Ahli Politik Jangan Terlalu Berpolitik

Ahli Politik Jangan Terlalu Berpolitik

Ahli-ahli politik kita perlu berfikir lebih panjang.

Perebutan kuasa melalui propaganda ini akan menyebabkan rakyat muak.

Apabila rakyat muak, tiada lagi jalan pulang.

Sedarlah, rakyat tak perlukan sangat ahli politik.

Tetapi ahli politiklah yang selalu memberi gambaran bahawa jika mereka tiada maka kita akan huru hara.

Apabila berlaku deadlock pada hujung Februari 2020 yang menyebabkan negara tiada kabinet menteri, segala urusan kerajaan masih berjalan dengan sempurna.

Perbendaharaan masih membayar gaji, hospital masih berfungsi, sekolah tetap beroperasi dan pihak berkuasa masih bekerja menjaga keamanan negeri.

Ia berlaku kerana wujudnya pemerintah sebenar negara – Yang Di Pertuan Agong dan dibantu perkhidmatan awam.

Perdana Menteri – as powerful as he can be – hanyalah wakil YDPA sahaja dalam menjalankan kerja-kerja eksekutif.

Wakil. Tidak lebih dan tidak kurang.

Kewujudan YDPA yang walaupun tidak berkuasa mutlak sepertimana Arab Saudi dan Brunei, tetapi juga tidak sekadar simbol sepertimana Sweden dan Jepun.

YDPA mempunyai keseimbangan tersendiri dalam gelut demokrasi negara berbanding Raja-Raja negara lain.

Raja Sepanyol contohnya walaupun juga merupakan raja berpelembagaan, tetapi baginda hanya mempunyai kuasa terhad.

Raja negara ini tiada kawalan kepada angkatan tentera dan masih bertanggungjawab kepada pendapat umum.

Salah seorang rajanya (Juan Carlos) terpaksa turun takhta (abdicated the throne) apabila terbabit dengan skandal.

Perlembagaan negara kita pula menggariskan terlalu banyak peranan dan kuasa YDPA yang boleh digunakan ketika berlaku krisis.

Contohnya perkataan ‘pada hematnya’ dan ‘mungkin’ pada Perkara 43(2) menunjukkan luasnya budi bicara YDPA dalam melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

YDPA tidak memerlukan surat akuan sumpah atau undi parlimen bagi membuat keputusan.

Tetapi kejadian deadlock pada 2 bulan lepas membuktikan bagaimana YDPA menjalankan tugas dengan hati-hati tanpa berpihak.

Begitu juga dengan perkhidmatan awam.

Perkara paling jelas yang menonjolkan ketaatan penjawat awam kepada YDPA adalah berdasarkan frasa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ (sebelum ditukar kepada Saya Yang Menjalankan Amanah).

Perintah disini bukan arahan ketua jabatan.

Ia adalah perintah Ketua Negara.

Perintah ini datang melalui Perkara 132 Perlembagaan.

Ini adalah raison d’etre (reason for existence) kepada penjawat awam.

Disebabkan itu apabila terdapat arahan daripada Menteri yang bercanggah dengan prosedur sedia ada, maka penjawat awam akan menolak.

Disinilah timbul tuduhan ‘deepstate’ suatu ketika dahulu kononnya terdapat konspirasi dalaman untuk menjatuhkan kerajaan.

Atas sebab itu selagi mana wujudnya YDPA, Majlis Raja-Raja dan Perkhidmatan awam, negara tidak terlalu bergantung kepada ahli politik untuk bergerak.

Saya tiada masalah sekiranya berlaku pertukaran kerajaan.

Rakyat akan lebih kenal siapa yang berprinsip dan siapa yang meletakkan rakyat di bawah telapak kaki sahaja.

Tetapi ingatlah, propaganda berlebihan hanya akan menyebabkan luka yang dalam kepada keharmonian dan kestabilan negara.

Apakah saudara semua ingat YDPA ini kerjanya hanya menemuduga 222 ahli parlimen 6 bulan sekali hanya untuk memuaskan nafsu sesetengah manusia?

Semua keadaan ini hanya akan menzahirkan rasa benci rakyat kepada sistem politik semasa.

Berubahlah jika mahu hayat politik saudara terus panjang.

Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Dalam Negeri