Sejarah bagaimana ketua negara mengalihkan tumpuan rakyat jika negara dalam keadaan bermasalah antaranya ialah:
1. Memulakan peperangan kecil dengan negara jiran contohnya India dan Pakistan kerana hampir pilihanraya, untuk melupakan rakyat kepada masalah dalaman.
2. Menyerang tanah milik mereka yang dijajah oleh kuasa besar, walaupun tahu akan kalah, sebagaimana Argentina dan British dalam isu Kepulauan Falklands.
3. Menyebarkan hiburan yang menggila dan menyebabkan rakyat lupa dengan kesusahan dan masalah hidup, semata-mata gembira dengan hiburan, contoh negara sebelah kita, satu kampung boleh berjoget dan menari bersama-sama sedang negara mereka dipenuhi rasuah.
4. Menjadikan sukan seperti bola sepak sebagai agama, sehinggakan rakyat sanggup mati kerana bola sebagaimana Brazil dan Argentina, jalan menjadi lengang ketika pasukan mereka bermain, hatta ekonomi negara meruncing.
5. Menjadikan dadah sebagai alat untuk menguasai pemikiran rakyat dan melemahkan mereka, senang diatur dan mudah untuk mereka membaham duit negara dan menerima dana dari kartel dadah seperti di Columbia.
6. Meluluskan kawasan bagi industri pelacuran bagi menarik pelancong dalam dan luar, mengkhayalkan rakyat dengan nikmat dunia, misalnya Thailand.
7. Mengumpan candu dengan perniagaan haram bagi melalaikan rakyat negara musuh dan akhirnya kerana ketagihan, mereka kalah dalam perang sehingga tergadai tanah mereka, bagai yang terjadi dalam Perang Candu antara China dan Inggeris serta sekutunya, sehinggakan Hong Kong terpaksa diserahkan kepada Inggeris.
8. Meluluskan arak untuk diminum di kawasan sekolah dan marahkan orang yang melarang walaupun sudah dibuktikan arak itu membunuh ramai yang tidak berdosa. Contohnya, arrr kau cari sendirilah di negara mana.
Inilah antara kaedah-kaedah yang digunakan bagi mengawal pemikiran rakyat samada rakyat sendiri atau musuh supaya tidak boleh berfikir dengan waras kerana rakyat sudah ada tujuan lain dalam hidup yang dirasakan lebih penting, tetapi sebenarnya memusnahkan.
Dalam sejarah Tanah Melayu sewaktu awal kedatangan British, bangsawan Melayu pernah diberikan candu sebagai tukaran kepada perniagaan timah.
Akhirnya bangsawan-bangsawan ini menjadi ketagih dan tidak cukup candu.
Dan tidak sedikit mereka juga terlibat dalam perjudian.
Kemudiannya mereka mula berhutang dan akhirnya hutang semakin menimbun dan tidak mampu dibayar.
Bagi menjelaskan hutang, mereka terpaksa menyerahkan kawasan lombong timah kepada warga asing yang mereka berhutang itu.
Mereka dibayar sebahagiannya dengan candu.
Dan akhirnya kawasan lombong dirampas oleh orang asing samada dengan penipuan perjanjian seperti Perjanjian Pangkor atau paksaan sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Ngah Ibrahim kerana mereka sudah menjadi lemah.
Begitulah ikatan candu, arak, dadah dan juga segala macam hiburan dunia yang membuatkan kita ketagih, sehingga melupakan tanggungjawab kita kepada Allah.
Sedangkan mereka tidak pernah lupa untuk memerangkap kita.
Maka kita akan menjadi tidak waras kerana ketagihan itu dan akhirnya tergadai hak kita.
Yang menjadikan kita kekal sebagai makhluk yang bermaruah ialah Islam.
Islam menunjukkan jalan yang mana semua nilai-nilai yang Islam bawa itu dipersetujui semua, membawa kepada kemakmuran dan kebahagiaan dalam kehidupan. Islam ialah cara hidup.
Banyak sejarah membuktikan kerelaan bukan Islam duduk dibawah penguasaan Islam kerana keadilannya.
Namun atas nama ketakutan mereka sekiranya Islam benar-benar dihayati oleh semua termasuk bukan Islam, mereka mula membawa motto ‘agama adalah candu’ dengan harapan orang memandang jijik Islam, lebih teruk dari arak, dadah dan candu, untuk kita terus mabuk dan terus dijajah.
Mohd Nasir Abdullah
