Politik Melayu Tersempit… Jangan Jadi Cicak Dicelah Pintu

Politik Melayu Tersempit… Jangan Jadi Cicak Dicelah Pintu

Pada saat pergolakan politik Melayu semakin keras, nampaknya pemimpin politik Melayu lebih mengutamakan agenda puak daripada mengukuhkan perpaduan.

Mereka nampaknya tidak belajar dengan pengalaman 22 bulan ‘dipijak orang.’

Jika elit politik Melayu mahu berlumba untuk mengangkat tokoh masing-masing – dari Tun Mahathir, kepada Anwar dan Shafie Apdal, dan kini Ku Li – ketenangan politik tidak akan wujud lagi.

Persaingan akan menghapuskan perpaduan.

Mereka bukan bersaing untuk membuat kebajikan, tetapi berlumba untuk memenuhkan runtunan nafsu politik sempit mereka.

Dalam ‘keserabutan’ memikirkan kecamuk politik ini, tiba-tiba saya terpandang di celah pintu rumah saya, seekor cicak mati kering tersepit.

Terfikir saya tentang masa depan politik Melayu yang akan menjadi seperti cicak ini, semuanya mati kering, tersepit di celah pergolakan dan perebutan.

Jika parti-parti Melayu terus bergaduh dan berpecah, DAP akan muncul sebagai juara yang akan melaksanakan agenda Malaysian Malaysia yang mereka gariskan sejak 1967.

Orang Melayu akan terlepas pengaruh dan kuasa politik mereka, seperti mana orang Palestin dan Rohingya.

Mari kita lihat, bagaimana parti-parti politik Melayu tersepit di celah-celah pergolakan politik yang mereka sendiri cipta.

Jika mereka tidak belajar dan berubah, orang Melayu akan menerima padah!

PKR ~ Tersepit dengan tindakan Anwar Ibrahim yang hanya membawa ‘numbers’ tanpa ‘names’ kepada YDP Agong untuk membuktikan dia mempunyai sokongan yang cukup bagi menukar kerajaan.

Dahulunya, sejak 1998, Anwar Ibrahim memaki hamun Umno atas dasar kebobrokan politik dan penyelewengan mereka.

PKR juga sinis terhadap PAS kerana cuba UG dengan Umno, dan mencerca PAS kerana bermuafakat dengan Umno untuk mengukuhkan politik Melayu.

Kini juak-juak PH termasuk DAP dan PAN cenderung untuk bersama Umno.

Apakah darjat Umno di mata PH sekarang?

BERSATU ~ Tersepit dengan sikap berat sebelah pimpinannya yang membuatkan pemimpin Umno tidak berpuas hati.

Pemimpin mereka kelihatan sombong kerana memimpin Kerajaan Persekutuan.

Bersatu mendapat banyak kerusi dalam PRN Sabah, Bersatu juga melantik semua geng Azmin Ali ke kabinet, Bersatu turut menguasai kabinet Persekutuan, sedangkan partinya tidaklah majoriti di Parlimen.

Jika Umno merajuk dan menarik balik sokongannya kepada Muhyiddin Yassin, Kerajaan PN akan tumbang.

PEJUANG ~ Tersepit dengan masa depan kerana Tun Mahathir sahaja yang dijadikan sandaran.

Ahli politik veteran ini sudah tiada masa depan dengan usianya sudah mencecah 90-an.

Pejuang tidak mempunyai pemimpin yang berkaliber, termasuk Mukhriz Mahathir.

Rakyat hanya melihat Pejuang sebagai melukut di tepi gantang.

Adanya tidak menambah, tiadanya tidak mengurang.

Pejuang anti Umno, bencikan PAS, marahkan DAP dan tidak sukakan Anwar Ibrahim (PKR).

Mereka hanya setuju dengan Shafie Apdal (Warisan).

Jika bersendiri, Pejuang sudah boleh berkira-kira tentang masa depannya yang berada di tepi jurang.

MUDA ~ Tersepit dengan ketiadaan pengalaman dan juga sokongan.

Idealisme orang muda tidak mampu mengubah tanpa pengalaman.

Tiada siapa yang yakin bahawa Muda boleh menyelesaikan konflik politik sekarang, lebih-lebih lagi Syed Saddiq sendiri juga dalam siasatan.

