikap berkecuali.

Mereka menekankan bahawa:

“Keselamatan dan maruah umat ini hanya dapat dicapai melalui jihad melawan musuh — Amerika dan Israel.”

Akhirnya, para ulama memuji keteguhan rakyat Yaman dan pendirian kepimpinan mereka yang konsisten dalam menyokong Gaza, Lubnan dan Iran.

Mereka menyatakan keyakinan terhadap janji kemenangan daripada Allah untuk orang-orang yang beriman, dan melihat tindak balas Iran sebagai peluang bersejarah untuk membebaskan wilayah umat Islam serta menyingkirkan ‘kelenjar barah Zionis’ dari tubuh umat.

Yaman