Antara inti pati dalam ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS Pusat ke-71 yang diberi tajuk Kembali Kepada Penyelesaian Islam ialah Memimpin Kembali Kepada Islam. Ia adalah hasrat dan cita-cita PAS semenjak dahulu lagi.
Azam untuk mengembalikan segala menyelesaikan masalah umat ini menurut Islam, bukan hal yang baharu atau kerana untuk mencari nama, ia adalah asas perjuangan jemaah Islam di seluruh dunia, dari dahulu hingga sekarang dan akan datang.
Tegasnya Islam adalah penyelesai kepada segala masalah kehidupan.
Apabila PAS ditubuhkan pada tahun 1951, ia adalah kerana ulamak yang berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu, telahpun berusaha sedaya upaya sebelum itu bagi menegakkan Islam di tanah leluhur ini.
Mereka menggunakan pelbagai nama dan taktik untuk bergerak dalam lingkungan dan kepungan penjajah.
Bukan PAS sebagai permulaan tetapi sebagai penerus.
Kumpulan pejuang Islam ini bukan kumpulan pemula mahupun pengakhir dalam perjuangan ini.
Mereka hanyalah mata rantai penyambung legasi bagi memastikan roda Islam terus berputar bagi menjalankan gerakan Islam untuk menegakkan kehendak Allah.
Dan PAS adalah salah satu mata rantainya itu.
Asas dan cita-cita Islam sebagai penyelesai ini tidak pernah ditukar oleh pejuang-pejuang Islam yang tulen kerana jika ia ditukar, maka akan tergelincirlah mereka dari landasan yang Allah dan rasul tetapkan.
Maka PAS sehingga kini, tetap bergerak atas landasan ini bagi membawa umat kepada Allah, dunia dan akhirat.
Manakala mereka yang menentang dasar perjuangan PAS, kita merasa kasihan kerana tentangan mereka itu, tidaklah membawa kepada kebaikan kepada umat disebabkan segala apa yang mereka usahakan adalah berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh Islam.
Sering kali kita melihat songsangnya pemikiran mereka apabila contohnya judi dihalalkan, riba disebarkan kerana mahukan kepesatan ekonomi, budaya jahiliyyah diraikan kerana konon mahukan kemajuan dan penipuan dihalalkan demi mengekalkan kuasa.
Apa sahaja daripada Allah, ia adalah kolot, pembawa masalah. Inilah pengkhianat agama.
Dan banyak lagi contoh yang mereka boleh memilih untuk dihapuskan atau diharamkan, sebaliknya diangkat oleh mereka.
Kemudian tanpa ragu dan malu, mereka mendakwa mereka juga adalah pembawa panji-panji Islam.
Bagaimana mungkin pertembungan antara dosa dan pahala diletakkan bersama dalam satu wadah?
Islam menurunkan wahyu, al-Furqan sebagai pembeza antara hak dan batil.
Pastinya PAS mempunyai banyak kelemahan, tetapi setelah lama bergelumang dalam siasah, dakwah dan juga tarbiyah dengan hampir mencapai umur jubli intan ini, maka PAS yang istiqamah daripada dahulu lagi dengan Islamnya sehingga apabila ada politikus mahu bertaubat, akan mencari PAS, apabila ada parti yang ditendang oleh rakan mereka, akan menggeselkan diri ke kaki PAS. Begitulah jenama PAS yang dihormati.
PAS juga telah membuktikan dengan kembali kepada penyelesaian Islam, PAS telah berjaya menahan diri pimpinannya daripada melakukan onar dalam pentadbiran.
35 tahun tanpa kes rasuah di Kelantan, adalah rekod yang diidamkan oleh semua pentadbiran kerajaan di mana-mana.
Tiada salah laku oleh kepimpinan negeri-negeri lain bukan sahaja sekarang, malahan pada waktu mula-mula PAS memerintah di negeri-negeri Tanah Melayu juga rekod kejahatan ini tidak pernah ditemui.
Yang ada hanyalah fitnah atas sikap kecewa musuh PAS yang cuba menjadikan PAS sama seperti mereka dalam hal kejahatan. Namun ia tidak berjaya, malah rakyat juga menolak fitnah ini.
Semua kehebatan yang berjaya ditunjukkan oleh PAS adalah kerana kesungguhan pimpinan PAS membawa jemaahnya tunduk patuh kepada apa sahaja yang Allah dan rasul perintahkan.
Maka dengan bukti yang nyata ini, sudah semestinya PAS layak untuk memimpin negara bagi membawa kepada penyelesaian umat melalui Islam dimana ia adalah penyelesaian yang paling tuntas, pernah dicontohkan oleh Rasulullah dan sahabat ketika era kegemilangan Islam dahulu.
Ingatlah pesan Saidina Umar al-Khattab, kita dipandang mulia kerana kita memilih Islam.
Mohd Nasir Abdullah
