Baru saja saya nak tanya apa sudah jadi dengan pelbagai laporan polis ke atas UMANY, tiba-tiba sudah keluar berita bahawa Presidennya, Yap Wen Wing, diminta mengadap polis di Balai Polis Kajang pada jam 2 petang ini.
Memang sudah selayaknya persatuan pelajar yang samseng seperti UMANY ini bukan sahaja disiasat tetapi diambil tindakan sekeras-kerasnya atas perbuatan biadab mereka itu.
Dalam kenyataan media mereka, UMANY bukan setakat enggan mengakui kesilapan mereka, apa lagi untuk memohon maaf daripada Yang di-Pertuan Agong, malah mendakwa pula kenyataan media mereka sebelum ini kononnya diputarbelitkan.
Di sebalik mengakui kesilapan mereka atau memohon maaf daripada pihak universiti, UMANY juga mengugut untuk menyaman UM untuk menuntut pampasan jika mereka dikenakan tindakan.
Kepada persatuan pelajar yang samseng ini sukalah kita bertanya kamu di bahagian manakah kenyataan media kamu itu kononnya diputarbelitkan?
Bukankah jelas disebut pada tajuk dan isi kenyataan media kamu itu bahawa kamu menuntut Yang di-Pertuan Agong “not to intervene in national affairs” (“jangan campur tangan dalam urusan negara”).
Bukankah yang cuba memutarbelitkan kenyataan media kamu ini ialah DAPSY yang, dalam usaha mereka untuk membela kamu, mengubah apa yang kamu tulis itu menjadi menuntut Yang di-Pertuan “not to intervene in national politics” (“jangan campur tangan dalam politik negara”).
Takkanlah DAPSY ini tidak tahu nak beza “national affairs” (urusan negara) dengan “national politics” (politik negara)?