Hanya dengan pengalaman sebagai juara debat dan menjadi menteri selama 22 bulan, belum cukup gah untuk membina kepercayaan.

WARISAN ~ Tersepit dengan kekalahan PRN Sabah dan kemarahan rakyat akibat menularnya Covid 19.

Warisan (Shafie Apdal) kelihatan cerita dicalonkan sebagai Perdana Menteri menggantikan calon dari PKR (Anwar Ibrahim), tetapi kerana gugatan PKR Sabah, Warisan hilang kerajaan.

Warisan dipersalahkan rakyat kerana kegelojohan mereka mengadakan PRN telah menyebabkan Covid 19 tersebar.

Kini Warisan sepi, Shafie Apdal menghilang.

PAN ~ Tersepit di antara caci maki mereka terhadap Umno dengan strategi terbaru untuk mengambil ’30 wakil rakyat Umno’ bagi membentuk kerajaan.

Selama ini PAN dicurigai oleh orang Melayu, kerana peranannya sebagai ‘Khadam DAP,’ kini sekali lagi mereka tampil membawa ‘suara Lim Kit Siang’ untuk menerima Umno di dalam pakatan pembangkang.

Meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri!

Tanpa DAP, PAN sudah hilang hala tuju perjuangan.

UMNO ~ Tersepit di antara pergolakan dengan sekutu-sekutu politik dan juga team-team dalaman.

Umno bersekutu dengan MCA dan MIC di dalam BN, Umno bersekutu dengan PAS dan Bersatu di dalam Muafakat Nasional (MN).

Umno menyokong Muhyiddin Yassin untuk memimpin Kerajaan PN.

Berkecamuk juga Umno untuk menyelaraskan semua kerjasama ini.

Masih ada sikap mahu menjadi ‘big brother’ walaupun sudah kehilangan kuasa.

Politik singa tua tidak bergigi ini membuatkan orang Melayu hilang percaya kepada Umno.

Sebenarnya Umno tersepit dengan politik dalaman mereka.

Setiap tokoh – Zahid Hamidi, Mohamad Hassan, Najib Razak dan Tengku Razaliegh – masing-masing mempunyai penyokong dan agenda.

Ada yang mahu Ku Li menjadi Perdana Menteri, namun ramai juga yang cenderung untuk menyokong Anwar Ibrahim.

Tetapi sejumlah mereka mahu MN dikekalkan demi survival politik Melayu.

Biro Politik mereka pula mahu hubungan dengan PN dikaji semula.

Gejolak dalaman Umno inilah yang membuka ruang kepada Anwar Ibrahim membawa ‘numbers’ ke Istana dan mendorong Ku Li membuat usul tidak percaya melalui Tuan Speaker.

Umno tersepit dalam pertarungan dalaman ini.

Jika salah langkah, Umno tersembam!

PAS ~ Tersepit di antara strategi rakan-rakan politik dalam usaha menyatukan orang Melayu dan mengukuhkan politik Islam.

Konflik dalaman PAS telah berkurangan sejak 2015, tetapi PAS dilihat tiada hala tuju di antara GS, MN dan PN.

Adakah PAS mendukung ketiga-tiganya, atau pun yang awal akan melemah apabila muncul yang baru.

Ada yang mengatakan MN akan menerima nasib seperti GS setelah PAS bersekutu dengan PN.

GS dilupakan ketika MN dimeterai, kini Umno menuduh PAS berkhianat terhadap sekutu MN apabila menyertai PN.

Ketika Umno dan Bersatu berselisih di luar MN dan PN, PAS terkebil-kebil melihat sekutu mereka mementing politik puak melebihi agenda perpaduan.

Jika diperhatikan seluruh konflik ini, orang Melayu hanya mempunyai satu pilihan – bersatu atas nama Islam!

Muafakat di antara PAS, Umno dan Bersatu – jika semuanya Ikhlas di atas nama Islam – adalah tindakan politik yang terbaik.

Pejuang, Warisan, PKR dan Muda patut berhenti dari menjadi alat musuh atau mendukung perjuangan sempit untuk politik peribadi.

Jika PAN mahu terus menjadi alat DAP, mereka bakal menjadi cicak di celah pintu, hidupnya tersepit, matinya kubur dikencing anak cucu!

Mohd Fadli Ghani

Politik