Isu pasal jalan runtuh di Batu Rakit sudah senyap sebab cubaan gigih untuk bodohkan rakyat Terengganu oleh penyokong PHBN, tidak berjaya.
Ini kerana majoriti rakyat Terengganu semuanya sangat cerdik, tidak mahu membeli cerita dari orang upahan PHBN.
Mereka memeriksa dahulu kesahihan tuduhan merapu dari PHBN itu.
Rakyat Terengganu lebih memilih untuk membeli cerita berkenaan dua pembantu PMX yang dikatakan terpalit dengan rasuah, kata sumber sebab cerita ini lebih sensasi dan tinggi kebolehpercayaan bukti-buktinya.
Apatah lagi penyokong PHBN sendiri tidak menafikannya, sehingga kes ini disiasat SPRM, walaupun ada pendapat berkata itu hanya sandiwara untuk PRN Sabah.
Sekarang isu tanah Kerajaan Negeri Terengganu yang diduduki secara tidak sah oleh FGV pula menjadi sasaran musuh PAS.
Mereka cuba mainkan sentimen Kerajaan Terengganu merampas tanah dari peneroka yang juga Melayu Islam, zalim, tidak mahu duduk berbincang dahulu.
Naratif ini sedikit sebanyak usaha mereka untuk cuba meniru lakonan budak-budak Tadika Kemas yang kononnya dihalau oleh PAS yang dibuat musuh PAS.
Tetapi tentera-tentera siber mereka silap besar dalam cubaan bermain perasaan dengan rakyat Terengganu kali ini kerana Exco Terengganu yang terlibat, Dato’ Dr Azman Ibrahim terlebih dahulu menyebarkan naratif isu ini secara terperinci semenjak beberapa bulan dahulu. Dato’ Dr. Azman sudah berada jauh beribu langkah di hadapan mereka.
Perlu mereka maklumi bahawa FB Dato’ Dr. Azman sangat ramai pengikut yang bukan biasa-biasa, tetapi pengikut tegar dengan jumlah sukaan dan balasan terhadap hantaran beliau mencecah ribuan jumlahnya.
Maka naratif perihal Kerajaan Negeri telah menawarkan perbincangan semenjak dahulu dengan FGV, sudah dihadam oleh rakyat Terengganu yang sekali lagi saya ulang, sangat bijak dalam menilai tindakan oleh Dato’ Dr. Azman terhadap FGV.
Bayangkan, sudahlah isu royalti tidak selesai setelah dirampas semenjak suku abad dahulu, isu REE hasil bumi rakyat Terengganu yang juga kelihatannya cuba juga diusik.
Terkini isu tanah yang menjadi hak milik negeri, turut mahu diambil dan diisytiharkan sebagai aset FGV.
Rakyat Terengganu yang cerdik merasakan maruah mereka cukup tercabar, lalu bersatu menyokong tindakan Kerajaan Negeri.
Jadi cerita sedih Kerajaan Negeri menzalimi peneroka Melayu Islam harus ditanya kembali, 97 peratus rakyat Terengganu juga Melayu Islam.
Mengapa tidak dikatakan zalim kepada pihak merampas hak rakyat Terengganu samada royalti, REE atau tanah?
Dan seperti biasa, modus operandi mereka yang menuduh Kerajaan Negeri zalim, tiada terdapat bersama mereka dokumen, tiada saksi dari mesyuarat atau bukti-bukti yang boleh menyebabkan isu ini diterbalikkan menjadi kesalahan kepada Kerajaan Negeri.
Hanya tulisan dan suara yang berkokok cuba mendungukan rakyat mendakwa ini salah, ini zalim, ini rasuah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.
Mereka berpolitik persis burung kakatua, yang pandai menyebut semua perkataan yang diajar kepada mereka samada baik atau buruk, tetapi mereka sendiri tidak tahu apa maknanya, di mana patut dan sesuai digunakan dan mereka hanya tahu mengulang-ulang perkataan itu.
Kakatua dan tuannya sangat gembira melihat kerumunan manusia yang suka mendengar celoteh burung itu.
Namun satu perkara yang jauh di lubuk hati kakatua dan tuannya tahu yang manusia itu hanya datang untuk berhibur, bukan mempercayai perkataan kakaktua.
Dan kakatua itu hanya diberikan makan kacang dan merasa sangat bangga menerima kacang yang tiada seberapa harganya itu.
Begitulah politik kakatua.
Dia ingat dia cerdik kerana boleh mengulangi perkataan fitnah terhadap orang walaupun tahu orang benci dan tidak percaya kepadanya.
Namun sayang, bodoh mereka melantun-lantun.
Mereka sedar, tetapi tidak mahu berhenti, masih berkelakuan sedemikian kerana laparkan upah yang tidak seberapa.
Mohd Nasir Abdullah
